Quantcast
Channel: Fatimah Syarha
Viewing all 129 articles
Browse latest View live

Wanita Tidak Boleh Keluar Rumah Tanpa Hajat Mendesak?

$
0
0


Dilema Persepsi

Dunia ini ada banyak cerita. Ada gadis yang bebas berpeleseran di shopping complex tanpa tujuan. Ada yang galak menari di kelab-kelab malam.Abahnya tidak kisah. “Inikan zaman moden,” bela si abah sambil mencucuh putung rokok. Adakah ini akhlak gadis muslimah?

Ada gadis yang dikongkong dalam sangkar emas. Tidak boleh ke mana-mana walaupun ada urusan munasabah. Abahnya suka mengancam dengan hadis-hadis Nabi. “Nabi dah kata, perempuan tu aurat. Jika dia keluar, syaitan jadi peneman. Kalau nak keluar juga, mesti pakai purdah,” tegas si abah sambil membetulkan serban besar di kepala. Hadis ini benar tapi adakah tafsiran sebegini benar?

Ada muslimah yang keluar menuntut ilmu, keluar menyahut panggilan dakwah, keluar menyahut tugas-tugas kemasyarakatan dan keluar gambarnya di facebook, media, drama, majalah hinggamenjadi ikutan remaja menutup aurat dan berakhlak mulia. Namun, ada pihak memandang sinis dan menyamakannya dengan gadis-gadis yang berpeleseran di pasar raya.

Adakah Islam menganggap keluarnya kaum wanita dari rumah bukan atas hal-hal darurat suatu perbuatan yang makruh atau haram? Mari kita bincangkan.


Sepotong Hadis Perlukan Kombinasi Dalil-Dalil yang Lain

Pihak yang menganggap ‘berdosa’ tatkala keluarnya wanita daripada rumah, sering memetik hadis ini,

“Wanita adalah aurat, jika dia keluar (rumah), syaitan akan memimpinnya.” (HR Tirmidzi, Kitab: Menyusukan. Bab: 18 (jld. IV, hal. 153), terdapat dalam Shahihul Jami’ ash-Shagir dengan no. 6566.)

Inikah dalilnya? Bagaimana hal ini boleh menjadi haram atau makruh? Bukankah Rasulullah SAW melarang kaum lelaki menghalang isteri-isteri mereka pergi ke masjid. Padahal, solat di masjid bukanlah suatu darurat dan bukan juga keperluan yang mendesak.

“Tapi, Nabi suka kalau perempuan solat kat rumah lagi,” balas mereka.

Baik, bagaimana dengan doa Nabi bagi Ummu Haram agar berpeluang ikut bersama para tentera menyeberangi lautan untuk berjihad di jalan Allah? (Rujuk HR Bukhari). Pemergian Ummu Haram untuk berjihad tidak termasuk keadaan darurat atau keperluan yang sangat mendesak, tetapi hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Apakah Maksud Hadis Wanita itu Aurat?

Dalam Buku Kebebasan Wanita Pada Zaman Risalah, karya Abdul Halim Abu Syuqqah, ada jawapannya. Hadis ini mengaitkan keadaan wanita sebagai aurat dengan pimpinan syaitan. Ia memberi peringatan kepada kaum wanita agar jangan lalai dalam menutup aurat.

Kaum wanita dilarang memperlihatkan keindahan tubuhnya kecuali yang dibenarkan, tidak memakai wangian, tidak sengaja melenggok-lenggok ketika berjalan, dan tidak sengaja menggoda dalam berbicara. Bukan kaum wanita sahaja, kaum lelaki juga diingatkan agar menjaga adab dalam pergaulan. Barulah syaitan tiada ‘password’ untuk menggoda manusia.


Wanita Datang Dalam Bentuk Syaitan?

Rasulullah SAW mengaitkan keluarnya wanita daripada rumah dengan syaitan bukan sahaja dalam hadis di atas bahkan dalam hadis yang lain.

“Sesungguhnya wanita datang dalam bentuk syaitan dan pergi juga dalam bentuk syaitan.” (HR Muslim, Kitab: Nikah, Bab: Tentang Orang Yang Melihat Wanita Lalu Jatuh Hati, jld. IV, hlm. 129-130).

Apakah pengajaran daripada hadis ini? Kena mengurung wanita di rumah? Tidak! Ada ratusan dalil yang lain menunjukkan penglibatan wanita dalam kehidupan sosial pada zaman Rasulullah SAW. Bagaimana Rasulullah SAW memberi bimbingan dalam menghadapi fitnah (ujian) sebegini?

Rasulullah SAW mengajar lelaki menghadapi fitnah (ujian) wanita ini dengan cara berjuang menguruskan nafsu, menundukkan pandangan dan pulang ke pangkuan isteri. Bersama isteri, naluri seksual boleh disalurkan secara halal. Baginda bersabda dalam hadis yang sama,

“Jika salah seorang kamu melihat wanita,  maka hendaklah dia pulang menggauli isterinya. Hal itu dapat menghilangkan keinginan yang ada dalam dirinya.” (HR Muslim).

Beginilah juga cara wanita menghadapi fitnah (ujian) lelaki penggoda. Lelaki-lelaki itu datang dalam bentuk syaitan apabila bersiul-siulan gatal, feeewittt, dan usya-usya. Ada persamaan dengan syaitan dari sudut menggoda. Usah dilayan. Pulang ke rumah dan nikmati suami sendiri.


Fitnah (Ujian) Dalam Pelbagai Bentuk

Hadis di atas mengingatkan kita tentang adanya ujian (fitnah) daripada godaan wanita. Sama sahaja dengan hadis-hadis yang mengingatkan kita adanya ujian (fitnah) daripada godaan harta benda dan anak-cucu.

Peringatan itu tidak bermakna kita kena bermusuh dengan harta dan anak-cucu. Ia tidak bermakna kita tidak perlu mengumpul harta dan mengurung anak cucu di rumah sahaja. Ia cuma ingatan agar kita berwaspada.


Kesimpulan

Wanita sangat bagus tinggal di rumah. Tapi itu tidak bermakna dia diharamkan atau  dimakruhkan keluar rumah. Lebih-lebih lagi jika seseorang wanita itu keluar dengan bertujuan kebaikan. Tiada masalah. Jangan terlalu bebas. Jangan pula terlalu terkongkong. Allahmu Maha Mengetahui setiap niat di hati. 

Remajaku, Bijakkah Kahwin Lari?

$
0
0



Kusangka Panas Hingga Ke Petang…

“Niat saya ikhlas pilih suami beragama. Dia hafaz al-Quran. Saya ingat dia boleh bimbing saya. Tapi…” tangis seorang wanita teresak-esak. Berkali-kali dia mengesat air mata dengan lengan baju. Anak kecilnya yang belum mengerti berhenti menyusu. Tidak berkelip melihat ibunya.

Dua tahun lalu, wanita ini bernikah di Thailand tanpa restu ibubapanya. Sebagai penjawat awam, dia ada kemampuan ekonomi. Maka, dialah yang menanggung segala perbelanjaan.

Bahtera pernikahan dikemudi. Baru dia tahu penangan samudera rumah tangga. Baru dia tahu bahawa titik awal pernikahan mengesani sepanjang perjalanan selepas itu. Tanpa sokongan keluarga, suaminya mudah memperguna. Kerjanya, asyik mengikis duit isteri.

Tidak cukup dengan itu, si suami telah meniru tanda tangannya. Membuat pinjaman ratusan ribu. Mengambil kesempatan ke atas status  isteri sebagai penjawat awam.

Manusia normal mana boleh tahan dengan sikap suami begini? Wanita itu memfailkan tuntutan fasakh di mahkamah. Suaminya gagal hadir setiap kali mendapat arahan mahkamah. Melarikan wang tipu. Lesap entah ke mana.

Wanita itu sedar kini, niat yang ikhlas semata-mata tidak cukup tanpa tindakan yang bijak. Semuanya memerlukan ilmu dan kefahaman yang benar merujuk para ulama muktabar yang faqih (alim dalam ilmu feqah).


Universiti Kehidupan Mengajar Kita

Apa rasionalnya undang-undang negara kita melarang pernikahan tanpa kebenaran sama ada di dalam ataupun di luar negeri? Kerana ia menimbulkan terlalu banyak kesulitan pada masa akan datang. Bukalah mata, pasanglah telinga pada kisah masyarakat.  Jangan masukkan diri kita ke dalam statistik yang sama. Justeru, amat wajar pernikahan terlarang ini perlu disiasat oleh pihak berautoriti terlebih dahulu sebelum boleh disahkan kemudian didaftarkan di Pejabat Agama terdekat.

Menurut kajian, antara faktor utama yang menyumbang kepada meningkatnya jumlah kahwin lari di negara kita ialah konflik dengan ibubapa, ingin berpoligami serta tidak ambil tahu tentang syarat dan undang-undang perkahwinan di Malaysia.

Fenomena ini makin meruncing apabila ia turut berlaku kepada para remaja bawah umur yang mengikut pasangan kekasihnya. Bukan satu atau dua kes bahkan semakin menjadi trend. Akhbar digital Metro bertarikh 18 Januari 2011 pernah mensensasikan masyarakat dengan isu ini.

Remajaku, nikah ni ada dua jenis. Nikah yang sah. Nikah yang batil. Apabila cukup rukun dan syarat, maka sahlah nikah. Sebaliknya, jika tidak cukup rukun dan syarat, nikah itu batil. Hukumnya haram. Contoh nikah yang batil ialah, nikah tanpa kebenaran wali. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak sah nikah melainkan dengan wali.” (Sahih sunan Abu Daud).

Tidak dapat tidak, jika hendakkan anak dara orang, menguratlah walinya terlebih dahulu.

“Ish, berat tu!”

Ya, memang berat. Sebab amanah menjaga anak orang bukannya benda ringan. Benda berat. Awal-awal lagi kena tunjukkan peribadi yang bertanggung jawab. Nak ke tak nak ni?

Bukan saja perlu mendapatkan kebenaran wali bahkan perlu juga mendapatkan kebenaran enakmen.  Ianya penting demi maslahah. Terdapat pernikahan yang mendapat kebenaran syarak seperti hadirnya wali atau berwalikan wali hakim yang bertauliah. Namun, apabila ia dilakukan di Selatan Thailand,ia tetap menjadi kesalahan di bawah enakmen sekiranya perkahwinan berkenaan tidak mendapat kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di Malaysia.

Saja-saja ke enakmen ni nak susahkan orang? Sudah tentu pihak berautoriti ini ada sebab yang kukuh. Sesuai dengan tujuan syariat yang mahukan maslahah dan mengelakkan mudarat daripada semua orang. Semua orang berhak merasai keadilan. Sudahkah remaja mengkaji kebaikan peraturan?


Fikirkan Sebab dan Akibat

Remajaku, fikirlah lebih jauh. Sanggupkah dirimu ditohmah sebagai pembawa lari anak dara orang? Label ini bukan senang hilang walau apapun jua alasanmu. Kasihan dirimu nanti.

“Ah, lautan apipun sanggup kurenangi err…meskipun dalam swimming pool aku selalu lemas.”

Hmm. Cuba ‘pause’ 2 minit. Cuba masukkan dirimu ke dalam kasut wali pengantin perempuan.  Rasa nak marah tak jika ada orang menginjak hak seorang bapa untuk menjadi wali? Pernikahan sepatutnya menyatukan. Tapi nikah sebegini, bukankah ia makin memecahkan?

Lantas, mampukah dirimu mencari ‘sakinah’ (ketenangan) daripadanya? Bukankah ia boleh menjadi faktor pembunuh kepada ‘mawaddah’ dan ‘rahmah’ nanti? Lalu, apa yang kau cari daripada pernikahan sebegini? Sekadar halalnya hubungan badan lelaki perempuan? Kemudian?

Allah SWTmenjelaskan tujuan pernikahan,

“Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri agar kamu cenderung serta berasa tenang (sakinah) dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu perasaan kasih dan sayang (mawaddah warahmah).” (Surah ar-Rum: 21).


Cuba cerita sikit

Apa sebenarnya masalah yang terpendam di lubuk hatimu? Apa yang menyebabkan dirimu ingin memilih untuk kahwin lari? Adakah kerana kau telah mencampakkan diri sendiri ke dalam hukum wajib nikah? Takut berzina jika tidak bernikah? Siapa suruh dekati zina?

Remajaku,
Mungkin kau tertanya-tanya,

“ Islam galakkan menikah. Tapi kenapa orang dewasa ramai yang tidak faham?”
Tanyalah kematanganmu. Tanyalah kemampuanmu. Kau merasakan orang dewasa tidak memahamimu terutamanya ibu dan ayah.

Begitulah juga mereka tika ini hairan kenapa dirimu masih tidak faham-faham terhadap nasihat mereka, jangan hampiri zina. Jika kau tak hampiri, insya-Allah kau tak kan sestress ini untuk segera bernikah sedangkan prioritimu pada ilmu menuntut komitmen tinggi.

Satu kajian melaporkan, 17.5% daripada respondan mengemukakan alasan pergaulan bebas, terlanjur, khalwat dan hamil mendorong mereka untuk bernikah lari. Bagi menutup aib. Kebanyakannya di kalangan remaja. Mampukah pernikahan yang terbina atas dasar maksiat ini menumbuhkan berkat? Ayuh, segeralah bertaubat!

Jangan risau jika wali mujbir tetap tidak mengizinkan kau bernikah. Tak perlu memilih untuk kahwin lari. Ada langkah lain yang lebih bijak. Mohonlah wali hakim di mahkamah berdekatan.


Undang-undang Sukar? Belanja Kahwin Tinggi?

Boleh jadi, kau merasakan undang-undang dan peraturan pernikahan di negara ini tidak memahamimu. Kau merasakan ia sulit dan menyukarkan.

Begitulah juga penggubal undang-undang dan peraturan pening melihat sikap manusia terus-menerus ditimpa kesusahan akibat hidupnya tiada peraturan.

Jika kau mahukan tiadanya kursus kahwin, adakah kau menyiapkan diri dengan ilmu sebelum kahwin? Jika kau tidak sukakan prosedur dan borang-borang, lalu apa idea dan alternatifmu bagi memastikan pernikahan itu dapat didaftarkan, selamat daripada HIV dan sebagainya? Bukankah semua itu untuk maslahahmu jua.

Apabila tidak mengaplikasikan undang-undang dan peraturan, keharusan sesuatu boleh disalah guna. Bahkan, matlamat sesuatu sukar dicapai. Ramai orang menderita kerananya.

Andai diteliti dan dikaji, peraturan-peraturan perkahwinan yang sedia ada tidaklah begitu ketat. Enakmen dan Akta Undang-undang Keluarga Islam yang diseragamkan di seluruh negeri telah digubal sebegitu rupa semata-mata untuk menjaga kesejahteraan keluarga terutamanya bagi generasi baru yang bakal lahir. Begitu juga bagi isteri dan anak-anak yang sedia ada agar tidak teraniaya.

Jika kau merasakan belanja kahwin terlalu tinggi, berbincanglah. Inilah masanya melatih kemahiran berkomunikasi dengan bakal mentua. Selesaikan kemelut ini dengan hikmah. Percayalah, ia akan menjadi sumber keyakinan dirimu yang luar biasa untuk berhadapan dengan 1001 lagi kemelut pada masa depan.


Fikirkan Orang Lain, Fikirkan Masa Depan

Implikasi nikah lari sangat membebankan. Siapa yang terlibat akan didakwa mengikut seksyen 40 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mana pesalah akan dikenakan denda tidak melebihi seribu ringgit atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Jika terus membelakangi undang-undang, pendaftaran kelahiran anak menjadi sukar. Kasihan anak-anak akan berair matanya melihat rakan sebaya ke sekolah. Sedangkan dirinya , sijil kelahiranpun tiada. Sudah tentu proses pendaftaran persekolahan akan menjadi bermasalah. Tinggi rasa rendah dirinya nanti.

Implikasi selepas perceraian juga sangat parah. Masalah ini lebih-lebih lagi sangat terbeban di bahu wanita. Betapa ramai wanita sudah mengalami peritnya menjadi mangsa dan rasa teraniaya. Apabila terpaksa bercerai, hak mereka menjadi sukar dituntut.

Sesekali, tadahlah telinga simpati mendengar tangisan wanita yang kehilangan hak mutlak sebagai isteri yang sah di sisi undang-undang. Mereka lalu terhalang daripada menuntut hak mut’ah, harta sepencarian, nafkah mahupun hak penjagaan anak sebagaimana yang selayaknya diterima oleh wanita-wanita berkahwin. Ramai yang digantung tak bertali. Mahkamah Syariah tidak mampu membela kerana wanita ini tidak mempunyai surat nikah yang sah.

Demikian juga apabila berlakunya kematian, pihak suami atau isteri yang kematian pasangannya akan menghadapi kesulitan menuntut hak pusaka si mati. Hmm, banyak betul implikasinya. Tak sanggup nak dengar lagi?


Pesanan Buatmu                 

Pernikahan adalah sesuatu yang sangat bermakna. Dapatkanlah senyuman restu daripada insan-insan berharga di sekelilingmu. Sebarang keputusan berkaitan pernikahan lebih baik dibincangkan sewajarnya. Bincangkan dengan baik dan teratur bersama ahli keluarga. Kehidupan yang bakal ditempuhi selepas pernikahan bukannya hanya melibatkan kau dan dia. Bahkan melibatkan keluargamu dan keluarganya. Jadikan pernikahanmu pengerat kekeluargaan.                                    

Siapkah Dirimu Menjadi ‘Super Parent’?

