Negara bertuah ini telah pun menghormati hak rakyat dalam memilih pemimpin.
Rakyat yang prihatin akan sedar hak mereka ini. Mengundilah. Gunakan kuasa rakyat untuk memilih pemimpin yang berkemampuan dan amanah dalam setiap tugasan yang diserahkan.
Rakyat yang prihatin akan memilih pemimpin yang dipercayai dari sudut kemampuan dan keagamaan tanpa melakukan sebarang penipuan dan penyelewengan. Apabila pemimpin telah pun dipilih oleh kuasa rakyat, tidak kisahlah siapapun dia, samada kita suka atau tidak suka, pemimpin itu berhak dibantu, dinasihati dan ditaati dalam perkara yang bukan maksiat. Jangan biarkan perbezaan politik menjadi sebab hati-hati kita tidak bersatu.
Dalam tempoh seseorang pemimpin berkuasa, memang menjadi hak pemimpin untuk ditaati. Namun, itu tidak menghalang hak rakyat untuk mempersoal dan mengetahui apa yang dilakukan oleh pemimpin serta memastikan ketelusannya. Rakyat juga berhak menasihati dan memperbetulkan mereka dengan hikmah dan bijaksana. Rakyat juga berhak melucutkan kepimpinannya dengan cara aman apabila mereka berterusan melakukan kesalahan. Inilah keadilan. Adil bagi semua pihak, pemimpin serta rakyat.
Menurut Syeikh al-Qaradhawi dalam bukunya Wasatiyyah, pemerintahan mestilah didirikan atas dasar keadilan, syura, penjagaan hak serta kepatuhan terhadap syariat yang diturunkan oleh Allah Taala. Tidak salah mengambil faedah daripada sistem demokrasi melalui mekanisme, jaminan-jaminan dan cara membangunkan rakyat serta mengehadkan kuasa pemerintah. Namun, kita tidak patut menerima pengamalan demokrasi secara mutlak seperti kebebasan individu yang mutlak sehinggakan kebebasan itu bertentangan dengan akhlak dan hukum syarak. Dengan itu kita mengambil apa yang baik daripada sistem demokrasi dan meninggalkan apa yang buruk serta bertentangan dengan asas Islam. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.
Bangunkan Ekonomi
Selepas mengundi dalam suasana pilihanraya aman, usah bertelagah lagi. Kuatkan ekonomi. Saling lengkap-melengkapi. Bangkit berdikari tidak kira samada dalam keperluan umum masyarakat atau aspek ketenteraan. Binalah ekonomi yang mengikut landasan syariat dan objektif syariat (maqasid).
Galakkan pembinaan bank dan institusi kewangan Islam. Bebaskan umat dari bayangan sistem konvensional, cuba membaikinya supaya memberi kesan lebih hebat dalam memacu pertumbuhan ekonomi umat.
Rancanglah secara sistematik untuk mengasaskan ekonomi Islam yang mampu meningkatkan pengeluaran, mendidik pengguna, keseragaman peluang dan agihan yang adil. Kekalkan kesederhanaan sistem ekonomi Islam (wasatiyyah) yang tidak menyerupai sistem kapitalis yang melebihkan individu berbanding masyarakat dan tidak pula menyerupai sistem sosialis yang melebihkan masyarakat berbanding individu. Cara Islam lebih baik dengan konsep adil dan ihsan. Wasatiyyah (bersederhana) dalam semua urusan. Bersederhana adalah kedudukan ideal dan terbaik, bukan sedang-sedang.
Kesatuan Umat Islam
Kita hendaklah meyakini kesinambungan umat Islam sepanjang zaman. Umat Islam tidak akan pupus kerana merekalah mata-mata rantai penyambung risalah terakhir. Yakinilah kepentingan penyatuan ummah dan persaudaraan sesama Islam walaupun berbeza aliran, politik, mazhab dan pembawaan manhaj.
Anggaplah setiap perbezaan itu masih dalam lingkungan umat yang satu selagi mereka tetap mendirikan solat serta beriman dengan al-Quran dan al-Sunnah. Syukuri persamaan, raikan perbezaan. Berusahalah merapatkan jurang perbezaan antara kumpulan-kumpulan. Dengan itu, mudah-mudahan kita semua dapat berdialog dalam perkara yang tidak disepakati . Bahkan, dapat berkerjasama dalam perkara yang melibatkan kepentingan bersama. Ingat, air mata di Palestin, Syria dan sebagainya perlu kita usap bersama-sama dan mengutuk kezaliman ke atas mereka. Bersatulah!
Kita juga hendaklah menegaskan prinsip wala’ kepada ummah iaitu mencintai dan berpihak kepada umat Islam bukan kepada bangsa dan umat yang lain. Dalam masa yang sama, tunjukkan sikap menerima kepelbagaian. Menerima bukan bererti menganggap semua agama sama. Tidak! Hanya Islam agama yang diterima di sisi Allah SWT, itu tetap keyakinan kita dengan dalil naqli dan aqli yang terang lagi bersuluh.
Menerima bererti menghargai dan menghormati kepelbagaian agama, adat, bahasa, tamadun, politik dan yakin tentang keperluan untuk beriringan, saling belajar antara satu budaya dengan yang lain. Berinteraksilah secara positif dari kepelbagaian aspek yang wujud. Tiada paksaan dalam agama. Katakan saja, bagimu agamamu, bagiku agamaku.
Usah merasa sombong dengan kekuatan, harta dan kadar bilangan yang dimiliki. Perluaskan roh toleransi yang digalakkan oleh Islam bahkan telah dibuktikan di sepanjang sejarah kecemerlangaannya sebagai guru buat alam.
Selamat mengundi dan selamat berazam untuk bersatu padu buat rakyat Malaysia tercinta.
Fatimah Syarha Mohd Noordin