Quantcast
Channel: Fatimah Syarha
Viewing all articles
Browse latest Browse all 129

Berpolitiklah dengan Norma Agama dan Beretika

$
0
0
     Islam adalah ajaran yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Islam merangkumi akidah, ibadah, akhlak serta merupakan syariat yang komprehensif. Menurut Syeikh al-Qaradhawi dalam kitabnya Ad-Din wa al-Siyasah berkata, “Keyakinan tauhid pada dasarnya adalah revolusi kebebasan, persamaan dan persaudaraan bagi manusia. Dengan demikian manusia tidak akan mengambil sesiapapun selain Allah sebagai Tuhan dan menghapuskan segala jenis penuhanan manusia kepada sesama manusia.”


     Rasulullah SAW mengakhiri surat-surat yang dikirim kepada raja-raja ahli kitab dengan menulis surah Ali Imran,ayat 64. “Katakanlah, ‘Hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah.’ Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).’”

     Sesungguhnya dengan mengusung syiar ‘Tidak ada Tuhan Selain Allah’ ada perubahan yang akan dilakukan oleh Islam sama ada dalam kehidupan sosial, politik mahupun agama. Islam memiliki sikap yang jelas dan hukum yang nyata dalam menghadapi pelbagai persoalan yang masuk dalam wilayah politik.

     Sejak zaman berzaman, masyarakat sudah mengetahui pentingnya peranan politik atau Negara dalam mencapai tujuan hidup bersama, menerapkan pelbagai undang-undang, mencerdaskan umat, mengajak kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran. Oleh sebab itu, khalifah ketiga Uthman bin Affan berkata, “Allah SWT menyerahkan persoalan yang tidak terdapat dalam al-Quran kepada pemerintah (Negara).” (Al Bidayah wal al-Nihayah, Ibnu Katsir, jilid 2,no. 10).

     Pemimpin yang dipilih perlu berusaha memperhatikan pola fikir masyarakat, kelengkapan material dan kemudahan masyarakat seterusnya merealisasikan firman Allah SWT,“Iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah daripada perbuatan mungkar.” (Surah al Hajj: 41).

     Umat manusia akan menjadi lebih baik apabila menggunakan sistem politik yang mengikuti norma agama yang daripada norma agama itulah terinspirasinya kaedah-kaedah etika. Itulah sistem politik yang mengambil kira terhadap pertimbangan baik buruk serta kebenaran dan kebatilan.

     Contohi keperibadian Saidina Umar yang memerintah dengan selalu bersandar kitab Allah dalam masa yang sama mempertimbangkan maslahah. Di riwayatkan bahawa ada seorang perempuan menasihatinya ketika dia menetapkan kadar mas kahwin. Apabila beliau mendengar wanita itu menukilkan ayat al-Quran, Umar menarik balik keputusannya seraya berkata, “Perempuan itu benar dan Umar yang salah.”

      Ibnu Khaldun dalam buku hebatnya ‘Al Muqaddimah’ berkata tentang dua jenis masyarakat. Ada masyarakat duniawi semata-mata. Ada juga masyarakat duniawi yang beragama. Masyarakat jenis kedua lebih utama dan lebih tepat daripada masyarakat jenis pertama. Ibnu Khaldun menulis mengenai peranan agama dalam kehidupan masyarakat sosial yang lebih kecil daripada peranan sikap fanatisme (nasionalisme). Jenis masyarakat yang paling ideal bagi sebuah Negara adalah masyarakat yang menggabungkan agama dan Negara. (Mausua’ah al-Ulumi as-Siayasah, Universiti Kuwait, poin ke 193, hal. 144-145).

     Semoga kita menjadi masyarakat yang kedua itu, beragama dan menguruskan dunia sebaik-baiknya. Dengan itu, pembangunan rohani dan material terbangun sebaik-baiknya.


     Al Biruni dalam bukunya Tahqiq ma li al-Hind min Maqulah berkata, “Sebuah Negara jika bersandar pada salah satu sisi agama, maka Negara dan agama akan menjadi seperti saudara kembar, kemudian pembangunan akan tercapai secara sempurna berkat kewujudan agama dan Negara secara bersamaan.”

     Menurut Syeikh al Qaradhawi dalam bukunya Ad-Din wa al-Siyasah, peribadi seorang Muslim sebagaimana dibentuk oleh Islam dan sesuai dengan akidah, syariah dan pendidikannya pasti memiliki unsur-unsur politik, kecuali jika pemahaman dan pengamalan terhadap agamanya salah. Namun, perlu dibezakan antara makna politik dengan parti. Parti hanyalah sebahagian daripada politik (siyasah). Makna politik (siyasah) lebih luas.

     Dalam buku Risalah Taalim oleh al-Imam Hassan al-Banna dengan syarah Muhammad Abdullah al-Khatib menjelaskan bahawa, “Sesungguhnya perbezaan adalah jauh antara berparti dan berpolitik. Adakalanya ia bersatu dan adakalanya ia berpecah. Adakalanya seseorang itu berpolitik dengan segala makna yang terkandung pada kalimah tersebut sedangkan dia tidak berhubung dengan apa-apa parti dan tiada kaitan. Adakalanya dia adalah orang parti, sedangkan dia tidak tahu sangat soal berpolitik.  Adakalanya digabungkan antara keduanya maka dia adalah orang politik yang berparti atau orang parti yang tidak berpolitik secara saksama. Apabila saya berbicara tentang politik dengan kalimah ini.”

     Dengan mengambil makna luas ini, hakikatnya semua individu, NGO, institusi atau apa sahaja sebenarnya perlu kepada politik. Ingat, politik tidak semestinya parti. Islam sesuatu yang tidak terpisah dengan sosial, politik, ekonomi, kebudayaan. Islam itu luas. Islam tidak terbatas pada skop sempit yang boleh melenyapkan segala aspek kekuatan amali Islam. Sama-samalah kita berganding bahu memikul kewajipan amar makruf nahi mungkar atau dengan kata lain, memberi nasihat kepada para pemimpin dan masyarakat luas. Agama itu nasihat. Salinglah menasihati dalam kebenaran dan kesabaran sebagai syarat mencapai kejayaan dunia dan akhirat, sebagaimana bunyi surah al-Asr.

     Kata Syeikh al Qaradhawi, agama adalah petunjuk jalan kebenaran, bukan tali yang mengikat ruang gerak politik. Syariah sebagaimana dikatakan oleh IbnuL Qayyim, semuanya bersifat adil, rahmat, maslahat dan hikmah. Setiap hal yang berlawanan dengan keadilan akan menjadi hal-hal yang sesuka hati, hal yang berlawanan dengan maslahat akan menjadi mafsadah dan hal yang berlawanan dengan hikmah akan menjadi kesia-siaan.  Setiap benih kerosakan yang timbul, kesalahannya tidak terletak pada nas, tetapi pada pemahaman yang salah terhadap kitab suci al-Quran mahupun hadis Nabi.

     Oleh sebab itu, kita wajib mengarahkan umat kepada pemahaman yang benar terhadap Islam. Bukan dengan menjauhkan agama dari politik. Politik perlu bergerak  dengan memanfaatkan fungsi akal namun mesti dalam sempadan dan kawalan agama.



Viewing all articles
Browse latest Browse all 129