Quantcast
Channel: Fatimah Syarha
Viewing all articles
Browse latest Browse all 129

Article 0

$
0
0



Bagaimana Berkomunikasi Dengan Diri Sendiri dan Orang Lain?
Bagaimanakah cara kita bercakap dengan diri sendiri? Adakah minda kita banyak diisi oleh kata-kata negatif? Adakah perasaan kita didominasi oleh perasaan malang?
Memang. Kebiasaannya, sekitar 90% dari apa yang kita lihat dan kita dengar setiap hari adalah perkara negatif. Itu jugalah yang kita bicarakan dengan diri sendiri.
Kebanyakan pendengaran dan bacaan harian kita memuatkan berita tentang kemalangan, kemusnahan, pengkhianatan, musibah dan jenayah di pelbagai belahan dunia. Di sisi yang lain, dalam sehari kita memikirkan lebih dari 60 000 fikiran, 80%nya adalah fikiran-fikiran negatif. Misalnya, khuatir, resah, bimbang, sedih, dan gelisah tentang ‘masa sekarang’. Berfikir negatif berkaitan gaji, kerjaya, keluarga, dan sebagainya. Begitu juga dengan penyesalan terhadap masa lalu, serta tekanan perasaan dengan masa depan.
Fikiran-Fikiran semacam ini menciptakan perasaan negatif terhadap diri sendiri, sebagaimana yang dikatakan oleh Dr Shalih al-Rasyid bahawa:
Rata-rata dalam sehari manusia berbicara dengan dirinya lebih dari 5000 patah perkataan. 77% bisikan kepada diri sendiri adalah negatif!
Kita seringkali mengatakan:
“Saya mudah lupa.”
“Saya mudah bosan.”
“Saya tidak boleh.”
“Payah.”
“Hati saya kotor.”
“Nantilah.”
            Ayat-ayat ini, apabila sering diulang-ulang, akan menjelma menjadi ‘keyakinan.’ Otak bawah sedar akan merakamnya. Ia menjadi sebahagian karakter seseorang. Ia berpengaruh pada kemampuan dirinya.
Ucapkanlah secara berulang-ulang kata-kata ini kepada diri sendiri:
“Saya boleh, insyaAllah!”
“Allah pasti bantu!”
“Besarnya nikmat Allah melalui kekuatan fungsi otak.”
“Aku positif selalu.”
“Optimis.”
 “Sangka baik kepada Allah.”

Bahasa-bahasa positif di atas jika sering diulang-ulang akan berubah menjadi ‘keyakinan’. Ia akan mengubah rasa pesimis menjadi positif. Lalu mengukuh dalam diri seperti kukuhnya pergunungan. Maka, pilihlah kata-kata yang terbaik untuk disebutkan kepada diri sendiri dan orang lain.
Bagaimana pula cara kita bercakap dengan orang lain? Banyak negatif atau positif? Setiap hari kita perlu berkomunikasi. Apakah prinsip umum yang boleh kita belajar daripada al-Quran tentang komunikasi? Bagaimana kita mampu membangunkan sebuah komunikasi yang beradab? Ada beberapa istilah menarik yang bagus untuk menjadi panduan hidup kita.
1.      Kata-kata yang berbekas pada jiwa  (Qaul Balîgh)

Firman Allah SWT:  “Maka bagaimanakah halnya apabila mereka (orang-orang munafik) ditimpa sesuatu musibah disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami sekali-kali tidak menghendaki selain penyelesaian yang baik dan perdamaian yang sempurna”. Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka kata-kata yang berbekas pada jiwa mereka.” (Surah al-Nisâ’/4: 62-63)

M. Quraish Shihab, dalam  Tafsir al-Mishbah, mengutip daripada para pakar satera tentang kriteria-kriteria khusus tentang suatu pesan dianggap balîgh, iaitu:
·         Tertampungnya seluruh pesan dalam kalimat yang disampaikan
·         Kalimatnya tidak meleret panjang, juga tidak terlalu pendek sehingga pengertiannya menjadi kabur
·         Pilihan kosa katanya tidak dirasakan asing bagi si pendengar
·         Kesesuaian kandungan dan gaya bahasa dengan lawan bicara
·         Kesesuaian dengan tata bahasa

2.       Kata-kata yang mulia (Qaul Karîm)

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isrâ’/17: 23,
 “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”


Sayyid Quthb dalam Tafsir Fī Zhilāl al-Qur’ān menyatakan bahawa perkataan yang karīm, dalam konteks hubungan dengan kedua orang tua, pada hakikatnya adalah tingkatan yang tertinggi yang harus dilakukan oleh seorang anak. Yakni, bagaimana ia berkata kepadanya, namun keduanya tetap merasa dimuliakan dan dihormati.

Manakala Ibn ‘Asyur dalam al-Tahrīr wa al-Tanwīr menyatakan bahawa ‘qaul karīm’ adalah perkataan yang tidak mengkritik pihak lain yang membuat dirinya merasa seakan terhina. Contoh yang paling jelas adalah ketika seorang anak ingin menasihati orang tuanya yang salah, yakni dengan tetap menjaga sopan santun dan tidak bermaksud menggurui, apalagi sampai menyinggung perasaannya.
3.      Kata-kata yang menyenangkan lagi melegakan (Qaul Maisūr)

Bagaimana cara kita berkomunikasi apabila kita tidak mampu memberi atau mengabulkan permintaan kerana memang tidak ada?
 Al-Quran mengajar kita menggunakan perkataan yang baik dan alasan-alasan yang rasional. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’/17: 28:

 “Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang menyenangkan (lemah-lembut dan melegakan).”