$
0
0

Kenali ‘Kriteria’ Sebelum ‘Si Dia’
Remajaku sayang,
Usah terlalu peningkan kepala berfikir hendak berkahwin dengan siapa. Kenalilah ‘kriteria’nya sebelum ‘calon’nya. Imam Ghazali memperkenalkan kriteria pasangan soleh 10 tahun sebelum anaknya mula mencari.
“Mak abah saya tak buatpun macam Imam Ghazali,” cebik remaja.
Tidak mengapa! Mungkin mereka tidak tahu. Jika mereka tahu, boleh jadi mereka akan segera lakukannya. Maafkanlah mereka. Yang lepas biarlah lepas. Kita kan masih ada ‘hari ini’ untuk menambah ilmu?

Lebihkan ‘Menjadi’ daripada ‘Mencari’
Remaja,
Masih sudi lagi dengar ‘sharing’ daripada akak? Jom!
Sekiranya nanti dirimu meminati seseorang, sudah tentu dirimu tidak mahu bertepuk sebelah tangan. Betul kan?
Sekiranya dirimu meminang, sudah tentu kau tidak mahu pinanganmu ditolak. Setuju tak?
Tipnya mudah sahaja. Lebihkan ‘menjadi’ daripada ‘mencari’. Sinergikan dengan doa ke hadrat si Pemegang Hati. Insya-Allah cintamu pasti berbalas. Siapa yang tidak mahu sesusuk periba
“Hah, menjadi?”
Ya! Jadilah peribadi yang mampu mendidik diri sendiri. Kemudian, insya-Allah mampu menjadi pendidik buat generasi masa depan. Orang yang mempersiapkan diri menjadi individu Muslim lebih berpotensi membangunkan sebuah ‘baitul Muslim’ (rumah tangga yang menegakkan nilai-nilai Islam).

Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat
Remaja semua nak kahwin, kan? Bagus! Normal tu. Alam perkahwinan bagaimana yang diinginkan? Penuh cinta atau penuh sengsara?
Ketahuilah, banyak punca-punca permasalahan dalam rumah tangga termasuklah masalah dalam mendidik anak-anak boleh dicegah seawal kita mempersiapkan diri menjadi peribadi soleh dan solehah. Juga seawal kita membuat pemilihan yang terbaik terhadap pasangan hidup kita. Inilah tanda kebijaksanaan mencegah  sebelum merawat.

Bayangkan…
Lahirnya seorang bayi comel ke dunia. Suci. Bersih. Dia melihat ibunya yang susah tersenyum. Dia melihat ayahnya yang monyok memanjang. Dia melihat lingkungan keluarganya yang asyik bercakaran.
Secara fitrahnya, si kecil itu mencari-cari wajah yang berseri-seri. Telinganya mencari-cari kata-kata yang baik. Namun, ibubapanya yang gagal mempersiapkan diri dengan akhlak penuh senyuman dan kelembutan sebelum bernikah, biasanya akan terbawa-bawa akhlak itu selepas bernikah, dan selepas menjadi ibu bapa. Si kecil itu menadah dan menyerap dengan mudah apa sahaja yang terhidang di sekelilingnya itu. Agaknya, dia akan membesar menjadi anak yang bagaimana?


Remajaku sayang,
Remaja sudah tentu mahu menjadi ibubapa yang hebat suatu hari nanti kan? Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi peribadi anak-anak seperti pengaruh ibubapa, pemakanan, genetik, persekitaran, rakan sebaya, guru dan sebagainya. Faktor ibubapa adalah faktor yang paling besar kesannya ke atas agama anak-anak tersebut hinggakan Rasulullah SAW mengingatkan,
“Setiap bayi lahir dalam keadaan fitrah (Islam dan mengabdikan diri kepada Allah). Maka, ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR. Bukhari).
Pesan Atok yang bernama Ibnul Qayyim al-Jauziyah, “Barangsiapa dengan sengaja tidak mengajarkan apa yang bermanfaat bagi anaknya dan meninggalkannya begitu sahaja, bererti dia telah melakukan suatu kejahatan yang sangat besar. Kerosakan pada diri anak kebanyakannya datang dari sisi orang tua yang mengabaikan mereka dan tidak mengajarkan kewajipan-kewajipan agama serta sunnah-sunnahnya.”

Semuanya Ujian
Jika remaja lahir dalam keluarga yang baik, bersyukurlah. Pengaruh baik ibubapa itu akan memberi kesan besar dalam melahirkan seorang remaja yang maju, hebat, berkeyakinan diri, tetap pendirian dan berwawasan jauh.
Jika remaja lahir dalam keluarga yang kurang baik, bersabarlah. Semua itu hakikatnya suatu ujian. Jangan merintih pada ujian. Kreatiflah mencari penyelesaian. Banyak hikmah di sebaliknya. Jika remaja positif menerima ujian ini, lihatlah kesan positif yang bakal diterima.
Antaranya, remaja yang biasa dileteri, dicalari hati dan perasaannya bakal menjadi ibubapa yang memahami jiwa anaknya. Belajar dari pengalaman itu, maka, dia mendidik dan menasihati anaknya dengan komunikasi berkesan, bukan dengan meleteri, menghukum, menunjuk protes diam, menutup pintu berdentum dentam atau memulau.
Antara lain juga ialah, remaja yang biasa disakiti, bakal menjadi ibubapa yang prihatin terhadap kesakitan anaknya, maka dia tidak memukul sembarangan. Pukulan hanya alternatif terakhir setelah nasihat diberikan berkali-kali dengan penuh hikmah. Itupun tidak boleh memukul ketika marah. Tidak boleh memukul untuk betul-betul menyakiti. Mesti bertujuan mendidik. Jika tidak, ini suatu pencabulan terhadap ‘amanah’ Allah. Allah tidak buta melihat sakitnya anak didera. Allah tidak tuli mendengar tangisan anak disakiti. ‘Amanah’ pasti ditanya!

Pilihan di Tanganmu!
Sambunglah kekuatan ibubapa kita. Usah diulangi kesilapan mereka. Jangan pula kita memilih kesilapan yang sama untuk mendidik anak-anak kita nanti. Bimbang, apa yang kita beri itulah biasanya yang kita dapat.    
Pilihlah mencegah sebelum mengubat. Itu yang terbaik (high class). Namun, jika kita gagal ‘mencegah’ ketika remaja, jangan bunuh potensi hari ini untuk ‘merawat’. Sentiasa ada jalan. Yakinlah!
Analoginya, orang yang gagal ‘mencegah’ daripada mengamalkan cara hidup tidak sihat pada masa mudanya, mudah mendapat penyakit pada zaman tuanya.  Ketika muda dia tidak mengambil makanan seimbang dan melakukan senaman rutin, lalu dia menderitai penyakit ‘Janda Manis’ iaitu sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Mengubat itu memang sakit. Tapi, lebih sakit lagi jika kita membiarkan diri menderitai kesakitan itu terus-menerus. Perlu mengubat setelah sakit! Andai seseorang diberi peluang mengundur ke masa lalu, sudah tentu dia memilih kebijaksanaan mencegah sebelum merawat.
Cegahlah dirimu daripada berakhlak buruk. Bimbang nanti anakmu juga mewarisi akhlak itu. Cegahlah dirimu daripada memilih pasangan yang tidak beragama atau tidak berminat mendalami agama. Bimbang nanti, anakmu menceduk akhlak pasanganmu itu. Pilihlah ibu atau ayah yang terbaik untuk anak-anakmu. Pengaruhnya sangat besar!

Anak Suatu Amanah
Jom, mari kita dengar pula pesan Atok yang bernama Imam Ghazali,
“Anak adalah amanah (bukan beban, tau!) di tangan kedua orang tuanya. Hatinya yang suci adalah mutiara yang masih mentah, belum dipahat mahupun dibentuk.
“Mutiara ini dapat dipahat dalam bentuk apapun, mudah condong kepada segala sesuatu. Apabila dibiasakan dan diajari dengan kebaikan, maka dia akan tumbuh dalam kebaikan itu.
“Dampaknya kedua orang tuanya akan hidup berbahagia di dunia dan di akhirat. Semua orang dapat menjadi guru dan pendidiknya. Namun, apabila dibiasakan dengan keburukan dan dilalaikan, seperti dilalaikan haiwan, pasti si anak akan celaka dan binasa. Dosanya akan melilit leher orang yang seharusnya bertanggung jawab atasnya dan menjadi walinya.” (Risalah anjahul wasa’il).
Abul A’la bersyair indah,
Seorang anak tumbuh dewasa di antara kita,
Sesuai dengan apa yang dibiasakan oleh bapanya,
Seorang pemuda tidaklah beragama dengan begitu sahaja,
Kerabatnyalah yang membiasakannya beragama.

Bagaimana Nak Jadi Tekun?

$
0
0



Bertanyalah Diri, Apa Yang Allah Mahukan?

Orang yang cuba mencapai piawaian tertentu dalam kerjanya biasanya akan tekun melaksanakan tugasannya itu. Pernahkah kita mengambil berat tentang piawaian Allah dalam setiap kerja kita?

Rahsia menjana kuasa ketekunan luar biasa dalam diri seseorang ialah memahami apa yang dilakukannya itu dari ‘kasut’ Ilahi. Bertanyalah pada diri, apa yang Allah mahukan daripada kerjaku ini?


Allah Mahukan Kita Mengamalkan Islam yang Syumul

Allah mahukan kita mengambil Islam secara keseluruhan sebagai sistem hidup kita. Bukan separuh-separuh. Bukan cebisan-cebisan. Bukan mengikut selera kita sahaja.

Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara keseluruhan. Janganlah kamu mengikuti  jejak langkah syaitan.” (Al-Baqarah:208).

Contohnya, kita bukan sahaja tidak makan khinzir dan minum arak dalam aspek pemakanan bahkan tidak mendekati zina sebelum berkahwin dalam aspek muamalat.

Piawaian Allah supaya kita mengamalkan Islam secara keseluruhan akan memotivasikan diri untuk berusaha dengan tekun dan lebih tekun. Realitinya,  ia memang sukar  dilaksanakan. Namun, ia memberi kita target untuk dicapai.


Allah Mahukan Kita Hidup Memberi Manfaat

Sabda Rasulullah SAW yang berkata-kata dengan petunjuk wahyu bukannya nafsu, mafhumnya, “Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” (Riwayat al-Baihaqi, Sahih al-Jami’ al-Shaghir wa Ziyadatihi).

Daripada hadis ini, apa yang Allah mahukan? Sudah tentu Allah mahukan kita banyak memberi dan menyumbang kepada orang lain.

Orang mukmin sentiasa mencari peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tanpa perlu dipinta, disuruh atau dipaksa. Kata pepatah Arab, orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan memberi. Maka, untuk menyumbang kepada orang lain, sumbangkan dahulu kualiti buat diri sendiri.

Allah mahukan setiap mukmin cuba berperanan memenuhi semua aspek fakulti insan terhadap dirinya sendiri. Maha Bijaksana Allah SWT yang menyeru kita menjadi umat pertengahan dan seimbang.

Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: ayat 143).

Diri yang dilengkapi kualiti akan mudah memberi manfaat  kepada orang lain. Inilah keseimbangan hidup.

Aspek-aspek keseimbangan itu ialah:

1. Aspek fizikal dan material.
    Praktikal:
    a. Memastikan makanan kita halal, baik dan berkhasiat. 
    b.Memastikan pakaian kemas dan bersih.
    c. Memastikan tempat tinggal tersusun rapi dan nyaman.
    d. Memastikan kenderaan dalam keadaan yang memuaskan.
    e. Memastikan orang di bawah tanggung jawab kita turut menikmati keperluan ini.

2. Aspek akal atau pemikiran.
    Praktikal:
    a.  Menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah sedaya upaya.
    b. Meluaskan bacaan.
    c. Melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan kebolehan.
    d. Melakukan aktiviti-aktiviti yang menajamkan minda atau IQ.
    e. Banyak berfikir, mengkaji  dan berbincang.
    f. Bercita-cita menjadi insan berilmu malah sebagai pakar rujuk.
    g. Membantu rakan-rakan, adik-adik atau sesiapa sahaja belajar.

3. Aspek emosi.
    Praktikal:
    a. Memuhasabah sifat pemarah, memandang rendah, rendah diri dan lain-lain.
    b. Banyak memahami sebelum minta difahami.
    c. Menjadi pendengar yang baik.
    d. Melahirkan perhatian, simpati dan empati.
    e. Merawat tekanan emosi dengan kemahiran menyelesaikan masalah.
    f. Menguasai kemahiran interpersonal dengan baik.

4. Aspek rohani atau spiritual.
    Praktikal:
    a. Memantapkan akidah dan iman.
    b. Mendalami soal-soal akhirat seperti  alam barzakh, padang mahsyar, syurga, neraka dan 
sebagainya.
    c. Memahami konsep dosa dan pahala.
Orang mukmin yang menyedari keperluan untuk menjadi seimbang ini, akan tekun mencapainya. Setiap hari, dia menjadi tekun untuk memasukkan kualiti baru ke dalam diri.


Allah Mahukan Kita Hasilkan Kerja Yang Professional dan Berintegriti

Allah mengabadikan kata-kata keramat puteri Nabi Syuaib di dalam al-Quran.

Maksudnya: “Salah seorang daripada kedua-duanya berkata: ‘Wahai ayahanda, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat (al-qawiyy) lagi amanah (al-amin).’       

Apa yang Allah mahukan? Allah mahukan hasil kerja yang professional (al-qawiyy) dan berintegriti (al-amin).

Dalam peristiwa yang terakam di dalam al-Quran ini, dua orang puteri Nabi Syuaib iaitu Syafura dan Liya terpegun dengan keperibadian Nabi Musa a.s. Beliau bukan sahaja gagah melaksanakan tugasannya ketika menolong mereka memberikan air kepada binatang-binatang ternak, bahkan  cukup amanah dan berakhlak mulia melaksanakannya.

Lantas, dilaporkan kepada si ayah. Nabi Syuaib pantas berminat menawarkan perkerjaan kepada Nabi Musa. Jelas, dengan sifat professional dan berintegriti yang dimasukkan dalam diri seseorang mengundang rasa kepercayaan dan kekaguman. Kesedaran ini akan menjana sifat tekun untuk mencapai piawaian al-qawiyy dan al-amin di sisi Allah. 

Dalam perkerjaan yang kita lakukan samada belajar, membuat assignment, mengadakan perbentangan, belajar berkumpulan, membuat persiapan untuk peperiksaan, mengikuti program peningkatan diri serta kepimpinan dan sebagainya, Allah mahukan kita menjadi al-qawiyy(kuat lagi professional) serta al-amin (amanah dan berintegriti). Itulah hasil kerja yang berkualiti dan perlukan ketekunan untuk mencapainya. 


Allah Mahukan Kita Terbilang Dunia dan Akhirat

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Dan carilah apa yang telah dikurniakan kepadamu (kebahagian) di akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia.” (Surah al-Qashah: 77).

Apa yang Allah mahukan?  Allah mahukan kita cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW juga mengajar kita berdoa agar mendapat hasanah (kebaikan)di dunia dan di akhirat.

Sesetengah remaja keliru sendiri, “Saya sudah belajar bersungguh-sunguh dan tidak bergaul bebas, tapi keputusan peperiksaan saya biasa-biasa sahaja. Baik jadi macam dia. Dia studi lepak-lepak, bercinta pula tu, tapi result gempak. Dia lebih berjaya.” Kepercayaan silap ini mempengaruhi sikap dan tindakan remaja itu untuk tidak lagi tekun mencapai kesungguhan dalam belajar dan keindahan dalam berakhlak.

Hakikatnya ramai orang yang masih tidak tahu erti berjaya meskipun setiap orang menginginkannya. Adakah berjaya itu apabila mendapat keputusan berderet A tetapi asyik derhaka kepada Allah dengan bergaul bebas sebelum berkahwin? Adakah berjaya itu apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik tetapi menyombongkan diri daripada orang sekeliling? Adakah berjaya itu apabila kebijaksanaannya dikagumi orang tetapi berakhlak buruk?

Berjaya yang hakiki ialah apabila mendapat wajah Allah, keredhaan-Nya dan  syurga yang abadi. Maka, segala apa yang kita usahakan di dunia mestilah bermatlamatkan akhirat. Jika usaha kita  tanpa disertai niat dan akhlak ahli syurga, kejayaan daripada usaha itu hanyalah bersifat sementara, menipu daya dan tidak ke mana.

Maka, mukmin yang sedar akan tekun melengkapi diri dengan kualiti dunia dan akhirat kerana hidup ini menjadi penting dengan adanya negeri abadi. Setiap perbuatan baik walau sebesar zarah akan dihargai dan setiap perbuatan jahat walau sebesar zarah akan dibalasi.
      
     
Target Mencapai Piawaian Allah

Lakukanlah sesuatu dengan meletakkan piawaian Allah SWT di hadapan sebagai target yang ingin dicapai. Insya-Allah, ia suatu rahsia hebat untuk menjana ketekunan atau jiddiyyah yang luar biasa dalam hidup kita.

Rancang Sikap Anak Tatkala Dia Buat Silap

$
0
0


Banyak Karenah

“Ya Allah!!!!” bertempik seorang bapa tatkala melihat anak kecilnya mematahkan bingkai kaca mata. Baru dibeli semalam. Mahal pula tu.

Terkejut begini suatu reaksi spontan bagi mana-mana ibubapa apabila berhadapan dengan kesalahan si kecil. 

Pelbagai keletah tidak terjangka.
Menyorok telefon bimbit di dalam peti ais.
Meneraburkan duit dan dokumen dari dalam dompet.
Menyelerakkan buku daripada almari.
Meleraikan bunga hiasan.
Mencabut huruf-huruf di keyboard satu demi satu.
Mengoyak. Menterbalik. Mencurah. Menumpah. Menyepah. 1001 karenah.


Betulkan Sudut Pandang

“Kenapa dengan anak aku ni?” keluh hati ibubapa.

Mungkin kita terlupa…

Dia ‘anak kecil’! Memanglah anak kecil begini. Kalau tidak, apa bezanya dunia ‘anak kecil’ dengan dunia ‘anak besar’?

Anak kecil kita baru setahun jagung mengenal dunia. Bermula daripada tidak tahu apa-apa kepada belajar sedikit demi sedikit.

