Ciri-Ciri Unik Masyarakat Islam
Di bumi bertuah Malaysia, kita bersyukur hidup dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya untuk kita saling berkenal-kenalan dan mengagumi kebesaran Tuhan yang menciptakan. Masyarakat Islam yang dianuti oleh kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya merupakan masyarakat yang jumlahnya dominan di Malaysia.
Apakah sebenarnya sebuah masyarakat Islam? Menurut Syeikh al-Qaradhawi dalam bukunya Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan, beliau menghuraikan tentang masyarakat Islam sebagai sebuah masyarakat yang berakidah, beribadah, menghargai intelektual, beradab, berakhlak, dan berperi kemanusiaan.
Apakah dasar yang dipegang oleh sebuah masyarakat Islam? Apa lagi kalau bukan dasar akidah yang mempengaruhi falsafah hidupnya secara menyeluruh. Tiga persoalan asasi kemanusiaan dijawab dengan dasar akidah ini. Persoalan-persoalan itu ialah, dari mana kita datang? Kenapa kita diciptakan? Ke mana kita akan pulang? Masyarakat Islam yang mampu menjawab semua persoalan ini dengan kefahaman akan menjadi masyarakat bertauhid, tidak mensyirikkan Allah.
Masyarakat Islam juga ialah masyarakat yang menunjukkan komitmen Islamnya dengan ibadah-ibadah. Ia menjadi syiar hubungannya dengan Allah. Bahkan ia sedar, tugas utamanya adalah beribadah kepada Allah SWT.
Masyarakat Islam juga terbina dengan pemikiran dan pemahaman yang jelas. Pertimbangannya dalam menilai amalan, pendirian, individu dan ideologi sangat wasatiyyah (pertengahan), unik dan terpandu. Tidak ekstrim ke kanan atau ke kiri, ke Timur atau ke Barat. Inilah masyarakat intelektual yang seimbang dengan dalil naqli dan aqli.
Masyarakat Islam juga ialah sebuah masyarakat yang luhur budi pekerti . Dia meyakini bahawa, agama itu ialah keindahan budi pekerti. Akhlak bersangkut paut dengan perintah dan larangan yang datang dari sumber Ilahi Rabbani, maka lahirlah masyarakat berakhlak mulia.
Adab kesopanan dan budaya masyarakat Islam juga cukup unik, tidak condong pada satu jenis kebudayaan masyarakat tertentu sahaja.Ia menghargai semua adab budaya yang tidak bercanggah dengan syariat. Syariatlah menjadi pemagar semua adat budaya.
Masyarakat Islam juga ialah sebuah masyarakat yang terbina di atas dasar peri kemanusiaan (humanity) yang tinggi. Inilah dasar yang diperlukan oleh sesiapa sahaja manusia yang bertamadun. Nilai-nilai kemanusiaan ialah menghormati kemuliaan manusia, memberikan kebebasan dan pergerakan, memberikan haknya, memelihara darah, kehormatan, harta, akal dan keturunan setiap individu sebagai anggota masyarakat.
Menjunjung Ilmu
Kemanusiaan hanya akan tertegak oleh sebuah masyarakat yang menjunjung ilmu pengetahuan. Dengan Ilmu, manusia dilayakkan menjadi khalifah. Allah SWT berfirman tatkala menolak sangkaan para malaikat tentang penciptaan manusia yang mungkin hanya tahu melakukan kemusnahan dan pertumpahan darah sahaja.
“Sesungguhnya aku Maha Mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Allah mengajarkan Adam nama-nama keseluruhannya.” (Al Baqarah 30-33).
Masyarakat yang benar-benar menghayati ajaran Islam akan menjadi masyarakat yang berilmu. Bahkan al-Quran yang diturunkan sangat menggesa mencari ilmu dan menggunakan akal sehinggakan ayat pertama yang diturunkan ialah,“Bacalah! Dengan nama TuhanMu yang menciptakan.” (Surah al-Alaq: 1).
Kenapa secara realitinya pertumpahan darah tetap berlaku di sana sini? Ya, manakan sama orang yang melengkapkan dirinya dengan ciri-ciri masyarakat Islam iaitu masyarakat berilmu dengan orangyang tiada persiapan ilmu? Firman Allah SWT, “Katakanlah, adakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?”(Az-Zumar: 9).
Hanya orang yang berilmu akan kenal Allah seterusnya takut kepada Allah SWT. Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Fathir: 28)
Mengamalkan Ilmu
Apa ertinya ilmu tanpa amal? Bagaikan pokok tidak berbuah. Sebuah masyarakat Islam perlu mempraktiskan ilmunya dalam bentuk amal iaitu, ibadah, khilafah (pemerintahan) dan imarah (memakmurkan bumi).
Ibadah menjadi keutamaan hidupnya. Firman Allah SWT, “Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku,”(Surah al Zariyat: 56).
Tugas manusia juga ialah menjadi khalifah. Firman Allah SWT, “SesungguhnyaAku mahu menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”
Tidak cukup dengan itu, manusia mesti memakmurkan bumi ini. Pesan Allah SWT, “Dialah yang menciptakan kamu dari tanah dan menjadikan kamu pemakmurnya…” (Hud: 61).
Tiga perkara ini saling berkait. Memakmurkan bumi adalah tugas khalifah dan seorang khalifah mesti beribadah kepada Allah SWT.
Amal soleh yang sering disebut dalam al-Quran adalah luas pengertiannya merangkumi semua amal yang membawa kebaikan kepada agama dan dunia, berkait individu dan masyarakat. Ia merangkumi ibadat dan muamalat, kehidupan dan kematian.
Al-Quran menunjukkan kea rah yang terbaik, bukan sekadar yang baik. Allah SWT berfirman, “Untuk Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya.” (Al Kahfi, ayat 7).
Allah SWT juga berfirman, “Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu.” (Al-Zumar: 55).
Banyak lagi tempat di dalam al-Quran, ungkapan-ungkapan yang bermaksud penilaian bukan sahaja antara amal buruk dan amal baik, bahkan penilaian merangkumi amalan terbaik di kalangan amal yang baik-baik. Misalnya, seseorang Muslim dikehendaki berdebat dengan cara yang terbaik (Al-Nahl: 125), menolak dengan cara yang terbaik (Al-Mukminun: 96), melaburkan harta anak yatim secara terbaik (Al-Isra’: 34) dan sebagainya.
Begitulah hebatnya Islam mendorong penganutnya menjadi sebuah masyarakat yang beramal secara terbaik bahkan terus produktif, menjadi pengeluar dan sepatutnya menjadi masyarakat yang paling kaya dan pemurah di dunia ini.
Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seseorang itu memakan makanan yang lebih baik dari makanan hasil titik peluhnya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud makan makanan hasil titik peluhnya sendiri.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
Motivasi yang menggalakan budaya produktif ini berterusan hinggalah ke saat kiamat kecil atau besar berlaku dalam hidup kita. Sabda Nabi SAW, “Apabila berlakunya kiamat sedangkan ketika itu terdapat di tangan salah seorang kamu benih kurma, jika kamu berupaya menanamnya sebelum terjadinya kiamat maka tanamlah benih tersebut.” (Riwayat al Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).