Apa khabar Ramadhan kita kali ini? Bersemangatkah kita atau lemaukah kita? Ia ada kaitan dengan faktor dalaman yang kita siapkan. Sejauh mana kita memasukinya dengan iman dan penuh pencarian?
Universiti Ramadhan yang sedang kita lalui akan berakhir. Tinggal sedikit masa sahaja lagi. Mari kita sama-sama segarkan semula faktor dalaman kita dalam memandang nilai sebuah Ramadhan.
Segar dalam sejarah, tatkala hampir tibanya Ramadhan, Rasulullah SAW akan bersungguh-sungguh mengingatkan para sahabat tentang kelebihan bulan Ramadhan. Antaranya, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup. Syaitan dibelenggu dan dipenjara. Di dalamnya ada malam al-Qadr.
Faktor dalaman yang diisi sejak awal ini menyebabkan generasi didikan baginda tidak terkial-kial saat tibanya Ramadhan. Bahkan mereka bagaikan berlari pantas bak atlet pecut mengejar segala tawaran kemuliaannya, memintas masa yang terbatas. Patutlah para ulama meletakkan kaedah, ilmu didahulukan berbanding amal.
Kita belum terlewat. Jelaskan kembali trek kita. Objektif Ramadhan sangat jelas iaitu supaya kita bertaqwa. Sungguh indah, Ramadhan menawarkan kemahiran dan kepakaran mengurus diri, emosi, kehendak, lidah, nafsu, menggandakan ibadah, menekuni al-Quran, memperbanyakkan doa dan sebagainya. Semuanya adalah jalan meraih taqwa. Ia juga mendidik kita tentang pengurusan masa, kebersamaan dengan keluarga, cakna masyarakat bahkan urusan besar seperti berjuang di jalan Allah.
Apabila kita mendalami ayat 183-190 Surah al-Baqarah, sedarlah kita bahawa ayat jihad turun sekali dengan ayat puasa. Ia menunjukkan bahawa bekalan taqwa melalui jalan ibadah yang kita siapkan tatkala melalui Ramadhan menuntut kita membuat tanggung jawab yang besar terhadap jalan Allah.
Di Universiti Ramadhan ini, ada tawaran ‘Anugerah Dekan,’ analogi untuk anugerah malam yang lebih baik daripada 100 bulan. Inilah ‘Sayyidatul Layali’, penghulu segala malam. Malam ini lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan. Andai Allah SWT merezekikan kita memperolehi anugerah ini selama 10 kali dalam 10 tahun, bermakna kita berpeluang meraih ganjaran beribadah selama lebih daripada 833 tahun. Jika 20 kali? Masyallah, ribuan tahun! Mohonlah, moga Allah SWT sudi memilih kita lagi dalam kesempatan tahun ini, memburu al-Qadr.
Inilah malam luar biasa yang turunnya al-Quran buat pertama kalinya dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Malam ini terlalu agung sehinggakan ada satu surah khusus yang menceritakan perihalnya iaitu Surah al-Qadr. Malam apa selain al-Qadr yang mempunyai surah khusus dalam al-Quran? Wujudkah? Demikianlah terlalu mulianya malam yang satu ini. Tiada yang setandingnya.
Dengan adanya anugerah Lailatul Qadr, mudah-mudahan kita mengoptimumkan ibadah dalam Ramadhan ini setiap hari tanpa kecuali. Biasakan diri sekurang-kurangnya dengan solat Isyak berjemaah, qiamullail dan berazam kuat untuk solat subuh berjemaah kerana sabda Rasulullah SAW,
“Sesiapa yang solat isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiamullail separuh malam; dan sesiapa yang solat subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.”(Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai).
Solat Tarawih termasuk solat malam. Justeru, orang yang terbiasa melakukan amalan ini sejak awal pasti tidak berasa liat dan berat lagi untuk mengerjakannya pada 10 malam terakhir. Orang seperti inilah berpotensi besar mendapat Lailatul Qadr. Moga-moga kita terpilih menikmati khusyuknya ibadah saat tibanya malam yang dirindukan penghuni langit dan bumi itu.
Apa yang perlu kita lipatgandakan sejak awal Ramadhan lagi bagi memburu al-Qadr? Sama-samalah kita memperbaiki hubungan dengan al-Quran. Buatlah janji baru dengan al-Quran. Kewajipan kita terhadap al-Quran ada lima. Pertamanya beriman dengan al-Quran (al-imannu bihi). Yakin dan percaya ia kalamullah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril Kedua, tilawah (tilawatuhu). Kita belajar tajwid untuk memperelokkan tilawah. Ketiga ialah memahaminya (al-fahmu bihi). Dengan tafsir dan tadabbur kita akan memahaminya. Keempatnya ialah mengamalkannya (al-a’malu bihi). Setelah ada ilmu baru beramal. Kelimanya ialah menyampaikannya (tabligh). Sampaikanlah kepada orang lain.
Dalam Solat Tarawih, kita memperbanyakkan membaca dan mendengar pesanan dan petunjuk Allah SWT dalam al-Quran. Saat iktikaf, isilah masa dengan hubungan khusus dengan al-Quran. Berdoa dan berzikirlah dengan pelbagai doa dan zikir daripada al-Quran yang turut diterangkan dalam al-hadis. Inilah silibus Universiti Ramadhan yang dikejar oleh Rasulullah SAW dan generasi soleh solehah yang mengikut ajaran baginda sejak awal sampai zaman ini.
Bilakah berlakunya malam al-Qadr ini? Hanya Allah yang lebih mengetahui saat tepatnya. Menurut panduan beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, iaitu pada mana-mana malam ganjil iaitu malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29. Inilah pandangan jumhur ulama dan umat Islam. Apapun, kita tetap perlu berhati-hati dengan malam genap seperti malam ke 22, 24, 26, 28 atau 30 Ramadhan kerana perkiraan malam genap dan malam ganjil dalam belahan dunia ini berbeza-beza mengikut ijtihad manusia. Lebih selamat, kita mengaut semua sekali kesempatan 10 terakhir Ramadhan itu untuk menggandakan kualiti dan kuantiti ibadah. Bahkan merebut tawaran setiap detik dalam 30 hari Ramadhan.
Ada juga sebahagian ulama berpendapat bahawa malam al-Qadr adalah tetap, iaitu pada malam ke-27. Sungguh bijaksana Allah SWT merahsiakan bila saat tepat berlakunya malam agung ini sehinggakan umat Islam rajin beribadat sepanjang malam, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam yang terakhir.
Saat kita meyakini sesuatu malam itu sebagai malam al-Qadr, banyakkanlah membaca doa ini,
1. “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku.”
2. Perbanyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir.
3. Tekuni al-Quran.
4. Bagi wanita yang haidh atau nifas, jangan berpisah jauh daripada menekuni makna-makna al-Quran. Bangunlah. Zikirlah. Lailatul Qadr tidak pernah menjauhimu. Dirimu yang perlu mendekatinya, mencarinya, merebutnya.
Kesimpulannya, ayat-ayat paling tepat yang boleh memperjelaskan kepada kita tentang kemuliaan malam al-Qadr ialah dengan ayat-ayat yang ringkas dan mendalamini. Inilah dia Surah al-Qadr, ayat 1 sampai 5. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!