Adilkah kita mengharapkan anak kecil kita yang berusia 3 tahun berdisiplin seperti anak berusia 13 tahun? Jangan sampai sikap kita ‘menzalimi’ dunia kecilnya. Muhasabahlah mana-mana sikap kita yang tidak meletakkan sesuatu kena pada tempat. Mencubit, melempang…adakah itu sikap yang ‘adil’ dalam mendidik si kecil? Kasihani dia.

Kita akan lebih sabar apabila memahami. Lebih terpujuk. Kurang stress. Tugas mendidik anak menjadi lebih seronok bahkan menceriakan hidup.


Marahlah bukan Marah-marah

Ya, anak perlu belajar daripada kesalahannya. Jika ibubapa tidak marah, bagaimana anak akan mengambil serius terhadap perbuatannya yang salah? Lumrah marah, nada suara akan meninggi sedikit. Itu normal.

Biarpun nada suara meninggi sedikit, pastikan bahasa yang kita gunakan tidak kasar dan tidak menyiat-nyiat jati dirinya. Jangan meletakkan label ‘bodoh’, ‘nakal’ atau ‘jahat’. Kata-kata itu akan diprogramkan ke dalam otak menjadi satu kepercayaan diri yang negatif.

“No!” cukup dengan satu perkataan tegas, anak akan mengerti dia buat silap. Biasanya, mukanya akan berubah monyok. Bibirnya mencebir kesedihan.

“Waaaaaaaaaaaaaaa!!!” Ada yang terus berteriak menangis. Ada yang menangis perlahan tersedu-sedan.
Apakah reaksi kita ketika ini?

Meninggalkan begitu sahaja? Biar dia mengerti dengan sendirinya? Biar padan muka? Biar puas hati kita? Biar dia mampu membuat kesimpulan sendiri? Biar? Biar? Biar?


Selepas Marah?

Kembali kepada realiti, dia cuma anak kecil yang belum mengerti.  Jangan biarkan dia tertidur dalam kesedihan. Jangan biarkan hatinya rasa dilukai tanpa pujukan.

Kita tentu gembira jika anak kita pandai meminta maaf, bukan? Siapa yang akan mengajarnya sikap mulia itu kalau bukan kita?

Panggilan lembut akan melembutkan hatinya,

“Adik, mari minta maaf dengan ayah.”

Hulurkan tangan kita untuk bersalam. Jangan tunggu anak kecil kita mengerti sendiri untuk menghulurkan tangannya terlebih dahulu. Bahkan kita boleh mencium tangannya terlebih dahulu agar dia dapat mengikuti perbuatan itu.

Si kecil itu gembira diberi peluang. Kita juga akan terpujuk daripada geram. Ajarilah dia dengan kata-kata meminta maaf,

“Ikut ayah sebut, ‘Ayah, adik minta maaf. Adik tak sengaja.’”

Mendengar suara comelnya melafaz kemaafan, sangat mengubatkan. Bukan senang dia hendak memaksa dirinya lunak menerima didikan.

Selepas itu, senyumlah semula. Cium dia. Puji dia. Kerana ‘pandai’ meminta maaf.


Maafkanlah

Prap!

Si kecil terpijak lagi cermin mata si ayah. Dalam nada bersalah, dia cepat-cepat meminta maaf,

“Ayah, adik minta maaf. Adik tak sengaja.”

Sejuk hati mendengarnya. Mulia kelihatan akhlaknya.

Tapi, apakah sikap ibubapa ketika ini?

Memasamkan wajah? Memuncungkan mulut? Mencubit? Enggan menerima kemaafan?

Andai beginilah sikap kita, kita telah mengajarinya sikap berdendam. Dia akan meneladani sikap sukar memaafkan.

Ajarilah dia akhlak mudah memaafkan. Senang tersenyum kembali setelah memaafkan. Bukan mencuka berjam-jam.

Fahami, dia manusia biasa yang berpotensi melakukan kesilapan bila-bila masa sahaja. Kita juga manusia yang ada buat silap. Sudikah kita menurunkan ego untuk meminta maaf?

“Ayah yang sepatutnya minta maaf sebab letak cermin mata merata-rata.”


Berat tapi natijahnya hebat, insya Allah….

Daie Itu...

$
0
0
Duhai hati-hati yang celik,

Hari ini, kita sudah mempunyai ramai penghafaz al-Quran. Kita juga sudah mempunyai ramai graduan agama. Setiap tahun, beribu-ribu pelajar agama merayakan konvokesyen. Begitu juga, kita mempunyai ramai professional dalam pelbagai bidang.

Syukur, alhamdulillah! Tapi kita masih kekurangan satu perkara. Kurang apa? Kita kekurangan daie. Kita kekurangan golongan agamawan dan profesional ini bangkit menjadi pendakwah.


Seorang Mengesani Ribuan Orang

Ummah rindukan daie yang mampu mengusap lembut hati-hati semua golongan. Dakwahnya sampai ke jiwa para cendikiawan, orang awam, kaum terpelajar, orang kurang pelajaran, penduduk kota, penduduk desa, penghuni gedung-gedung mewah mahupun rumah biasa. Daie yang dengan dirinya seorang boleh mengesani ribuan orang.

Kalau daie itu jumlahnya ribuan orang, lagi bagus. Boleh mengesani setiap ceruk alam, insya-Allah.

Umat hajat untuk melihat Islam yang berjalan dalam diri, keluarga, dan dalam aktiviti para pendakwah. Melalui dakwah, akan berlakulah perbaikan umat secara integral, dan mengeluarkan manusia daripada kepekatan jahiliah menuju cahaya Islam.


Penyeru Kepada Allah

Siapa mempunyai cita-cita mahu menjadi doktor hati umat? Mengajak orang lain kepada kebaikan. Tidak kira apapun kerjaya yang kita ceburi akan datang, kita boleh memilih untuk menjadi daie.

Samada kita seorang jurutera, atau doktor, atau ustaz, atau tukang kebun, atau petani, atau penoreh getah, atau penjual nasi lemak, atau juruteknik atau apa sahaja. Selitkanlah di hujung cita-cita ini mahu menjadi daie.

Daie yang macam mana?
Daie ini ada macam-macam sebenarnya. Ada:

1.      Ad-daie ilayya- hanya mengajak orang kepada individu tertentu.
2.      Ad-daie ilaina- hanya mengajak orang kepada kumpulan tertentu.
3.      Ad-daie ilallah- mengajak orang kenal Allah dalam hidupnya. Secara tidak langsung dia kenal juga induvidu dan kumpulan yang harus dia bersama.


Sebaik-baik Perkataan

Sungguh hebat kedudukan ad-daie ilallah ini sehingga Allah SWT mengiktiraf perkataannya di dalam al-Quran.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan, dan berkata, “Sungguh aku termasuk orang-orang Muslim yang berserah diri.” (Surah Fussilat: 33).


Duhai hati yang hidup,

Mari bermonolog dengan Allah… 
Aku datang kepada-Mu, duhai Allah. Aku mahu menjadi pekerja-Mu, duhai Allah. Aku hidup sebab hendak penuhi agenda-Mu, duhai Allah. Aku hendak buat apa sahaja yang Kau sukai, duhai Allah. Aku tidak mahu membuat apa sahaja yang Kau tidak sukai, duhai Allah.

Semoga niat baik di hati akan membuatkan Allah SWT sudi memilih hati kita. Lalu, dicampakkan rasa ‘izzah’ (mulia) bagi melantunkan ahsanu qaulan,sebaik-baik perkataan. Hingga, tidak jemu melantunkan kalimah-kalimah daie yang mengajak orang kepada Allah SWT.

Biar orang bosan dengan kita. Jangan sesekali kita bosan dengan orang. Ajaklah siapa yang terdekat,

“Jom, kita baca al-Quran sama-sama. Kita jadi hamba Allah yang baik.”
Mungkin ada hati yang berbisik,
“Erk! Macam poyo!”

Ya. Memang ada yang malu hendak bercakap tentang Allah dalam perbualan seharian. Takut nanti orang kata,

“Hek eleh, alim kucing konon.”
“Hipokrit! Uweks..”


Duhai hati,

Seronokkah kita membiarkan hidup kita tidak bebas? Bukan orang yang memenjarakan kita. Tapi, kita sengaja mengikat diri kita. Terkongkong dengan persepsi orang lain. Kita lalu tidak bebas hendak berbuat baik sebab orang. Sampai bila?

Terpulanglah kita mahu menjadi hamba kepada persepsi orang, atau hamba Allah. Kelak kita bertanggung jawab ke atas pilihan kita ni.

Pilihlah untuk menjadi daie. Tenang di hati. Dicintai Ilahi. Kasih makhluk bertaut sekali. Bahagia hidup hingga ke negeri abadi.


Cahaya Daie

Tanpa daie, masyarakat akan menderita penyakit bodoh.  Mereka akan diperdaya syaitan, jin dan manusia bila-bila masa sahaja.

Daie ibarat lampu pendaflour di jalan yang gelap. Ia memberi cahaya kepada pengguna jalan raya.
Daie juga bagaikan imam dan pemimpin. Mereka menjadi hujah Allah yang berjalan di atas muka bumi. Penyingkir kesesatan di fikiran manusia. Awan keraguan diarak pergi daripada hati dan jiwa mereka. Merekalah teladan dalam pembicaraan dan juga amalan.


Dakwah perlukan Kaedah, Baru Berfaedah

Hendak menjadi daie, bila-bila masapun boleh. Siapapun boleh. Dengan hanya memaniskan wajah, dan berkata-kata baik, kita sudahpun melakukan dakwah. Bahkan dengan menggeleng-gelengkan kepala apabila diajak berbuat maksiat, itu juga dakwah.

Hendak menjadi daie sejati perlukan kaedah dakwah. Kaedah dakwah ni ialah pemahaman tentang seluk beluk dakwah. Tanpa kaedah, kita bimbang dakwah kita lebih membawa kerosakan daripada manfaat.

Daie dengan kaedah berdakwah bagaikan dua sisi wang siling. Tidak boleh dipisahkan. Sebelahnya bercorak bunga-bunga. Sebelah lagi pula, ada nilai mata wang. Kalau ada sebelah sahaja, hilang nilainya.

Moga dengan kaedah dakwah ini, musuh-musuh Islam tidak dapat lagi menuduh para pendakwah Islam sebagai pengganas, pemaksa atau kaki penyibuk. Kaedah dakwah memandu para pendakwah sentiasa berhikmah, berpanduan dalam tindakan, tenang dan waras.

Apa kaedahnya? Tidak cukup ruang hendak bincang. Insya Allah, akan datang.


Daie Terbaik

Daie terbaik ialah Nabi Muhammad SAW. Bila bergelar daie, itu tidak bermakna baginda menjadi manusia yang terpisah daripada rutin manusia biasa yang lain. Bukannya, berpuasa 24 jam. Baginda berpuasa dan berbuka. Baginda juga berjalan di pasar-pasar. Bukannya, menganggap pasar itu jijik dan tidak sesuai untuk orang-orang soleh.

Apabila kita mempelajari kehidupan Rasulullah, kita akan menemui contoh yang paling tepat untuk menjadi daie buat umat.


Berjiwa Daie

Sunnah berdakwah,
sakit dan susah
namun,
awalnya saja payah,
akhirnya penuh barakah,
Allah sudahpun memujuk,
Akhir dakwahmu lebih baik dari awal dakwahmu,
Akhiratmu lebih baik daripada duniamu.

Jika kita tidak mahu berpayah-payah,
dalam berdakwah,
Kita kan payah juga,
Payah,
didera dosa membuang masa,
Bosannya merantai seluruh jiwa.

Wahai pendakwah,
Sabarlah dengan cacian manusia,
Jika ada 10 orang yang  membenci,
ada 1000 yang lain sudi menyayangi,
Jika ada 10 yang mengata,
Ada 1000 bangkit membela.

Namun,
andai seluruh dunia menghinamu,
Jangan pernah berputus asa,
Kerana kau punya kekasih yang Esa,
Dia tetap setia, selamanya,
Selagi kau setia mencintai-Nya,

Dengan setulus-tulus cinta.

---
"Berjuang memang pahit,
Kerana syurga itu manis,
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar,
Bukan sedikit pedih yang ditagih.

Berjuang ertinya terkorban,
Rela terhina kerna kebenaran,
Antara dua pasti terjadi,
Tunggulah syahid...
...atau menang..."

- Sunnah Berjuang 2, Nada Murni-
:)

Mintalah Fatwa Dari Hatimu

$
0
0



Nabi Tahu Soalannya

 “Mintalah fatwa dari hatimu.”
Ini hadis Nabi. Nak faham hadis kenalah rujuk kitab syarah hadis. Sebelum itu, mari kita telusuri satu kisah yang melatari hadis ini.
Seorang lelaki bernama Wabishah bin Ma’bad r.h. datang berjumpa Nabi SAW. Belum sempat dia membuka mulut, Rasulullah SAW meneka,
“Kamu hendak tanya tentang kebaikan?”
Terkejut Wabishah mendengar tepatnya sangkaan Nabi. Wabishah yakin, Nabi tidak mengetahui perkara mendatang (termasuk perkara ghaib) kecuali apa yang Allah beritahu kepadanya. Ini satu mu’jizat. Wabishah lantas mengiyakannya.
“Benar!”
Baginda lalu menjelaskan satu ilmu yang sangat penting, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa-apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberi fatwa membenarkanmu.” (Hadis hasan riwayat Ahmad dan Ad-Darimi).
Hadis yang lain daripada an-Nawas bin Sam’an diriwayatkan Muslim dalam al-Bir wa ash-shilah, bab Tafsir al-birr wa al-itsm. Nabi mengajar kita, “Kebaikan  adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang meresahkan jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.”
Singkat dan padat. Begitulah istimewanya hadis ini. Kebaikan itu mencakupi semua perbuatan baik. Dosa pula mencakupi semua perbuatan buruk samada kecil atau besar.

Fitrah: Tenang Dengan Kebaikan, Resah Dengan Dosa

Salah satu (bukan satu-satunya) cara mengenal kebenaran ialah dengan fitrah. Buktinya, apa yang Nabi katakan dalam hadis ini. Kebaikan itu mententeramkan hati dan jiwa.  Allah yang maha baik menciptakan kita untuk mengetahui kebenaran. Kita tenang dengannya. Menerimanya.
Allah tanamkan tabiat kepada kita cintakan kebenaran. Bahkan, menurut kajian sains, apabila kita membuat kebaikan, hormon kortisol akan terrembes. Ia menyebabkan kita rasa seronok. Rasa nak buat lagi.
Kita lahir dalam keadaan baik. Suci. Bersih.
“Setiap anak Adam lahir dalam keadaan fitrah.” Abu Hurairah yang meriwayatkan hadis ini seterusnya membaca ayat al-Quran,
“(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” (Ar-Rum: 30).
Tatkala kita dilanda dilema,
“Ini baik ke buruk?”
Tanyalah hati, ia condong ke mana? Mana yang hati tenteram, itulah kebaikan. Apa yang hati tidak merasa tenang dengannya, itulah dosa bagi kita.  Meskipun dari sudut fatwa hal itu masih dibolehkan. 

Baik Bagi Orang Baik, Buruk Bagi Orang yang Dekat Dengan Allah

Ada perkara yang hasanatul abrar, wasayyiatul muqarrabin. Bermaksud, baik bagi orang-orang baik tapi buruk bagi orang-orang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Cuba lihat. Seorang ulama misalnya al-Qaradhawi memfatwakan alat muzik seperti gitar yang digunakan dengan syarat tertentu, hukumnya dibolehkan.
Peranan mufti antaranya memberikan batas ‘minimum’ tentang fiqah. Fatwa diberikan dengan melihat yang zahir. Berdasarkan ilmu bukan nafsu. Fatwa ini diberi secara umum untuk semua manusia, bukan untuk golongan tertentu sahaja. Jika gitar itu difatwakan haram secara mutlak, sudah tentu masyarakat Islam di Eropah yang ‘bernafas’ dengan alat muzik sejak kecil akan mengalami kesempitan dan kesusahan dalam agama. Muzik pula menjadi fenomena di seluruh dunia tika ini.
Namun begitu, dari sudut amal, ulama ini memilih apa yang paling taqwa. Hatinya secara fitrah tidak menyukai bermain gitar. Maka, beliau tidak menggunakannya. Kerana, boleh jadi gitar itu baik bagi orang lain tapi buruk baginya.
Dari segi akhlak pula, beliau tidak pula merendah-rendahkan orang yang bermain gitar. Ramai pendakwah yang bermain gitar dengan  tujuan yang baik. Beliau berbaik sangka dan berlapang dada. Merendah-rendahkan orang yang melakukan perkara ‘harus’(baginya) kerana menyangka diri sendiri bertaqwa, tidaklah cocok dengan akhlak seorang muqarrabin.

Jika Ragu, Tinggalkanlah

Hadis ini mengajar kita agar meninggalkan fatwa jika ia bertentangan dengan hati dan menimbulkan keraguan di dada.  Imam an-Nawawi memberikan contoh kes.
Seorang perempuan memberitahu bahawa dia menyusu dengan si A.  Mufti berfatwa bahawa anak si A boleh menikahinya kerana tiada kesempurnaan dalam jumlah susuan. Fatwa tersebut masih tidak menghilangkan keraguan (syubhat). Sebaik-baiknya dia bersikap wara’ (hati-hati) walaupun manusia memfatwakan kebolehannya.
Jika fatwa dikuatkan oleh dalil syar’i, maka wajib bagi seorang Muslim mengambil fatwa itu dan berpegang dengannya, walaupun dadanya tidak senang menerimanya. Contohnya ketika Nabi memerintahkan para sahabat menyembelih binatang korban dan tahallul pada umrah Hudaibiah. Sahabat sangat berat menerimanya tapi mereka akhirnya taat. Perintah Allah dan Rasul tidak boleh dibelakangkan hanya kerana menurut fatwa hati.