Menurut Al-Qurthubi, dalam Al-Jāmi’ li ahkām Al-Qur’ān, Ibn Zaid berkata, “Ayat ini turun berkenaan dengan suatu kaum yang minta sesuatu kepada Rasulullah SAW. Namun baginda tidak mengabulkan permintaannya, sebab baginda tahu kalau mereka seringkali membelanjakan harta kepada hal-hal yang tidak bermanfaat. Sehingga berpalingnya baginda adalah semata-mata kerana berharap pahala. Sebab, dengan begitu baginda tidak mendukung kebiasaan buruknya dalam menghambur-hamburkan harta. Namun begitu, harus tetap berkata dengan perkataan yang menyenangkan atau melegakan.”

4.      Kata-kata yang baik (Qaul Ma’ruf)
Di dalam al-Qur’an istilah ini disebutkan sebanyak empat kali, iaitu:
1.      Surah al-Baqarah/2: 235, qaul ma’rûf disebutkan dalam konteks meminang wanita yang telah ditinggal mati suaminya.
2.      Surah al-Nisa’/4: 5 dan 8, qaul ma’rûf dinyatakan dalam konteks tanggung jawab atas harta seorang anak yang belum memanfaatkannya secara benar (safîh).
3.      Surah al-Ahzâb/33: 32, qaul ma’rûf disebutkan dalam konteks isteri-isteri Nabi SAW


Menurut al-Ishfahani dalam al-Mufradāt, istilah ma’rûf menyangkut segala bentuk perbuatan yang dinilai baik oleh akal dan syara’.
Dalam beberapa konteks al-Razi  dalam Mafātīh, menjelaskan, bahawa ‘qaul ma’rûf’ adalah perkataan yang baik, yang menancap ke dalam jiwa, sehingga yang diajak bicara tidak merasa dianggap bodoh (safîh).
4.      Kata-kata yang lembut (Qaul Layyin)
Firman Allah SWT dalam Surah Thâhâ/ 20: 43-44:
 “Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya Dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Fir’aun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia sedar atau takut”.
Kenapa Nabi Musa a.s. harus berkata lembut padahal Fir’aun adalah tokoh yang zalim?  Menurut al-Razi, dalam Mafātīh, ada dua alasan, pertama, sebab Musa  a.s. pernah dididik dan ditanggung kehidupannya semasa bayi sampai dewasa. Hal ini, merupakan pendidikan bagi setiap orang, yakni bagaimana seharusnya bersikap kepada orang yang telah berjasa besar dalam hidupnya; kedua, biasanya seorang penguasa yang zalim itu cenderung bersikap lebih kasar dan kejam jika diperlakukan secara kasar dan dirasa tidak menghormatinya.
Menurut Ibn ‘Asyur, dalam al-Tahrīryang dimaksud dengan qaul layyin adalah perkataan yang mengandung anjuran, ajakan, pemberian contoh, di mana si pembicara berusaha meyakinkan pihak lain bahawa apa yang disampaikan adalah benar dan rasional, dengan tidak bermaksud merendahkan pendapat atau pandangan orang yang diajak bicara tersebut. Dengan demikian, qaul layyin adalah salah satu metod dakwah, kerana tujuan utama dakwah adalah mengajak orang lain kepada kebenaran, bukan untuk memaksa dan tunjuk kekuatan.
5.      Kata-kata yang jelas dan benar (Qaul Sadîd)
Firman Allah SWT dalam Surah-Nisa’/4: 9:
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.”



Ayat ini turun dalam situasi seseorang yang mahu meninggal bermaksud mewasiyatkan seluruh kekayaan kepada orang lain, padahal anak-anaknya masih memerlukan harta tersebut. Dalam situasi ini, perkataan yang harus disampaikan kepadanya harus tepat dan argumentatif. Misalnya, “Meninggalkan warismu dalam keadaan cukup lebih baik daripada meninggalkannya dalam keadaan meminta-minta. Fikirkanlah masa depan anakmu kelak andai kau wasiatkan keseluruhan hartamu ini.”
Manakala dalam Surah al-Ahzâb/33: 70, Allah SWT berfirman:
 “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.”
Ada banyak tafsiran berkaitan qaul sadid, antaranya ialah:
·         perkataan yang jujur dan tepat sasaran[ Al-Razi, Mafātīh]
·         perkataan yang lembut dan mengandung pemuliaan bagi pihak lain[ Al-Razi, mengutip dari al-Zamakhsyari, Mafātīh]
·         pembicaraan yang tepat sasaran dan logik[ Rasyid Ridha, al-Manār]
·         perkataan yang tidak menyakitkan pihak lain[Al-Sya’rawi, Tafsir al-Sya`rāwī]
·         perkataan yang memiliki kesesuaian antara yang diucapkan dengan apa yang ada di dalam hatinya.[ Ibn ‘Asyur, al-Tahrīr]



 Diterbitkan oleh; Harian Metro April 2017





Viewing all articles
Browse latest Browse all 129