Isyarat Hati 

Sihatkan hati dengan banyak mengingati Allah. Kata Allah, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenang.”
Ada dua tanda dosa. Khusus untuk perkara yang kita samar tentangnya. Jika perkara yang jelas hujah dan dalilnya, itu soal lain. Dua tanda tersebut ialah:
1)      Tanda dalam- hati rasa benci, tak tenang, resah dan tertekan. Hadis sahih daripada Ibnu Mas’ud  menyebut, “Dosa itu menyakitkan hati.”
2)      Tanda luar- tidak suka diketahui manusia. Kebencian atas dasar agama. Bukan kebencian saja-saja.
Hadis ini menempatkan kedudukan hati di kedudukan yang istimewa dalam Islam dan boleh meminta fatwanya sebelum beramal.
Hadis ini juga memberi petunjuk untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia, kerana akhlak yang baik merupakan kebaikan yang paling besar.
                Syumulnya Islam. Ia menjadi pengatur dan pengawas internal dari dalam diri dan juga eksternal. Berbeza dengan undang-undang buatan manusia yang hanya menjadi pengawas eksternal.  
Jom sihatkan hati! Agar kita tidak memiliki raja yang ‘evil’ dalam kerajaan diri.

(Sila rujuk lanjut buku Al-Wafi, Syarah Hadis Arbain, Imam Nawawi, karangan Dr. Mustafa Dieb al-Bugha dan Syaikh Muhyiddin Mistu)

Krisis Akhlak Remaja

$
0
0

BARU-BARU ini negara dikejutkan dengan berita seorang remaja lelaki yang dikatakan hilang selepas memasuki banglo terbiar dikenali sebagai Villa Nabila di Johor Bahru.

Namun sehari kemudian, remaja lelaki itu ditemui selepas dia dikatakan tidur di rumah rakan sepanjang tempoh berita kehilangannya.

Sedangkan satu negara kecoh mengenai berita kehilangannya itu dan kononnya telah mencetuskan seribu satu misteri sehingga menyebabkan timbul pelbagai dakwaan termasuk gangguan makhluk halus.

Kisah remaja itu merupakan antara puluhan kes pernah dilaporkan di muka dada akhbar, akhirnya menjadi kebimbangan kepada ibubapa dalam mendepani anak-anak mereka berusia muda.

Mengapa isu remaja lari dari rumah, mengikut kekasih dan seumpamanya berleluasa sejak kebelakangan ini? Adakah berpunca daripada kurangnya didikan dan kasih sayang oleh ibu bapa?

Menurut pembimbing motivasi, Fatimah Syarha Mohd. Noordin remaja merupakan kelompok yang kompleks apabila aktiviti hormon selalu berubah menyebabkan mereka kadang-kala berasa kurang tenteram, bergolak, tidak teratur dan kusut.

Terang Fatimah Syarha, ada kalanya mereka mudah difahami, tetapi kalang-kala tingkah laku mereka sukar difahami. Malah terdapat juga menjadi sukar diramal dan suka berahsia, pergi ke tempat sunyi sebegitu merupakan salah satu tingkah laku mereka sukar diramal.

Beliau berkata, tingkah laku itu mungkin menggambarkan wujud hasrat yang tersimpan seperti:
Mahu dirinya diterima rakan sebaya.
Memerlukan disayangi dan dihargai.
Sukakan suasana tersendiri.

Oleh demikian, sikap ibubapa sangat penting dalam fasa remaja ini. Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata menyebabkan remaja berasakan dirinya tidak berguna, dihalau pergi dan dikatakan 'menyemakkan' mata ibubapa andai dia berada di rumah.

"Ibu bapa juga perlu membuatkan diri anaknya berasa diambil berat. Ditanya ke mana perginya, makan minumnya, atau tempat tidurnya. Apatah lagi ini zaman gajet. Proses pemantauan sepatutnya menjadi lebih mudah," ujar Fatimah Syarha.


Fahami Remaja

Perubahan sikap remaja bukan sahaja dipengaruhi oleh peralihan hormon mendadak, tetapi juga memberi kesan kepada perkembangan yang berlaku terhadap otak mereka kerana pemikiran diuruskan oleh bahagian itu berasaskan emosi. 

Manakala bahagian otak berasaskan pemikiran rasional dan praktikal adalah proses terakhir sekali dibentuk, lengkap dan sempurna. Bahagian otak ini dinamakan prefrontal cortex.

Sehubungan itu, Fatimah Syarha mengatakan pada bahagian itu sering berlakunya pertimbangan dan penilaian yang bagus seperti mengurus, mengatur, membuat keputusan tepat dan mengawal kehendak hati.

Fatimah Syarha menambah, bahagian otak berkenaan menjadi lengkap dan berkesan apabila remaja menjangkaui usia 25 tahun. Pada saat itu pemikiran mereka menjadi lebih stabil, tenteram, teratur, dan rasional.

Dalam fasa prefrontal cortex ini belum lengkap, ibu bapalah yang perlu bertindak sebagai kawalan kepada remaja, khususnya mereka dalam fasa ini sangat suka meniru. Ibu bapa seharusnya berkawan dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak yang akhirnya akan meniru kewibawaan ibu bapanya.

"Remaja sangat perlukan nasihat dan bimbingan ibu bapa dalam aspek kehidupan. Sebab itu, ibu bapa sepatutnya mengambil peluang bagi mempengaruhi remaja daripada segi nilai-nilai murni, keagamaan, isu moral serta keputusan mereka pada jangka masa panjang. 

"Golongan berkenaan perlukan pertalian erat dengan ibu bapa. Dalam masa yang sama, mereka mahu diberi kepercayaan untuk membuat keputusan, bahkan memerlukan tempat dan situasi tersendiri," jelas Fatimah Syarha.

Beliau sempat memberi satu kajian membuktikan remaja yang rapat dan mesra dengan ibubapa kurang menghadapi masalah sosial dan sukar terjerumus ke dalam aktiviti negatif.

Hal ini kerana jelas beliau, perkembangan otak yang lebih sihat dan mampu mencapai potensi sepenuhnya apabila anak-anak diajar berinteraksi dan diberi lebih ransangan seperti dipeluk, selalu bercakap, bergurau senda dan diceritakan dengan pelbagai pengalaman menyeronokkan.

"Pengalaman begini diperlukan bagi merangsang penyambungan dari satu urat saraf otak ke otot dan ke tisu lain bagi membina litaran yang berjuta-juta.

"Pokok pangkalnya ibubapa perlu muhasabah diri, bilakah kali terakhir kita memeluk anak meskipun dia sudah remaja? Pernahkah kita berkawan dan bercakap penuh minat dengannya? Jika kita tidak berubah, bagaimana mahukan sikapnya berubah.

Keindahan Susu Ibu Anugerah Allah

$
0
0
ISLAM menganjurkan seorang ibu semaksimum mungkin berusaha menyempurnakan susuannya sehingga dua tahun penuh.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”

Menurut pendakwah bebas, Ustazah Fatimah Syarha Mohd. Noordin, al-Quran turut menganjurkan mesyuarat atau perbincangan dilakukan antara suami dan isteri jika mahu menceraikan susu anak sebelum usianya dua tahun.

“Jika diperhalusi kajian sains, seksanya seorang anak kecil untuk melalui alam bayinya jika dia tidak mendapat khasiat susu terbaik di dunia. Ini kerana hanya susu ibu paling serasi dengan keperluannya.

“Justeru, menyusu anak bukan satu beban tapi satu kenikmatan. Indahnya perasaan ibu tatkala dapat menatap si permata hati dalam pelukan. Bertasbih dan mensyukuri kehadirannya. Bercakap-cakap dan mengajar anak tersebut tentang Pencipta mata, hidung dan telinganya.

“Bagi si bayi pula, susu ibu bagaikan ubat penenang. Selasak manapun dia seperti meniarap, merangkak atau bertatih, dia pasti akan ditawan oleh susu ibu,” jelas Fatimah Syarha yang juga merupakan pembimbing motivasi.

Dalam pada itu, dia memberitahu, jika seseorang wanita tidak mampu menyusukan anaknya atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan termasuk masalah kesihatan, mereka tidak dikira berdosa.

“Yakinlah bahawa Allah memahami keadaan hamba-Nya yang beraneka rupa. Tapi, seelok-eloknya ia perlu dilakukan dengan perbincangan bersama suami. Insya-Allah, dengan berbincang akan keluar pelbagai jalan penyelesaian seperti mengambil ibu susuan untuk si anak,” ujar beliau lagi.

Berbicara tentang pengalaman menyusukan anaknya, Fatimah Syarha tidak lokek berkongsi kaedah terbaik untuk melakukannya.

Antaranya, membetulkan niat bagi memastikan anak mendapat khasiat susu terbaik di dunia. Selain itu, para ibu juga perlu berdoa secara khusus setiap hari agar dipermudahkan urusan penyusuan anak.

“Jika susu kurang, jangan menyerah kalah. Sebaliknya gunakan kaedah penyelesaian secara holistik dan menyeluruh.

“Sebagai contoh dalam aspek rohani, lakukan solat hajat dan berdoa, fizikal (banyakkan minum air kosong, susu atau jus dan pemakanan yang seimbang) dan mental perlu dikuatkan dengan terus membaca tentang kepentingan susu ibu,” ungkap wanita yang masih sempat menyusukan anak sulungnya meskipun berada dalam kesakitan kontraksi untuk melahirkan anak kedua kerana tidak mahu hak si kakak dikurangkan walaupun setitik.

Kenali anakmu

$
0
0









Kenali Anakmu


Didiklah, Jangan Cepat Melabel


Fahami Fitrah Mereka Perlu Belajar
                Ada pelbagai macam keluhan ibu muda yang biasa kita dengari berkenaan telatah anaknya.
                “Kenapalah anak saya suka sepahkan rumah?”
                Bukan itu sahaja, ada pelbagai persepsi masyarakat sekeliling hingga mereka cepat melabel telatah anak orang lain. Baru sekali berjumpa, sudah pantas menghukum,
                “Anak  awak ni tak pandai berkawan. Maaf, saya tak suka anak saya nanti jadi sombong sepertinya.”
                Sikap-sikap sebegini adalah suatu sikap yang tidak meletakkan sesuatu kena pada tempat. Tidak membantu membaikkan keadaan. Mana ada kanak-kanak yang sejak lahirnya tahu semua perkara dalam dunia ini? Mereka tidak diciptakan dalam keadaan sudah tahu segala disiplin, adab sopan dan peraturan. Kata pakar psikologi, nurture is nature. Fitrah mereka perlu belajar.
                Sebab itulah mereka dipanggil bayi dan kanak-kanak. Mereka belum mengerti sebagaimana orang dewasa mengerti. Tidak adil kita paksa mereka perlu memahami sebagaimana ‘kita’ memahami sesuatu. Cuba kalau orang lain layan kita begitu. Sakit kan? Didiklah dengan lembut sabar apa yang mereka belum ketahui. Masa itu rawatan.


Seimbangkan Fokus Kita Pada Semua Aspek
Semakin kita memahami ‘fitrah’ perkembangan kanak-kanak, semakin besar potensi yang boleh kita lakukan untuk menyokong perkembangannya. Dalam merangsang perkembangan anak-anak, kita perlukan pendekatan yang menyeluruh. Holistik. Cara yang seimbang ini menjadikan perkembangan anak-anak lebih efektif berbanding kita fokus pada satu aspek sahaja.
Banyak aspek yang boleh kita gunakan untuk mengkategorikan perkembangan anak-anak. Aspek-aspek ini saling berinteraksi antara satu sama lain. Antara aspek-aspek itu ialah:
1)      Pergerakan
2)      Koordinasi Tangan-Mata.
3)      Bahasa.
4)      Pembelajaran.
5)      Perkembangan sosial dan emosional.


Jangan Melabel, Terus Menyokong
Ingatkah anda saat bayi anda dilahirkan kemudian dibersihkan. Setelah itu bayi diletakkan di dada

ibu untuk mendapat kebaikan susu ibu. Si kecil itu bertindak refleks menghisap puting. Mulutnya terbuka luas bagai bukaan mulut ikan. Cup! Cup! Cup! Gopoh bunyinya.
Susu yang disedut automatik ditelan. Pergerakan si comel sangat-sangat terbatas. Mata jernihnya ada yang terpejam. Ada yang merenung ke mata ibu. Ada yang berkelip-kelip. Ada yang tunduk ke bawah. Unik dan pelbagai. Dia tidak dapat mengangkat kepalanya sendiri. Perlu disokong.
Pada usia purata 13 bulan, bayi boleh berjalan sendiri dan pergi ke mana sahaja. Usah risau jika anda melihat bayi orang lain sudah berjalan seawall 7 bulan. Usah stress jika bayi anda yang berusia 13 bulan masih belum berjalan. Pencapaian setiap bayi dalam pergerakan berbeza-beza. Ada yang cepat. Ada yang lambat. Tugas kita, bagaimana membantu mereka? Tidak melabel dan terus menyokong.
“Anak aku ni keturunan lembap agaknya.”
Ops. Berhati-hati dengan lidah anda. Ia boleh jadi satu doa. Walau apapun pencapaiannya, terus percaya pada kebolehannya. Dalam ‘percaya’ itu ada ‘kuasa’. Selalulah tersenyum ke arah bayi sejak hari pertama dia dilahirkan. Tunjukkan rasa ‘percaya’ yang tinggi terhadap apa yang dia lakukan. Jika ianya berbahaya, jangan tunjuk panik. Bimbang nanti mereka takut mencuba. Alihkan mereka dengan tenang. Jom, mari mendidik. Kerahkan 1001 kreativiti bersama-sama. Bukan asyik merintih dan melabel.


Rujukan: 1) gambar kanak-kanak http://budakroh.blogspot.com/2011/12/40-kesilapan-ibu-bapa.html
  2) gambar tangan anak dan ibu http://www.abbeijing-emarch.com/2011/12/      

Cinta Allahpun Bersyarat!

$
0
0

Cinta Allahpun Bersyarat
Musibah Diundang atau Tidak Diundang
Apa sahaja musibah yang tidak kita sukai, Islam mengajar kita berdoa dan berusaha mencegahnya. Bukan berdiam diri dan mengharap kosong di atas angin begitu sahaja.
Jika Allah takdirkan sesuatu musibah terjadi ke atas diri kita, ia akan terjadi juga. Usah peningkan kepala. Kecilkan risikonya.
Tunjukkan kepada Allah SWT bahawa kita telah mencurahkan doa dan usaha dalam kudrat seorang hamba yang serba terbatas..
Musibah itu ada dua jenis. Ada yang datang ‘diundang’ dan ada yang datang ‘tidak diundang.’
Jika musibah tetap terjadi meskipun kita sudahpun mengambil langkah pencegahan dan langkah berhati-hati, ianya suatu musibah ‘tidak diundang’. Sudah tentu rahmatnya besar di sisi Allah. Keadaan ini lebih baik daripada gagal membuat jangkaan dan mencegah datangnya musibah, kerana risiko berlakunya musibah pada bila-bila masa jauh lebih besar. Rasa tidak tenang lebih kerap hadir.
Kecilkan Risiko
Sebelum bernikah, kita sepatutnya sudah bijak membaca kriteria pasangan yang berpotensi untuk curang setelah bernikah. Selalunya dia seorang yang:
Gatal.
Suka mengurat.
Berkawan dengan ramai pasangan tanpa urusan.
Selalu SMS dan call pada perkara yang tidak penting.
Selalu bergurau hendak bernikah ramai.
Asyik chatting dan facebook dengan pasangan bukan mahram.Tanpa urusan munasabah.
Jika kita sendiri memilih pasangan yang berpotensi untuk tidak setia, kemudian, apabila kita menjadi suami atau isterinya, dia bermain kayu tiga, maka kita sendirilah yang sebenarnya mengundang masalah itu.
Bukankah  Allah SWT sudahpun memberitahu kita, banyak sekali musibah dalam hidup ini bersumber daripada perbuatan kita sendiri? Kita yang mengundangnya. 
Minimumkan Musibah
Langkah pencegahan dan membuat jangkaan bukanlah bertujuan untuk hidup tanpa masalah. Mana ada hidup tanpa masalah? Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meminumkan musibah dan masalah, terutamanya akibat sikap dan kesalahan kita sendiri.
Ramai pasangan boleh terima apapun kekurangan suami atau isterinya. Dia sanggup berada di sisi pasangan walau apapun terjadi kepadanya. Tidak kira pasangannya jatuh miskin, sakit teruk, dimusuhi, dibebani hutang, difitnah atau apa sahaja berlaku ke atasnya, dia terus setia.
Cuma satu, ramai suami atau isteri lebih sanggup kehilangan pasangannya jika pasangannya itu mempunyai kekasih yang lain. Sebelum masalah besar ini timbul dan kesannya berlarut-larut dalam seluruh baki usia, kita mesti berhati-hati melangkah.
Jika ia berlaku kerana lalainya kita membuat jangkaan yang tepat ketika dalam tempoh pemilihan, maka yang bersalah adalah diri kita sendiri. Bukan orang lain. 
Syarat Suatu Yang Normal Dalam Aqad Muslim
Kita nak beli rumah dan kereta ada syarat. Nak buat pinjaman ada syarat. Nak sewakan rumah kita kepada orang lain, kita letakkan syarat yang munasabah. Bahkan dalam kebanyakan aqad kaum muslimin, ia sangat bijaksana meletakkan syarat. Ia suatu yang normal. Ia suatu sikap berpandangan jauh terhadap risiko masa depan.
Cinta lebih rasional jika ada syarat yang munasabah. Bincangkan ia sejak di fasa pertunangan untuk mengecilkan risiko keruntuhan rumah tangga pada masa depan. Mahukan cinta tanpa syarat? Okey tapi realistiklah! Islam sangat manusiawi. Sensitiviti dan kondisi individu berbeza-beza. Berbincang dan letaklah syarat yang dipersetujui bersama. Demi keteguhan masa depan.
Lihatlah, cinta Allahpun mempunyai syarat selagi kita tidak syirik kepada-Nya. Cinta dalam pernikahan juga wajar mempunyai syarat ta’liq agar melindungi pasangan daripada risiko penganiayaan.
Betapa ramai pasangan yang suka mengubat sebelum mencegah. Apabila pasangannya terbukti bermain kayu tiga, barulah dia mula mencari penyelesaian. Mereka pejamkan sahaja mata ketika masalah memberi ‘petanda awal’ untuk datang. Usaha mengubat jauh lebih sakit dan pedih daripada usaha mencegah. Mahu yang mana?

Muhammad bin Syihab Az-Zuhri Pencinta Hadis

$
0
0


Profil
·         Nama penuh Muhammad bin Muslim bin Abdullah.
·         Atau nama sebenarnya Muhammad bin Muslim bin Ubaydullah bin Shihab az-Zuhri.
·         Ahli hadis dan ahli fiqh.
·         Seorang tabi’in.
·         Tinggal di Ailah sebuah desa antara Hijaz dan Syam.
·         Membukukan banyak hadis.
·         Wafat pada tahun 123 hijrah.

Berguru dengan Pakar Berautoriti
Siapa tidak kenal seungkap nama unggul Ibnu Syihab az-Zuhri,di bumi Hijaz dan Syam? Para ulama di situ menjadikan dirinya pakar rujuk.
Dari bumi Madinah, beliau merantau ke Damsyiq, Syria. Ketika itu, Khalifah Abdul Malik memerintah.
Kecintaannya kepada hadis membawa dirinya tinggal selama lapan tahun bersama Sa’id bin Al-Musayyab di sebuah desa bernama Sya’bad di pinggir Syam. Sa’id bin Al-Musayyab itu pula merupakan pakar berautoriti dalam bidang hadis yang cukup terkenal di kalangan generasi tabi’in.
Sa’id bin Al-Musayyab lahir ketika pemerintahan Umar pada tahun 637 masihi. Beliau sempat meneguk didikan langsung daripada Umar, Uhtman dan Ali. Tidak hairanlah Syihab az-Zuhri cukup menyegani ketokohannya dalam bidang hadis.
Syihab az-Zuhri turut akrab dengan tokoh-tokoh terkemuka seperti Abdullah bin Tha'laba al-'Adawi, Urwah ibn Zubayr, 'Ubaydullah bin 'Abdullah bin 'Utba, Abu Bakr i 'Abdul-Rahman bin al-Harith, Kharija bin Zayd bin Thabit and 'Abdul-Rahman bin Yazid bin Jariya.

Menulis Hadis dan Kata-kata Sahabat
Beliau membukukan banyak hadis yang didengarinya dan dihimpun dalam koleksi. Berkata Shalih bin Kisan,  “Aku menuntut ilmu bersama az-Zuhri, dia berkata, ‘Mari kita tulis apa yang berasal dari Nabi shallallahu alaihi wassalam.’
 
Kecermatannya Terbukti dan Dikagumi
Al-Laits bin Sa’ad berkata: “Aku belum pernah melihat seorang alimpun yang lebih mantap dari pada az-Zuhri, kalau ia berbicara untuk memberi semangat, tidak ada yang lebih baik dari pada dia, bila dia berbicara tentang sunnah dan al-Qur’an pembicaraanya lengkap“.
Kekuatan hafazan dan kecermatan az-Zuhri dapat disemak oleh Hisyam bin Abdul Malik. Hisyam meminta az-Zuhri menulis apa yang diajarkan kepada beberapa orang anaknya. Az-Zuhri ternyata mampu mengajar dan menulis 400 hadis. Setelah keluar dari rumah Hisyam, beliau masih mampu menceritakan 400 hadis tersebut.
Sebulan lebih selepas itu, Hisyam bertemu lagi dengan az-Zuhri. Hisyam mengadu tentang catatannya yang hilang. Az-Zuhri mampu menulis lagi buatnya.
Kecermatan dan penguasaan hadis oleh az-Zuhri membuat Amr bin Dinar memuji, “Aku tidak melihat ada orang yang pengetahuannya terhadap hadis melebihi az-Zuhri.”

Sumbangan Besar
Az-Zuhri memang selalu berusaha keras untuk meriwayatkan hadis. Ada yang berkata bahwa az-Zuhri menghimpun sejumlah 1, 200 hadis, tetapi yang musnad hanya separuhnya.
Az-Zuhri meriwayatkan hadis bersumber daripada Abdullah bin Umar, Abdullah bin Ja’far, Sahal bin Sa’ad, Urwah bin az-Zubair, Atha’ bin Abi Rabah. Ia juga mempunyai riwayat-riwayat yang mursal dari Ubadah bin as-Shamit, Abu Hurairah, Rafi’ bin Khudaij, dan beberapa lainnya.
Imam al-Bukhari berpendapat bahawa sanad az-Zuhri yang paling sahih adalah az-Zuhri, dari Salim, dari ayahnya. Sedangkan Abu Bakar bin Abi Syaibah menyatakan bahawa sanadnya yang paling sahih adalah az-Zuhri, dari Ali bin Husain, dari bapaknya dari datuknya (Ali bin Abi Thalib)”.
Beliau wafat pada bulan Sya’ban, tahun 123 H. Ada yang mengatakan beliau wafat pada tahun 125 H.

Nabi Kita Makhluk Pertama Dicipta?

$
0
0


Kita hidup dengan banyak persepsi. Jernihkannya dengan mengkaji.

              
                Dulu, saya ingat persoalan ini tidak penting. Sekali pandang, ianya nampak karut. Tapi, bila saya ‘google’ sekitar persoalan ini, saya terkejut apabila mendapati ramai orang memperkatakannya. Bukan sahaja oleh segelintir umat Islam di Malaysia bahkan minoriti umat di serata dunia.
Impaknya, ada pihak yang membentuk kumpulan mereka bersandarkan kepercayaan-kepercayaan pelik seumpama ini.  Jika dikaji lebih dalam, mereka bagai meletakkan kedudukan mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah oleh pemimpin mereka seakan setanding dengan kedudukan al-Quran dan al-Sunnah sebagai ‘sumber’ rujukan dalil-dalil syarak.
Hakikatnya, mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah memanglah wujud dan tsabit dalam Islam. Kita tidak boleh menafikannya mentah-mentah. Tidak boleh juga mengambilnya bulat-bulat. Kedudukannya, ia cuma sokongan tambahan, bukan sumber. Dianggap cahaya atas cahaya.
Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat ia tidak bertembung dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. Ini disebabkan oleh ia banyak bercampur baur dengan sangkaan dan kecenderungan diri sendiri.


Jika Benar Baginda Makhluk Pertama, Apa Buktinya?

Ada kefahaman yang bergayutan di minda orang awam bahawa Nabi Muhammad SAW diciptakan daripada cahaya. Bahkan mereka percaya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah makhluk pertama yang diciptakan.
Adakah kefahaman ini diceduk daripada sumber yang sahih? Moga Allah SWT memberi petunjuk kepada pena saya untuk mengulasnya, berpandukan ulasan para ulama muktabar.
                Apa buktinya Nabi kita makhluk pertama?
                Ada bukti wahyu? Ada bukti Sains?
                Tidak ada!
                Jika benar sekalipun, apa faedahnya kefahaman ini kepada peradaban dunia?
                Daripada kita memeningkan kepala berfikir sesuatu yang ‘pelik’ ini, lebih baik kita berpegang kepada apa yang ditetapkan secara ‘mutawatir’. Iaitu ‘sesuatu’ yang diceritakan oleh para sahabat yang ramai. Bahkan, pada setiap generasi, ada golongan yang dipercayai turut menceritakan perkara tersebut. Keadaan ini menyebabkan kita yakin, mustahil mereka berpakat untuk berdusta.
Nabi kita dimuliakan Allah kerana akhlaknya yang agung. Kerana kenabian-Nya. Bukan kerana alasan keutamaan yang tidak jelas kesahihannya. Allah SWT memuji keutamaan baginda secara jelas,
                “Dan sesungguhnya kamu benar-benar orang yang berbudi pekerti yang agung.”(Surah al-Qalam:  4.)
                Baginda mulia kerana berakhlak mulia. Bukan kerana baginda makhluk pertama.


Ada Kelahiran dan Kewafatan

                Sejarah merekodkan peristiwa yang boleh diterima akal tentang permulaan dan pengakhiran riwayat hidup baginda. Baginda dilahirkan sebagaimana manusia biasa dilahirkan. Punya ibu dan ayah. Punya tarikh lahir. Punya tempat dilahirkan.
                “Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa.’” (Surah al-Kahfi: 110.)
Setiap tahun, kita mengenang nostalgia indah ini. Pada tahun gajah, lahirlah seorang bayi barakah di bumi Makkah. Baginda mempunyai nasab yang jelas, bukan nasab yang ‘ajaib’. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Ayahnya pula bernama Abdullah bin Abdul Muthalib al-Hasyimi al-Quraisy.
Baginda menjadi mata-mata rantai kepada perjuangan Rasul-rasul terdahulu. Sama menyebarkan risalah tauhid. Hukum syariatnya sahaja berbeza. Baginda penerus Nabi dan Rasul, bukan Nabi pertama yang diutus.
Rasulullah SAW membuat analogi yang menarik. Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, dia menyempurnakannya kecuali satu sudut tempat meletakkan batu-batanya. Orang ramai mengelilinginya dan merasa takjub melihat keindahan binaan ini. Mereka berkata, ‘Kalaulah bukan kerana ruang kosong bagi bata ini, ia akan lebih cantik,’. Akulah ruang kosong bagi bata itu, akulah penutup bagi nabi-nabi.” (Muttafaq a’laih).
Baginda wafat sebagai mana manusia lain diwafatkan. Datang Izrail lalu diambil nyawanya. Baginda mempunyai tarikh kewafatan. Tempat kewafatan. Tempat dimaqamkan. Semuanya jelas menunjukkan kehidupan baginda di dunia mempunyai had masa.


 Sumber Wahyu, Sokongan Akal

                Mari kita renung sejenak. Kelahiran Adam yang tidak berayah dan beribu, secara kasarnya, tidak boleh diterima logik. Begitu juga kelahiran Isa yang tidak berayah, tidak selaras dengan akal manusia yang terbatas. Tapi kesahihannya mempunyai dalil wahyu.  Maka, ia boleh diterima.
Akal perlu tunduk kepada wahyu. Kedudukan wahyu adalah lebih tinggi berbanding akal. Wahyu adalah sumber. Manakala, akal cuma sokongan. Itu tidak bermakna akal tidak penting. Akal tetap dimuliakan Islam. Hinggakan, seringkali disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran, “Kenapa kamu tak guna akal?”
Kita kembali kepada isu penciptaan Muhammad SAW sebagai makhluk pertama dan diciptakan daripada cahaya. Bukankah ia tidak dapat diterima akal? Bahkan tidak pula mempunyai sumber wahyu yang sahih. Jadi, bagaimana kita dapat menerima idea ini?
Apa yang jelas, kehidupan baginda mempunyai batas masa.  Waktunya terhad. Tatkala baginda dijemput mengadap-Nya, ada sahabat yang sukar menerima. Namun, mereka terpaksa tunduk kepada kalam-Nya, “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati.” (Az-Zumar: 30.)


Nabi Bimbang Jika Kita Berlebihan

                Ya, kita diwajibkan mencintai Nabi melebihi cinta kepada nyawa dan darah kita sendiri. Namun, kita diingatkan agar jangan sampai bersikap keterlaluan. Hingga ada yang mengangkat Nabi sebagai Tuhan. Umat-umat terdahulu ramai yang terpisah daripada hidayah Allah berpunca daripada sikap keterlaluan mereka dalam memuja dan menyanjung. Allah SWT mengajar Nabinya menyeru,
                “Janganlah kamu sekalian menyanjungku seperti mana kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan rasul-Nya.” (HR Bukhari).
                Agak berlebihan jika kita menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya. Itu seakan-akan meletakkan Nabi di posisi malaikat bukannya manusia. Wahyu menjelaskan Nabi SAW adalah manusia. Baginda diciptakan daripada air yang terpancut. Sama seperti manusia yang lain.
                Boleh jadi, mereka yang menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya mengambil dalil ini,
                “….Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya (Rasulullah) dari Allah, dan kitab yang menerangkan.” (Al-Maidah: 15)
                Sastera Allah maha tinggi. Bukan Rasulullah SAW sahaja yang digambarkan seperti cahaya, bahkan al-Quran juga sering disifatkan seperti cahaya. Antara lain Allah berkata,
                “Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya serta cahayanya (al-Quran) yang telah kami turunkan. (At-Thaghabun: 8).
                Kiasan disangka hakikat. Bimbang, kepercayaan ini akan membawa kepada penyanjungan yang tidak benar. Hinggakan, ada orang yang mendendangkan salawat berbunyi, “Salawat dan salam bagimu wahai makhluk Allah yang pertama.”
 Lebih membimbangkan jika kepercayaan ini akan mengheret penyanjungan Nabi setaraf Tuhan sebagaimana yang terjadi kepada orang-orang Kristian. Nauzubillah.


Kalau Benar Sayangkan Nabi…

Ummat Islam mencintai Nabi Muhammad SAW. Ummat memuliakan setiap detik yang dilalui oleh baginda. Tatkala Nabi kita dihina, hati-hati kita segera bertautan erat seluruh dunia. Bersatu membela baginda. Demonstrasi aman bergelombang di mana-mana. Indahnya cinta yang tulus ini.
                Dalam mengekspresikan cinta suci, kita perlu berhati-hati. Ada pemikiran dan tindakan yang berlebih-lebihan hingga bertentangan dengan seruan baginda. Semuanya atas nama cinta. Namun jika tidak bersandarkan sumber yang sahih dan rasional manusia, ia jadi celaka.
                Bukankah Nabi kita tidak mengajar membunuh orang yang tiada kena mengena? Dengan ajaran mulia, baginda menawarkan rasa aman kepada dunia. Rasa aman berhak dinikmati oleh orang yang tidak bersalah.
Kalau benar sayangkan Nabi, ikutlah seruannya secara menyeluruh. Kajilah sirah baginda bersungguh-sungguh. Barulah lahir peribadi umatnya yang teguh dan layak dibuat contoh. Berpegang dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, insya-Allah kita tidak akan sesat selama-lamanya.

KISAH GADIS CINA

$
0
0




Remaja Diterjah Badai

                Seorang gadis remaja berbangsa Cina baru kembali ke fitrahnya, Islam. Dia bersemangat. Berani. Aktif. Bijak. Bahkan cantik. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit menjadi seorang pendakwah. Dalam usia remaja, dia sudah duduk sebaris dengan penceramah-penceramah agama yang hebat.
Kali pertama saya mendengar ceramahnya, saya berbangga dengan kehadiran mawar agama ini ke arena dakwah. Saya mengaguminya dari jauh. Itulah potensi jiwa muda. Penuh aspirasi dan cita-cita. Usahlah ditanya siapa dirinya. Yang penting, kita mengambil iktibar daripada kisahnya. Anggaplah kisah ini tiada kaitan dengan sesiapa.
Bukan mudah baginya melalui detik-detik dibenci keluarga, ditinggalkan kawan-kawan dan dimusuhi sanak-saudara. Semua diharunginya dengan tabah. Namun, apabila ujian bertsunami datang daripada orang Islam sendiri, dia hampir tersungkur rebah.
Gadis remaja ini kembali minum arak. Beberapa kali dia cuba mencabut nyawa sendiri. Mujurlah masih berbaki kewarasan diri. Buat masa ini, dia memilih menjadi pengunjung tetap pakar psikitari. Islamnya masih bersisa di hati. Ya Allah, kasihanilah dia! Apa yang dia lalui?

Cukup-cukuplah Melabel!

                “Tak boleh tudung-tudung berfesyen ala-ala Hana Tajima ni,” tegur seorang ustazah.
                “Tapi ia menutup leher, dada, dan rambut. Saya remaja. Saya sukakan fesyen,” kata si gadis Cina.
                “Fesyen itu tabarruj. Ianya haram,” tegas si ustazah.
                “Ustazah, apa maksud tabarruj?”
                “Awak ni sungguh-sungguh tak masuk Islam? Jangan banyak tanya. Ikut saja. Fasiq nanti.”
Gadis ini sejak awal masuk Islam tertekan dengan sikap segelintir Muslim yang sangat menghukum dan memaksa dalam isu-isu feqah. Lebih-lebih lagi yang berkait dengan soal wanita. Apa yang dibuatnya selalu dipandang serong. Dikritik bukan dididik.
Mana keindahan toleransi dalam Islam?
Mana roh kemudahan?
Islam menghalang kebebasan memilih sesuatu yang masih dalam batasan syarak?
Padahal isu-isu fiqah ini banyak perbezaan pendapatnya. Ianya suatu rahmat. Misalnya maksud ‘tabarruj’ ini, ada pelbagai definisi oleh para ulama. Ada yang berkata, membuka leher dan tempat anting-anting. Pendapat lain mengatakan ia suatu perbuatan berjalan melenggang-lenggok. Pendapat lain, membuka aurat.
Di sini, Allah benarkan kita berbeza. Semuanya dalam daerah pahala. Samada satu atau dua pahala. Melayani perkara khilaf seperti ia bukan khilaf adalah suatu sikap yang tidak adil atau zalim.
Adakah gadis ini ber’tabarruj’ jika kita merujuk pendapat ulama-ulama di atas?
Baik lelaki mahupun sebahagian wanita sendiri, jika mereka ini tidak meletakkan persepsi yang benar terhadap peranan wanita, mereka cenderung suka menghina, menghukum dan melabel.
Sudahkah kita membaca berkaitan tudung cantik sebahagian sahabiah sendiri sebelum menganggap wanita tidak berhak berfesyen?
Sudahkah kita merujuk sirah sebelum menganggap wanita itu pentasnya hanya di rumah?
Sudahkah kita mengenali Khadijah, Zainab binti Jahsy, dan Asma’ binti Abu Bakar sebelum menganggap wanita tidak layak berkerjaya?
Sudahkah kita meneliti sikap para sahabat sebelum menghalang isteri ke masjid dan ke pengajian agama?
Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam pengantarnya terhadap buku Jati Diri Wanita Menurut al-Quran dan Hadis, karya Dr. Ali Shariati berkata, “Mereka mengurung wanita di dalam rumah. Tidak dibenarkan keluar dengan alasan apapun, termasuk untuk belajar dan berkerja. Wanita dianggap tidak layak dalam pelbagai aktiviti yang bermanfaat bagi masyarakat dan diri sendiri. Sehingga sebahagian mereka beranggapan bahawa wanita solehah itu wanita yang tidak pernah keluar rumah kecuali dua  kali, iaitu keluar dari rumah orang tuanya menuju ke rumah suaminya, dan dari rumah suaminya menuju ke kuburnya. Padahal al-Quran menganggap pengurungan di dalam rumah ini sebagai seksaan bagi wanita sebagai mana dalam surah an-Nisa’, ayat 15.”

Allah Ciptakan Wanita Hanya Untuk Menjadi Simbol Seks?

Dalam sesetengah pengajian, gadis Cina ini melihat wanita sering dipersalahkan. Dianggap menyusahkan. Digelar si tulang bengkok. Hanya layak disebut perangkap syaitan dan simbol seks yang serba terkongkong. Terpenjara daripada tugas-tugas kemasyarakatan. Hanya tentang ‘itu’kah wanita tercipta?
Dia terfikir, patutlah golongan kristianisasi dan missionari sering menjadikan topik wanita sebagai senjata utama untuk menimbulkan ketakutan terhadap Islam di Barat. Bahkan menyucuk rasa benci para muslimah di dunia ini terhadap agama sendiri.
Mungkin muslimah yang terpengaruh dengan dakyah mereka ini tidak menyatakan dengan perkataan tapi mereka tonjolkan melalui tindakan. Mereka merasakan dekat dengan ajaran agama itu suatu yang terlalu membebankan.
“Orang perempuan ni bodoh. Kurang akal dan agama! Bila menikah dengan dia, kita sebenarnya tambah masalah. Nabi dah kata perempuan ni si tulang bengkok,” kata seorang penceramah agama.
Gadis remaja yang dahagakan ilmu ini tersedak. Semakin belajar soal wanita, semakin benci hatinya kepada Islam. Dia tertanya-tanya, ini Islam atau silap tafsiran? 

Nabi Sempurna, Kita Tidak

Mana mungkin Nabi kita yang terkenal sebagai pembela wanita seluruh alam, akan menghina wanita sebegini rupa. Nabi bermaksud lain. Sering ditafsirkan dengan maksud yang lain. Nabi menjelaskan dan menghiburkan wanita dengan hadis-hadis berkaitan soal ini. Tapi bila berpindah ke lisan sesetengah Muslim, maksudnya bertukar menjadi penghinaan dan sesuatu yang menyakitkan. Islam yang mulia lalu difitnah mendiskriminasikan wanita.
Penceramah agama tidak sempurna. Kadang-kala ilmunya terbatas untuk menerangkan secara tepat kerana bidang wanita bukan bidang kajiannya. Jangan tadahkan telinga hanya pada satu pengajian. Luaskan ufuk minda daripada ramai guru dan banyakkan bacaan. Minda akan lebih celik. Fikiran akan lebih terbuka. Hati akan lebih faham menilai.
Menjadi peranan kita untuk mendapatkan tafsiran terhadap hadis-hadis berkenaan wanita daripada sumber yang sahih, berautoriti, dan tepat. Inilah sikap yang benar bagi ummat yang sentiasa berbaik sangka terhadap Nabinya. Bacalah karya para alim ulama besar dunia seperti al-Qaradhawi, Imam Ghazali, Abdul Halim Abu Syuqqah, dan ramai lagi berkenaan wanita. Kita akan tersenyum bahagia.

Disuruh Menikah 

                Gadis Cina ini dibawa ke Siam oleh Muslim-muslim yang dipercayainya. Di sana, dia diminta menikah dengan lelaki yang baru beberapa saat dia kenal. Dia keliru, tiadakah proses merisik dan bertunang dalam Islam? Bagaimana Islam meraikan suara anak gadis dalam soal ini?
                Sebelum bernikah, dia disiapkan minda bahawa suaminya berhak untuk berpoligami bila-bila masa sahaja yang diinginkan. Beginikah Islam meletakkan kedudukan poligami? Bukankah ia hanya ‘rukhsah’ bila keadaan memerlukan?
Jiwa gadis Cina ini dahsyat dipukul tanda-tanya. Islam tidak fikir soal ‘sakinah’seorang isteri? Islam suatu ajaran yang bertentangan dengan fitrah cinta yang perlukan setia? Islam tidak bersikap manusiawi terhadap perasaan isteri? Tiadakah konsep syura dan saling meredhai dalam institusi kekeluargaan Islam? Ah, ini Islam atau silap tafsiran? Gadis Cina ini hebat berperang dengan gelodak curiga.

Terpujuk dengan Majalah Solusi

                Gadis Cina ini mencari-cari info tentang poligami daripada youtubeceramah. Dia berharap ilmu dapat memberikan cahaya untuk hatinya meletakkan ‘sudut pandang’ yang betul terhadap sesuatu isu sepertimana yang Islam kehendaki.
                “Isteri ni macam seliparlah. Yang lama kita tinggalkan di tangga. Yang baru kita bawa masuk ke dalam rumah. Ataupun begini. Yang lama, kita bagi Mercedes. Yang baru kita bagi Viva. Mercedes untuk disimpan di rumah. Viva untuk dibawa berjalan-jalan,” terang seorang penceramah dalam youtube.
                Setitis demi setitis air mata berguguran di pipi gadis Cina ini. Beginikah Islam melayan wanita? Ini Islam atau silap tafsiran? Bukankah Nabi melayan isterinya secara adil? Membuat undian sebelum berpergian? Mungkin ustaz ini cuma bergurau. Gadis ini cuba berbaik sangka terhadap ustaz yang disayanginya itu. Tapi jiwanya tetap pedih terhiris. Dia sedikit terpujuk membaca sirah Nabi. Gurauan baginda sentiasa menggembirakan, bukan mencincang perasaan orang.
                Gadis Cina ini kemudiannya membeli Majalah Solusi berkait isu Misteri Poligami. Hatinya sedikit terpujuk apabila melihat hukum-hukum sebenar poligami dalam Islam. Asalnya harus, boleh bertukar sunat, makruh dan haram. Bukan boleh diambil mudah. Syaratnya ketat dan payah. Bahkan, diterangkan monogami Nabi jauh lebih sunnah, selama 25 tahun lamanya. Poligami cuma 10 tahun.

Lebih Bahagia Menjadi Umat Pertengahan

                Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan bahawa  keadaan umat Islam dewasa ini umumnya menempati posisi ekstrimis dan apatisme, padahal kita sering membaca firman Allah untuk menjadi umat yang pertengahan.
                Kata beliau, “Masih ada yang menganggap wanita sebagai makhluk yang hanya memiliki sedikit kecekapan. Bagi lelaki, ia adalah hamba seperti alat untuk memuaskan dahaga seksual bila lelaki mengkehendakinya. Kemudian, kehormatannya dapat dimiliki dengan memberi sejumlah harta, dan dapat ditalak bila-bila masa saja dikehendaki tanpa ada hak sedikitpun untuk mengelak dan mendapatkan ganti rugi. Sehingga sebahagian mereka menganggap wanita bagaikan sepatu yang dapat dipakai dan dibuang bila tidak diperlukan lagi.”
                Saya percaya, di Malaysia ramai lelaki yang meletakkan persepsi terhadap wanita di tempatnya yang wajar. Malang bagi gadis Cina ini, dia belum menemui golongan lelaki-lelaki sejati ini sebagai pembimbingnya. Bahkan menemui golongan seperti mana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Qaradhawi tersebut.

Suami Mengabaikan Nafkah

                Gadis remaja ini teruji lagi. Dia mendapat info bahawa wanita dilarang keluar rumah. Suamilah yang wajib mengajarnya agama. Realitinya, ramai suami pada hari ini bukanlah beragama sangat. Jika beragamapun, sibuk 24 jam. Apabila wanita dilarang keluar rumah untuk belajar agama, bukankah ia hanya menghantar wanita ke alam kebodohan?
Tidak cukup dengan itu, suaminya culas nafkah. Hidup menganggur dan malas berkerja. Dia cuba bersabar. Tekanan hidupnya memuncak. Setiap hari bertengkar, tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan.
Gadis itu tekad mahukan perceraian. Dia tahu sepatutnya perceraian itu menjadi jalan terakhir. Dia sudah berusaha menyelamatkan pernikahannya. Namun, rumah tangganya terus-terusan lebih mengumpul dosa daripada pahala. Setiap hari, kebenciaan kepada suaminya semakin membesar.
Semua Muslim yang dikenalinya berpesan, “Jangan minta cerai! Nanti tak bau syurga.”
“Kalau bercerai tu semuanya buruk, kenapa Islam halalkan perceraian?” protes gadis ini.
“Ia hak lelaki. Isteri kena sabar saja,” pesan mereka lagi.
                Gadis ini merasakan Islam tidak memahami. Ini Islam atau silap tafsiran?
“Islam jahat!” Tempik batinnya sambil mencabut tudung. Dia keluar rumah dengan tidak menutup aurat. Air matanya berjuraian. Dia geram terhadap Muslim tapi dia memilih untuk menghukum ‘Islam’. Dia rindukan araknya sebagai penenang jiwa. Bahkan, tali penggantung nyawa sering muncul di minda.
Profesor Syeikh al-Qaradhawi menerangkan, “Ada golongan yang menganggap, apabila wanita yang telah diperisterikan oleh seorang lelaki yang tidak dicintainya, dan dia tidak mampu mencegah kemarahan suaminya atau tidak mampu menghindarinya, maka tiada pilihan lain, harus bersabar dengan kesakitannya. Harungilah kehidupan yang pahit sehingga suaminya menjatuhkan talak ke atasnya atau talaq khuluk (membayar mahar suaminya kembali). Bila kedua perkara ini tidak terjadi maka tiada jalan lain baginya untuk melepaskan diri dari tali perhambaan itu.”
Ini tidak benar!
Islam memanglah mengecilkan skop talaq. Tapi bukan dengan cara menyekat hak seorang isteri yang teraniaya dengan sikap suaminya untuk dibebaskan. Talaq cuba dikecilkan dalam Islam dengan beberapa cara:
1.        Mengajar umatnya cara membuat pemilihan calon terbaik sebelum bernikah.
2.       Melihat wanita yang dipinang sebelum akad samada lihat berdepan, hantar wakil atau mengintai dari jauh.
3.       Meminta wali menikahkan puterinya bukan dengan sembarangan orang tapi dengan calon yang diredhai agama dan akhlaknya.
4.       Mensyaratkan keredhaan wanita untuk berkahwin dengan orang yang meminangnya.
5.       Menjadikan keredhaan wali serta persepakatannya sebagai perkara wajib atau sunat agar perkahwinan itu tidak mendapat tentangan keluarga.
6.       Mengarahkan bermesyuarat dengan para ibu dalam persoalan perkahwinan anak-anak perempuan.
7.       Mewajibkan agar bergaul dengan harmoni, menjelaskan hak dan kewajipan antara suami isteri, menyemaikan keimanan agar beriltizam dengan batas-batas syarak dan bertaqwa kepada Allah.
8.       Menganjurkan agar suami dapat menerima realiti agar ia tidak terlalu berharap kesempurnaan pada isterinya. Begitulah sebaliknya.
9.       Menyeru para suami agar menggunakan akal dan kemaslahatan jika dia merasa tidak senang terhadap isterinya seperti dalam surah an-Nisa’, ayat 19.
10.   Mengarahkan para suami agar mengubati isteri yang derhaka dan melakukan maksiat dengan cara yang hikmah  dan beransur-ansur, tidak terlalu keras,dan tidak terlalu lembut sebagai mana surah al-Nisa’. Ayat 34.
11.   Mengarahkan masyarakat agar campur tangan ketika berlaku persengketaan antara suami isteri dengan membentuk ‘majlis keluarga’ dari kalangan orang yang dipercayai.

Doakan Dia.

Gadis cantik yang dulunya manis berbaju labuh dan bertudung ala-ala Hana Tajima, kini termenung murung di bilik pakar Psikitari. Masalah fahamnya terhadap Islam dan Muslim belum selesai. Perlukan masa. Mari berdoa untuknya. Mari lakukan sesuatu agar ‘diri kita’ lebih jernih kefahaman dan tidak menyumbang fitnah kepada agama kita sendiri.

Mintalah Fatwa Dari Hatimu

$
0
0



Nabi Tahu Soalannya

 “Mintalah fatwa dari hatimu.”
Ini hadis Nabi. Nak faham hadis kenalah rujuk kitab syarah hadis. Sebelum itu, mari kita telusuri satu kisah yang melatari hadis ini.
Seorang lelaki bernama Wabishah bin Ma’bad r.h. datang berjumpa Nabi SAW. Belum sempat dia membuka mulut, Rasulullah SAW meneka,
“Kamu hendak tanya tentang kebaikan?”
Terkejut Wabishah mendengar tepatnya sangkaan Nabi. Wabishah yakin, Nabi tidak mengetahui perkara mendatang (termasuk perkara ghaib) kecuali apa yang Allah beritahu kepadanya. Ini satu mu’jizat. Wabishah lantas mengiyakannya.
“Benar!”
Baginda lalu menjelaskan satu ilmu yang sangat penting, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa-apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberi fatwa membenarkanmu.” (Hadis hasan riwayat Ahmad dan Ad-Darimi).
Hadis yang lain daripada an-Nawas bin Sam’an diriwayatkan Muslim dalam al-Bir wa ash-shilah, bab Tafsir al-birr wa al-itsm. Nabi mengajar kita, “Kebaikan  adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang meresahkan jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.”
Singkat dan padat. Begitulah istimewanya hadis ini. Kebaikan itu mencakupi semua perbuatan baik. Dosa pula mencakupi semua perbuatan buruk samada kecil atau besar.

Fitrah: Tenang Dengan Kebaikan, Resah Dengan Dosa

Salah satu (bukan satu-satunya) cara mengenal kebenaran ialah dengan fitrah. Buktinya, apa yang Nabi katakan dalam hadis ini. Kebaikan itu mententeramkan hati dan jiwa.  Allah yang maha baik menciptakan kita untuk mengetahui kebenaran. Kita tenang dengannya. Menerimanya.
Allah tanamkan tabiat kepada kita cintakan kebenaran. Bahkan, menurut kajian sains, apabila kita membuat kebaikan, hormon kortisol akan terrembes. Ia menyebabkan kita rasa seronok. Rasa nak buat lagi.
Kita lahir dalam keadaan baik. Suci. Bersih.
“Setiap anak Adam lahir dalam keadaan fitrah.” Abu Hurairah yang meriwayatkan hadis ini seterusnya membaca ayat al-Quran,
“(Tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.” (Ar-Rum: 30).
Tatkala kita dilanda dilema,
“Ini baik ke buruk?”
Tanyalah hati, ia condong ke mana? Mana yang hati tenteram, itulah kebaikan. Apa yang hati tidak merasa tenang dengannya, itulah dosa bagi kita.  Meskipun dari sudut fatwa hal itu masih dibolehkan. 

Baik Bagi Orang Baik, Buruk Bagi Orang yang Dekat Dengan Allah

Ada perkara yang hasanatul abrar, wasayyiatul muqarrabin. Bermaksud, baik bagi orang-orang baik tapi buruk bagi orang-orang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Cuba lihat. Seorang ulama misalnya al-Qaradhawi memfatwakan alat muzik seperti gitar yang digunakan dengan syarat tertentu, hukumnya dibolehkan.
Peranan mufti antaranya memberikan batas ‘minimum’ tentang fiqah. Fatwa diberikan dengan melihat yang zahir. Berdasarkan ilmu bukan nafsu. Fatwa ini diberi secara umum untuk semua manusia, bukan untuk golongan tertentu sahaja. Jika gitar itu difatwakan haram secara mutlak, sudah tentu masyarakat Islam di Eropah yang ‘bernafas’ dengan alat muzik sejak kecil akan mengalami kesempitan dan kesusahan dalam agama. Muzik pula menjadi fenomena di seluruh dunia tika ini.
Namun begitu, dari sudut amal, ulama ini memilih apa yang paling taqwa. Hatinya secara fitrah tidak menyukai bermain gitar. Maka, beliau tidak menggunakannya. Kerana, boleh jadi gitar itu baik bagi orang lain tapi buruk baginya.
Dari segi akhlak pula, beliau tidak pula merendah-rendahkan orang yang bermain gitar. Ramai pendakwah yang bermain gitar dengan  tujuan yang baik. Beliau berbaik sangka dan berlapang dada. Merendah-rendahkan orang yang melakukan perkara ‘harus’(baginya) kerana menyangka diri sendiri bertaqwa, tidaklah cocok dengan akhlak seorang muqarrabin.

Jika Ragu, Tinggalkanlah

Hadis ini mengajar kita agar meninggalkan fatwa jika ia bertentangan dengan hati dan menimbulkan keraguan di dada.  Imam an-Nawawi memberikan contoh kes.
Seorang perempuan memberitahu bahawa dia menyusu dengan si A.  Mufti berfatwa bahawa anak si A boleh menikahinya kerana tiada kesempurnaan dalam jumlah susuan. Fatwa tersebut masih tidak menghilangkan keraguan (syubhat). Sebaik-baiknya dia bersikap wara’ (hati-hati) walaupun manusia memfatwakan kebolehannya.
Jika fatwa dikuatkan oleh dalil syar’i, maka wajib bagi seorang Muslim mengambil fatwa itu dan berpegang dengannya, walaupun dadanya tidak senang menerimanya. Contohnya ketika Nabi memerintahkan para sahabat menyembelih binatang korban dan tahallul pada umrah Hudaibiah. Sahabat sangat berat menerimanya tapi mereka akhirnya taat. Perintah Allah dan Rasul tidak boleh dibelakangkan hanya kerana menurut fatwa hati.

Isyarat Hati 

Sihatkan hati dengan banyak mengingati Allah. Kata Allah, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenang.”
Ada dua tanda dosa. Khusus untuk perkara yang kita samar tentangnya. Jika perkara yang jelas hujah dan dalilnya, itu soal lain. Dua tanda tersebut ialah:
1)      Tanda dalam- hati rasa benci, tak tenang, resah dan tertekan. Hadis sahih daripada Ibnu Mas’ud  menyebut, “Dosa itu menyakitkan hati.”
2)      Tanda luar- tidak suka diketahui manusia. Kebencian atas dasar agama. Bukan kebencian saja-saja.
Hadis ini menempatkan kedudukan hati di kedudukan yang istimewa dalam Islam dan boleh meminta fatwanya sebelum beramal.
Hadis ini juga memberi petunjuk untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia, kerana akhlak yang baik merupakan kebaikan yang paling besar.
                Syumulnya Islam. Ia menjadi pengatur dan pengawas internal dari dalam diri dan juga eksternal. Berbeza dengan undang-undang buatan manusia yang hanya menjadi pengawas eksternal.  
Jom sihatkan hati! Agar kita tidak memiliki raja yang ‘evil’ dalam kerajaan diri.

(Sila rujuk lanjut buku Al-Wafi, Syarah Hadis Arbain, Imam Nawawi, karangan Dr. Mustafa Dieb al-Bugha dan Syaikh Muhyiddin Mistu)

Maksiat,"Best" sangat ke ?

$
0
0






Maksiat, ‘Best’ Sangat Ke?

Maksiat Membuatkan Diri Kita Dibenci
                Kenapa bila orang buat baik, dia berani buat terang-terangan? Kenapa bila orang buat maksiat, dia tak berani buat depan orang?  Fitrah! Manusia senang dengan kebaikan. Benci dengan maksiat.
Ada juga orang yang berani buat maksiat terang-terangan. Orang lain senang dengannya? Tidak! Allahpun lebih-lebih lagi tidak senang dengannya.
Berkata Imam Syafie, “Kamu sekalian hendaklah menghindari kebencian kaum muslimin.” “Bagaimana ia boleh berlaku?” tanya yang lain. “Seseorang yang melakukan maksiat, Allah akan menumbuhkan rasa benci muslim yang lain terhadapnya.”


Maksiat Menghalang Masuknya Ilmu Pengatahuan
                Imam Malik memberi nasihat yang layak ditulis dengan tinta emas kepada Imam Syafie. Katanya, “Allah telah mencerahkanmu dengan ilmu pengetahuan. Oleh itu, jangan sekali-kali memadamnya dengan kemaksiatan.”
                Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya Waki’ tentang sukarnya hafazannya kali ini. Lalu berkata Waki’, “Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak menembusi hati yang sedang berbuat maksiat.”

Maksiat Menggelapkan Hati dan Wajah
                Ibnu Abbas berkata, “ Maksiat menyebabkan kegelapan di wajah dan di hati. Wujud kebencian orang lain terhadap kita, tahap kesihatan badan merosot dan menghadapi kesulitan daripada aspek ekonomi.”
                “Sebaliknya, kebajikan akan mencerahkan wajah, menjernihkan hati, akan dikasihi orang lain, ekonomi meningkat dan dimurahkan rezeki.”
                Allah SWT mengingatkan, “(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya, dan bagi mereka pula disediakan azab seksaan yang amat besar.” (Surah al-Baqarah: 7).

Maksiat Punca Kebinasaan
Mari kita belajar daripada sejarah. Maksiat menjadi punca kebinasaan umat terdahulu.
Iblis diusir dari syurga kerana maksiat.
Kaum Nabi Nuh ditenggelamkan banjir kerana maksiat.
Firaun dan tenteranya dilemaskan ke dalam lautan kerana maksiat.
Kaum Sadom diterbalikkan bumi kerana maksiat homoseksnya.
Kaum Ad dilenyapkan rebut kerana maksiat.
Kaum Bani Israel dimurkai Allah kerana maksiat.
Nabi Muhammad SAW mengingatkan, “Apabila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberi azab-Nya untuk semua.” (HR Ahmad).
Allah zalim? Tidak! Kita yang zalim.
“Dan Kami tidak menganiaya mereka, tetapi menganiaya diri sendiri.” (Surah Hud: 101).
Allah yang Maha Adil hanya menjalankan keadilan-Nya. Meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Yang cintakan maksiat diberikan pembalasan dan azab.
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Moga-moga mereka kembali.” (Surah al-Rum: 41).


Lazatkah Maksiat?
Habis tu, di mana lazatnya maksiat hingga ramai orang tertambat?
Lupa tentang akhirat! Itulah penyebab. Berkata Ibnul Qayyim al-Jauziah, “Anda akan mendapat murka Allah SWT sebab berbangga dengan maksiat dan sambil lewa terhadap malaikat yang menyaksikan dan mencatat kelakuan buruk anda.”
Kita semua tidak maksum. Tidak terlepas daripada melakukan maksiat atau derhaka kepada Allah. Samada besar atau kecil. Dosa-dosa kecil yang kita biasakan boleh membesar menjadi maksiat yang sangat dimurkai. Ia boleh membinasakan.
Di sekeliling, terlalu banyak potensi maksiat yang berkemungkinan telah kita lakukan. Firman Allah SWT, “Semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan mengatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah tentangnya, dan kamu pula menyangka itu hanya perkara kecil, padahal di sisi hukum Allah, ianya adalah perkara yang besar dosanya.” (Surah al-Nur: 15).
Astargfirullahal azhim. Apa yang terdaya, jadikan munajat dan ‘istighfar’ itu satu ulam harian yang wajib diamalkan. Sudikah Allah menerima taubat kita? Hmm, kalau kita fikir Allah tidak sudi mengampuni, bukankah fikiran itu hanya akan membebani diri? Yakinlah, Dia Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat.


Carilah Kemuliaan dengan Taat, Bukan dengan Maksiat
Mungkin masih ada di kalangan kita yang sengaja menambat dirinya dengan maksiat kerana mahu diterima oleh kumpulannya yang sekepala. Diterima oleh ahli kumpulan bagaikan satu tujuan dan satu kemuliaan. Setakat manalah mulianya penerimaan manusia? Tak ke mana-manapun.
Jika hajatkan kemuliaan, di sisi Allah ada segala kemuliaan.
“Sesiapa yang mahukan kemuliaan, (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jugalah (Pemilik) segala kemuliaan.” (Surah Fathir: 10).


Allah Tahu Meskipun Kita Sembunyikan
Nabi mendedahkan, “Terdapat di kalangan umatku pada hari kiamat kelak, mereka mempunyai bekal kebajikan yang banyak sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah menjadikan semua pahala kebajikan itu seumpama  debu-debu yang berterbangan.”
Thauban bertanya, “Adakah seperti kami kerana kami tidak tahu?” Rasulullah SAW bersabda lagi, “Mereka ialah saudara-saudara kamu sekalian. Mereka melakukan solat malam seperti kamu semua, tetapi apabila mereka bersendirian, mereka melakukan larangan-larangan Allah.” (HR Ibnu Majah).
Tidak perlu kita lakukan maksiat di kala sembunyi atau terang. Sebabnya, kita sentiasa terkepung oleh CCTV Allah di mana-mana sahaja.

                

Wanita: Bukan 'Fitnah' Semata-mata

$
0
0
Foto diambil dari: http://blackveillass.blogspot.com/

Saling Memahami Baru Harmoni

Ada suami mahukan isterinya berada di rumah sepenuh masa. Isteri pula mahu berperanan bukan sahaja dalam domestik keluarga bahkan juga dalam kehidupan sosial. Lalu, konflik tercetus.
Sebelum sang suami memperalatkan kuasa ‘kena taat’ setelah bernikah, wanita yang bakal bergelar isteri perlu celik isu ini. Bincangkan dan harmonikannya sebelum bernikah lagi.
Benar, tugas isteri dalam rumah tangga  menjadi prioriti wanita setelah Allah dan Rasul. Keadaan ini tidak menafikan peranan wanita di tengah masyarakat. Kita hidup bermasyarakat. Ia memerlukan kerjasama yang erat antara suami dan isteri agar wanitanya dapat turut berperanan dalam masyarakat. Barulah masyarakat lebih berkembang dan maju. Anak-anak juga tidak terabai.

Wanita Juga Ada Amanah di Luar Rumah
Ada orang menganggap wanita tidak boleh berperanan begitu begini hanya dengan menggunakan hujah, wanita itu fitnah lelaki. Sedangkan Islam mempunyai lautan dalil-dalil yang lain untuk menggambarkan keadaan sebenar peranan wanita pada zaman Nabi. Realistik dengan kehidupan.
Wanita turut serta dalam kehidupan sosial dan sering kali bertemu dengan kaum lelaki, ianya berlaku sejak zaman Nabi lagi. Penglibatan ini disertai beberapa aturan dan ingatan. Ingatan tentang fitnah itu sifatnya untuk memelihara bukannya menghalang!
Samalah seperti ingatan Islam tentang ‘fitnah’ harta dan anak-anak. Ia untuk memelihara kita daripada terleka. Namun, Islam tidak sesekali menghalang mengumpul harta dan mempunyai anak, bukan?
Maka, wajarkah menghalang wanita melakukan tugas-tugas sosial atas alasan agama? Antara contoh dalil wujudnya kegiatan sosial yang bermanfaat antara lelaki dan perempuan pada zaman Nabi ialah:
1.     Kaum wanita berdialog dengan kaum lelaki mengenai ilmu.

“Dari Ummu al-Fadhl al-Harits dikatakan bahawa sekelompok manusia berdebat di sampingnya pada hari Arafah mengenai puasa Nabi…”
(HR Bukhari dan Muslim)

2.     Kaum lelaki belajar ilmu pengetahuan tentang sunnah dari isteri-isteri Nabi.

“Dari Anas bin Malik, dia berkata, “Datang tiga rombongan (lelaki) ke rumah isteri Rasulullah, untuk menanyakan ibadah Nabi.”
(HR Bukhari Muslim)

Ketika mengajar mereka, antara aturan yang khusus untuk isteri Nabi ialah tetap berada di rumah dan memakai hijab (seperti tabir langsir). Aturan ini tidak diwajibkan ke atas Muslimah lain.

3.     Kaum lelaki memutuskan perkara yang mereka pertikaikan dengan pertimbangan kaum wanita.

“Dari Thawus, dia berkata: “Aku sedang bersama Ibnu Abbas ketika Zaid bin Tsabit berkata, ‘Kamu memfatwakan bahawa wanita haid harus pulang sebelum masa terakhirnya dengan Baitullah?’ Ibnu Abbas menjawab, “Mungkin tidak. Cuba tanyakan kepada wanita ansar itu, apakah Rasulullah menyuruhnya demikian?”
(HR Muslim)

4.     Rasulullah menjawab persoalan wanita di perjalanan.

Dari Anas dikatakan bahawa seorang perempuan terlintas dalam fikirannya sesuatu, lalu dia berkata, “Ya Rasulullah, aku ada hajat.”Nabi berkata, “Wahai Ibu si Fulan, pilihlah jalan mana yang kamu suka sehingga aku dapat menjawab hajatmu.” Lalu Rasulullah berangkat dengan perempuan itu melewati beberapa jalan sehingga selesai hajat perempuan itu.”
(HR Muslim)

5.     Ummu Syuraik si penyambut tetamu.

Rasulullah SAW bersabda, “….Ummu Syuraik adalah wanita yang banyak tetamu…”
(HR Muslim)

6.     Asma binti Abu Bakar menyusun strategi agar niatnya direstui suami.

Datang seorang lelaki miskin dan meminta izin untuk berniaga di perkarangan rumah Asma’. Asma’ tidak keberatan tapi beliau risaukan suaminya mungkin keberatan. Asma lalu meminta lelaki miskin itu mengikutinya untuk berjumpa dengan suaminya. Lelaki miskin itu meminta izin sekali lagi di hadapan suami Asma’. Asma’ menjawab dengan nada pura-pura tidak mengizinkan. Lalu Zubair simpati dengan lelaki miskin itu dan mengizinkannya.
(Rujuk lanjut HR Muslim)

Ini contoh terbaik kita!

Berhiaslah!

$
0
0

Al-Quran Mengiktiraf Anak Adam Berhias

Berhias adalah fitrah manusia. Terdapat bukti umum daripada Al-Quran tentang berhias iaitu perintah menutup aurat dan memakai pakaian yang bagus (khususnya pada waktu solat dan tawaf).

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap (memasuki) masjid (beribadah). Makan dan minumlah, jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Al-A’raf: 31)

Allah mengingkari pengharaman perhiasan.
“Katakanlah, ‘Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik? Katakanlah, ‘Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) di hari kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.” (Al-A’raf: 32)

Islam mengakui dan mengiktiraf kecintaan wanita kepada perhiasan. Ia jelas apabila adanya kebolehan menampakkan perhiasan lahir kepada orang lain (dan menampakkan perhiasan batin kepada mahram). Rujuk Surah an-Nur: ayat 31.

 Sunnah Mengajurkan Berhias.

Anjuran berhias di dalam Sunnah berbentuk umum, untuk lelaki dan wanita juga.
Dari Abdullah bin Mas’ud bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w., “Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya bagus dan sandalnya bagus.” Baginda menambah, “Sesungguhnya Allah itu Maha indah yang menyukai keindahan.” (HR Muslim)

Abdullah bin Sirjis berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Perlahan-lahan, (berhati-hati) sederhana, dan penampilan yang bagus itu adalah satu bahagian dari dua puluh empat bahagian kenabian.” (HR at-Thabrani)

Berhias Untuk Pasangan Hidup Sangat Digalakkan

Dari Abdullah bin Salam bahawa dari Nabi s.a.w.,
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah yang menyenangkanmu jika engkau memandangnya…” (HR at-Thabrani)

Bahkan dipandang pelik kepada wanita yang bersuami tetapi tidak memakai perhiasan lahir.

Abu Musa al-Asy’ari berkata, “Isteri Uthman bin Mazh’un menemui isteri-isteri Nabi s.a.w., maka mereka melihat dia dalam keadaan yang kusut, lalu mereka bertanya kepadanya, ‘Mengapa engkau? Di kalangan Quraisy ini tidak ada lelaki yang lebih kaya daripada suamimu.’ Dia menjawab, ‘Saya tidak mendapatkan sesuatu pun darinya. Kalau siang dia berpuasa, dan kalau malam dia solat sahaja.’ Kemudian Nabi s.a.w. masuk, lalu mereka menceritakan hal itu kepada baginda. Kemudian baginda menjumpai Uthman bin Mazh’un seraya berkata, ‘Wahai Uthman, apakah engkau tidak menjadikan aku sebagai teladan bagimu?’ Dia menjawab, ‘Mengapa begitu, ya Rasulullah, aku rela menebusmu dengan ayah dan ibuku.’ Baginda bersabda, “Engkau sentiasa solat sahaja pada malam hari dan berpuasa pada siang hari, padahal isterimu mempunyai hak terhadap dirimu (yang harus engkau penuhi). Oleh kerana itu, kerjakanlah solat dan tidurlah, berpuasalah dan berbukalah.’ Kemudian sesudah itu isterinya itu datang lagi kepada mereka pada lain kesempatan dengan mengenakan wangian seakan-akan pengantin baru, lalu mereka berkata, ‘Amboi’ Dia menyahut, ‘Saya telah mendapatkan apa yang diperoleh orang lain”. (HR at-Thabrani)

Contoh Perhiasan Wanita Generasi Terbaik

Berikut adalah contoh perhiasan kaum wanita muslimah pada zaman Nabi:
- Memakai anting-anting, kalung, cincin dan gelang.
- Berhias dengan celak, inai dan pakaian yang berwarna-warni.
- Bersolek ketika suami mereka pulang dari peperangan atau dari berjalan jauh
- Memakai wangian dan inai sebelum melakukan ihram haji
- Menghiasi wajahnya

Contoh Perhiasan Lelaki Pada Zaman Nabi

Berikut adalah perhiasan kaum muslimin pada zaman Nabi
- Hibarah (burdah atau pakaian bergaris dari Yaman)
- Menyisir rambut dan janggut serta meminyakkannya
- Wangian
- Menginai rambut
- Memakai cincin perak

“Ada sepuluh perkara yang termasuk dalam kebersihan, iaitu: merapikan kumis, merawat janggut, bersiwak (bersugi), menghirup air ke hidung dan mengeluarkannya semula, memotong kuku, membasuh pembalut lengan, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan, dan beristinjak dengan air…” Mushab (salah seorang perawi hadis ini) berkata, “Dan aku lupa yang kesepuluh, mungkin itu berkumur-kumur.” (HR Muslim)

Larangan dalam Berhias

“Allah melaknat wanita-wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu tubuhnya, wanita-wanita yang mencukur alisnya, dan wanita-wanita yang mengikir giginya untuk kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah Taala. Maka bagaimana aku tidak melaknat orang yang dilaknat oleh Nabi s.a.w.?” (HR Bukhari dan Muslim)


“Allah melaknat wanita yang menyambung rambut dengan rambut palsu dan yang meminta disambungkan rambutnya, dan wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu tubuhnya.” (HR Bukhari)

Sebahagian fuqaha’ mengecualikan sebahagian cara dan saranan kecantikan ini dari daerah larangan, apabila diredai oleh suami dan untuk menyenangkan hatinya, atau untuk mengubati penyakit jasmani yang menyebabkan gangguan fizikal mahupun psikik.

Imam Nawawi berkata, “Dikecualikan larangan mencukur apabila si wanita tumbuh janggut atau kumis, atau tumbuh rambut di antara bibir dan dagunya, maka tidak haram baginya untuk menghilangkannya, bahkan disunatkan.”

Sebahagian ulama’ Hanbali berkata, “Boleh menghilangkan bulu (rambut) di wajah,
bertata rias degan warna merah, berhias dengan warna-warni, dan menghiasi tangan (jari dan kuku), apabila diizinkan oleh suami.”

At-Thabari meriwayatkan dari jalan Abu Ishaq dari isterinya, bahawa dia pernah menemui Aisyah, sedang dia adalah seorang wanita muda yang menyukai kecantikan, lalu dia berkata, ‘Seorang wanita memotong alisnya untuk suaminya.’ Maka Aisyah menyahut, ‘Hilangkanlah sesuatu yang mengganggumu, semampumu.’ An-Nawawi berkata, ‘Boleh berhias dengan apa yang disebutkan kecuali memotong alis.’

Jom, jadi Muslim yang kemas dan berhias. Tidak selekeh. Di samping ia menarik jodoh, lebih utama, ia disukai Allah dan Rasul.

            

Bolehkah Menyebut Sifat Fizikal Wanita Lain?

$
0
0
sumber gambar : akuislam.com

Ada yang boleh. Ada yang tidak boleh. Di dalam Sahih Bukhari Muslim, terdapat pelbagai penyebutan tentang rupa fizikal seorang wanita. Antara yang disebutkan ialah sepertimana dalam poin poin penulis berikut:

1.       Kemahsyuran Wajah Sarah

Rasulullah SAW bersabda: “Ibrahim a.s. hijrah bersama Sarah. Dia memasuki suatu negeri yang dikuasai oleh seorang raja atau tirani. Lalu tersebar berita bahawa Ibrahim datang bersama seorang wanita yang paling cantik.” (HR Bukhari dan Muslim).

2.       Secermat Menjaga Barangan Kaca

Abu Qilabah, dari Anas r.anhu, berkata bahawa Nabi SAW pernah melakukan suatu perjalanan. Yang menjadi penuntun kenderaan mereka (beberapa orang isteri Nabi SAW dan Ummu Sulaim) adalah seorang budak yang bernama Anjasyah.
Nabi SAW berkata kepada Anjasyah: “Wahai Anjasyah, perlahan-lahan saja membawa botol-botol kaca ini (maksudnya kaum wanita).”

Masyarakat Arab yang umunya pengasar suka memperlakukan wanita dengan sikap keras dan kasar dalam perkataan dan perbuatan. Berbeza dengan akhlak agung Nabi SAW ini.

Menurut satu riwayat[2] Abu Qilabah berkata: “Rasulullah SAW mengucapkan satu perkataan yang andaikata diucapkan oleh sebagian kalian, tentulah kalian mencelanya kerana mengucapkan perkataan tersebut.” (HR Bukhari dan Muslim)[3]

Syekh Ibnu Badis berkata: “Abu Qilabah (seorang imam terkenal dari kalangan fuqaha tabi’in) tahu sikap keras dan kaku masyarakatnya. Lalu, beliau ceritakan hadis ini kepada mereka. Sikap keras dan kaku tersebut membuat mereka menjauh dari mengucapkan kata-kata yang (meraikan) sifat kaum wanita. Sikap mereka ini dijawab oleh Abu Qilabah dengan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi SAW...”[4]

3.       Biarkan Saja Wajahnya Lebih Cantik

“Umar berkata kepada Hafshah: ‘Janganlah kamu sampai terpedaya jika tetanggamu lebih cantik darimu.’” Dan menurut riwayat Muslim,[5] Umar berkata: “Wahai puteriku, janganlah kamu sampai terpedaya oleh wanita ini (Aisyah) yang merasa kagum dengan kecantikannya.” (HR Bukhari dan Muslim)[6]

4.       Ada Wanita Bersaiz Comel

“Lalu keluar Saudah binti Zam’ah, isteri Nabi SAW, pada suatu malam di waktu Isya. Saudah adalah seorang wanita yang tinggi.” Menurut satu riwayat[7]: “Sangat besar,” dan menurut satu riwayat lagi: “Melebihi wanita lain dalam segi besar tubuhnya.” (HR Bukhari dan Muslim)[8]

5.       Baik Lagi Cantik

Abu Sufyan berkata kepada Rasulullah SAW: “Aku memiliki orang Arab yang paling baik dan paling cantik, iaitu Ummu Habibah binti Abu Sufyan. Aku akan mengahwinkanmu dengannya.” (HR Muslim)[9]

6.       Wanita Rupawan Berpipi Hitam

“Kemudian Rasulullah SAW berjalan hingga sampai ke tempat kelompok wanita, lalu beliau menyampaikan nasihat kepada mereka. Tiba-tiba dari tengah-tengah mereka berdiri seorang wanita rupawan yang kedua pipinya agak hitam kemerah-merahan.” (HR Muslim)[10]

7.       Wanita Berkulit Hitam yang Berjasa

“Bahwa seorang wanita hitam pernah menjadi petugas kebersihan masjid …. Kemudian Rasulullah SAW mendatangi kuburannya dan menyalatinya.” (HR Bukhari dan Muslim)[11]

8.       Wanita Yang Nampak Kakinya

“Ketika terjadi Perang Uhud … aku melihat Aisyah binti Abu Bakar dan Ummu Sulaim. Mereka menyingsingkan kainnya sehingga terlihat olehku gelang-gelang kaki mereka.” (HR Bukhari dan Muslim)[12]

“Tatkala kami bertemu (orang-orang musyrik pada Perang Uhud) mereka lari lintang pukang sehingga aku melihat wanita-wanita mereka berlompatan di bukit itu sambil mengangkat kain betis mereka sehingga kelihatan nyata gelang-gelang kaki mereka.” (HR Bukhari)[13]

9.       Si Cantik Tertawan

“Dan Allah mengalahkan mereka (maksudnya penduduk Khaibar) … Seorang tawanan wanita yang sangat cantik jatuh ke tangan Dahyah.” (HR Muslim)[14]

“Aku pernah ikut berperang di daerah Fazarah … Ketika mereka melihat anak panah melesat ke arah mereka, mereka pun berhenti dan tidak jadi mendaki. Mereka berhasil aku ringkus dan aku giring, termasuk diantaranya seorang wanita dari Bani Fazarah yang mengenakan tutup kepala dari bahan kulit yang sudah lusuh, berikut anak gadisnya yang merupakan gadis Arab paling cantik.” (HR Muslim)[15]

10.   Si Wanita Putih

“Rasulullah SAW tidak menyalatkan (jenazah) Suhail, putera si wanita putih kecuali di ruangan masjid. Al-Baidha adalah julukan untuk Da’ad binti Jahdam.” (HR Muslim)[16]

11.   Calon Bidadari Berkulit Hitam

“Ibnu Abbas berkata kepadaku: “Mahukah kamu aku beritahu tentang seorang wanita yang menjadi calon ahli surga?” Aku menjawab: “Tentu saja mahu.” Ibnu Abbas berkata: “Ini, si wanita hitam ini orangnya.” (HR Bukhari dan Muslim)[17]

12.   Ibu yang Gemuk dan Buta

“Ini ibunya az-Zubair. Dia pernah menceritakan bahwa Rasulullah SAW memperbolehkannya (maksudnya melaksanakan haji mut’ah). Kerana itu temuilah dia dan tanyakanlah masalah itu langsung kepadanya. Lalu kami pergi menemuinya. Ternyata dia adalah seorang wanita yang sangat gemuk dan buta.” (HR Muslim)[18]

13.   Karenah Anak-Anak

“Wanita yang kesebelas mengatakan: “Suamiku bernama Abu Zara. Tahukah kamu siapa Abu Zara itu? Dialah yang memenuhi telingaku dengan perhiasan dan menggemukkan lenganku. Puteri Abu Zara, tahukah kamu siapa puteri Abu Zara itu? Dia adalah seorang anak yang sangat patuh kepada kedua orang tuanya dan tubuhnya gempal …

Pada suatu hari Abu Zara keluar dengan membawa bekal bejana terbuat dari kulit yang sudah diisi penuh dengan susu. Dia bertemu dengan seorang wanita bersama dua anaknya, laksana dua ekor harimau kumbang. Mereka mempermainkan buah delima dari bawah pinggang ibunya tersebut (yang dimaksud dengan buah delima dalam hadis ini adalah payudara ibu kedua anak tersebut).” (HR Bukhari dan Muslim)[19]

Kesimpulan

1.       Boleh Jika Wanita Itu Tidak Dikenal atau Sifat Fizikal itu Boleh Dilihat Secara Langsung.

Semoga Allah mencurahkan rahmat-Nya ke atas al-Hafizh Ibnu Hajar yang berkata ketika menjelaskan hadis Ummu Zara ini: “Dalam hadis ini terdapat dalil mengenai bolehnya menyebutkan masalah kecantikan wanita kepada lelaki, apabila wanita itu tidak dikenal.

2.       Tidak Boleh Mendedahkan Rahsia Di Balik Aurat Wanita Yang Dikenal.

Al-Hafizh Ibnu Hajar, berkata lagi, “Yang tidak diperbolehkan adalah menyebutkan perihal wanita yang bersangkutan di hadapan lelaki atau menyebutkan sesuatu tentang dirinya yang tidak boleh dilihat dengan cara sengaja oleh lelaki.”[20]

Rujukan

1 Bukhari, Kitab: Jual-beli, Bab: Membeli budak dari orang kafir yang harus diperangi, menghibahkan, dan memerdekakannya, jilid 5, hlm. 316. Muslim, Kitab: Keutamaan-keutamaan, Bab: Di antara keutamaan Ibrahim ‘Alaihis Salam, jilid 7, hlm. 98.

[2] Bukhari, Kitab: Adab, Bab: Bentuk syair, rajaz, dan huda’ yang diperbolehkan, jilid 13, hlm. 162. Muslim, Kitab: Keutamaan-keutamaan, Bab: Tentang kasih sayang Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam terhadap istri-istrinya, jilid 7, hlm. 79.

[3] Bukhari, Kitab: Adab, Bab: Berkias (sindiran) itu lepas dari kebohongan, jilid 13, hlm. 216. Muslim, Kitab: Tentang kasih sayang Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam. terhadap istri-istrinya, jilid 7, hlm. 78.
hat buku Ibnu Badis, Kehidupan dan Jejaknya, jilid 2, hlm. 149 – 150.

[5] Muslim, Kitab: Thalak, Bab: Masalah ila’, menjauhkan dan memberikan pilihan kepada istri, jilid 4, hlm. 193.

[6] Bukhari, Kitab: Nikah, Bab: Nasihat seorang bapak kepada anak perempuannya karena keadaan suaminya, jilid 11, hlm. 191. Muslim, Kitab: Thalak, Bab: Masalah ila’, menjauhi dan memberikan pilihan kepada istri, jilid 4, hlm. 193.

[7] Muslim, Kitab: Salam, Bab: Diperbolehkanya wanita keluar rumah untuk menunaikan hajatnya, jilid 7, hlm. 6.

[8] Bukhari, Kitab: Wudhu, Bab: Keluarnya wanita untuk membuang hajat besar, jilid 1, hlm. 259. Muslim, Kitab: Salam, Bab: Diperbolehkannya wanita keluar rumah untuk menunaikan hajat-nya, jilid 7, hlm. 7.
Muslim, Kitab: Keutamaan-keutamaan para sahabat r.a., Bab: Di antara keutamaan Abu Sufyan bin Harb, jilid 7, hlm. 171.

[10] Muslim, Kitab: Dua hari raya, jilid 3, hlm. 19.

[11] Bukhari, Kitab: Shalat, Bab: Menyapu masjid, jilid 2, hlm. 99. Muslim, Kitab: Jenazah, Bab: Shalat di atas kubur, jilid 3, hlm. 56.

[12] Bukhari, Kitab: Jihad, Bab: Wanita ikut berperang dan bertempur bersama kaum laki laki, jilid 6, hlm. 418. Muslim, Kitab: Jihad, Bab: Wanita berperang bersama kaum laki-laki, jilid 5, hlm. 196.

[13] Bukhari, Kitab: Peperangan, Bab: Perang Uhud, jilid 8, hlm. 353.

[14] Muslim, Kitab: Nikah, Bab: Keutamaan memerdekakan budak perempuan kemudian mengawininya, jilid 4, hlm. 147.

[15] Muslim, Kitab: Jihad dan peperangan, Bab: Pemberian dan menebus orang-orang Islam dengan tawanan, jilid 5, hlm. 150.
Muslim, Kitab: Jenazah, Bab: Menyalatkan jenazah di masjid, jilid 3, hlm. 63.

[17] Bukhari, Kitab: Musibah sakit, Bab: Keutamaan orang yang menemui ajalnya karena epilepsi, jilid 12, hlm. 218. Muslim, Kitab: Kebajikan, hubungan kekeluargaan, dan etika, Bab: Pahala orang mukmin yang terkena musibah, jilid 8, hlm. 16.

[18] Muslim, Kitab: Haji, Bab: Mengenai haji tamattu’, jilid 4, hlm. 55.

[19] Bukhari, Kitab: Nikah, Bab: Mempergauli keluarga dengan baik, jilid 11, hlm. 176. Muslim, Kitab: Keutamaan-keutamaan para sahabat, Bab: Mengenai hadits Ummu Zara’, jilid 7, hlm. 139.


[20] Fathul Bari, jilid 11, hlm. 186.

Menjauhi Lelaki

$
0
0
ilustrasi (inet)
       “Ustazah, saya mahu jadi mawar berduri. Terpelihara dan suci. Perlukah saya menjauhi lelaki?” tanya seorang remaja belasan tahun yang sedang mekar ruh Islamnya.

               Saya teringat kondisi saya ketika seusia dengannya. Saya tidak mempunyai kawan lelaki. Saya hanya bergaul dengan kawan-kawan perempuan. Sikap menjauhi lelaki membuatkan saya berasa lebih fokus dalam pelajaran dan tenang melalui suasana tarbiah di sekolah.

   Saya kemudiannya difahamkan dengan lebih mendalam oleh orang-orang yang arif. Katanya, berurusan dalam kehidupan seharian dan bertemu dengan lelaki sudah merupakan sunnah kehidupan manusia dan menjadi karakter kehidupan sejak dahulu. Kita mesti realistik dengan kehidupan. Sejak zaman Nabi lagi, muslimah mempunyai peranan dalam kehidupan sosial.

   Maka, apabila mempunyai urusan, terutamanya di IPT, saya tidak lagi menolak untuk bermuamalat dengan lelaki. Berusaha menjaga adab sopan. Namun, itu bukan alasan untuk asyik berbalas-balas sms dengan mana-mana lelaki. Jika urusannya munasabah, saya hormati dan memberikan kerjasama. Jika urusannya sekadar mahu bertanya saya makan apa, saya hilang kepercayaan. 

        Jika melihat tradisi pada zaman Rasulullah SAW, baginda memberi sedikit kelonggaran untuk berurusan dan bertemu antara lelaki dan perempuan pada usia remaja. Ianya berlaku dalam pengawasan yang ketat. Misalnya:

1.                     Daripada Abdullah bin Abbas, dia berkata, “Sesungguhnya Fadhal bin Abbas pernah mengikut Rasulullah SAW. Dengan tiba-tiba datang seorang wanita dari daerah Khats’am. Fadhal memandang wanita itu dan wanita itupun memandang Fadhal. Lantas Nabi SAW memalingkan muka Fadhal kearah lain. (HR Bukhari dan Muslim. Bukhari, Kitab: Haji. Bab: Kewajipan haji dan keutamaannya, jil.4, hlm. 121).

2.             Dalam satu riwayat menurut at-Thabari dari Ali dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Aku melihat seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang sama-sama masih muda belia. Aku khuatir keduanya akan dimasuki syaitan.” (Kitab Fathul Bari, jilid 4, hlm. 439).

Membataskan pertemuan lelaki dengan wanita pada usia menginjak remaja bukan beerti melarangnya sama sekali. Tetapi mengurangkan peluang bertemu dan orang dewasa melakukan pengawasan.

Dalam ruang lingkup keluarga, ibubapa atau anggota keluarga perlu hadir bersama. Manakala di luar lingkungan keluarga, hadirkan seseorang yang dihormati dan disegani oleh muda-mudi tersebut. Remaja yang melalui tarbiah ini, tatkala melihat jantina berlawanan, lebih menjaga ada dan sopan-santun sekaligus mengurangkan ketegangan gejolak nafsu muda.

Pertemuan terbatas dengan suasana yang terjamin ini memberi pengaruh positif, terutamanya dalam menyiapkan dan melatih jiwa remaja. Mudah-mudahan, dia lebih mampu menahan diri dan melakukan pertemuan yang bersih dalam urusan pada waktu-waktu mendatang.

          Dalam realiti hari ini, muslimah adalah teman kerja lelaki dalam memakmurkan bumi sesempurna mungkin. Bak kata Nabi, “Wanita adalah saudara kandung lelaki.” (Sahih al-Jami as-Shagir, no. 1979).

Oleh sebab itu, wanita haruslah ikut serta dengan serius dan terhormat dalam pelbagai bidang kehidupan. Ia tidak akan terlepas daripada kehadiran kaum lelaki. Maka anjuran-anjuran menjaga cara berpakaian dan adab sopan itu sebenarnya suatu pengiktirafan Islam tentang tuntutan hidup yang memerlukan berurusannya lelaki dan perempuan. Dengan adab dan batasan, ianya akan berjalan secara bermaruah. Insya-Allah.
Viewing all 129 articles
Browse latest View live