Quantcast
Channel: Fatimah Syarha
Viewing all articles
Browse latest Browse all 129

Cik Abang, Sudi Nikah Satu?

$
0
0


         Alhamdulillahi robbil a’lamin. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam sentiasa kami panjatkan ke pangkuan Rasulullah  berserta keluarga, sahabat dan umat pengikut baginda hingga akhir zaman.

Pelbagai Sisi Kehidupan

Kehidupan ini luas. Namun, sisi kehidupan yang mampu diangkat oleh manusia hanyalah sedikit. Bergantung kepada setitis ilmu dan pengalaman yang mereka ada sahaja. Sebab kudrat manusia itu terbatas.

Dalam memperkatakan sesuatu isu, manusia sering bersikap seperti tujuh si buta menerangkan tentang seekor gajah.Yang memegang kaki akan menganggap gajah seperti tiang. Yang memegang telinga akan menganggap gajah leper dan lembut. Macam-macam lagi. Pelbagai persepsi. Hanya yang celik akan dapat menerangkan gajah secara lebih menyeluruh. Itupun masih ada batasannya.

Begitu juga jurufoto. Sudut objek yang diambilnya, sangat terbatas. Mungkin dari tepi sahaja. Atau dari atas sahaja. Atau dari depan sahaja. Semakin mahir dan canggih kameranya, semakin menyeluruhlah kepelbagaian sudut fokusnya. Walau bagaimana pun, apa yang mampu dimuatkan dalam gambarnya, ialah apa yang difokus sahaja.

Di manakah Keutamaan?

Menjengah kehidupan. Kita melihat terdapat pelbagai pertarungan pemikiran kesan daripada mentaliti sempit atau luas yang diperjuangkan. Ada yang memandang dari kaca mata maslahah individu. Ada yang memandang dari kaca mata maslahah umum. Ada yang menggabungkannya. Pelbagai perspektif. Macam-macam.

Dalam serba keterbatasan, umat berhajat kepada kebijaksanaan para ilmuan untuk mengajar tentang Fiqh al-Awlawiyat. Iaitu mengajar umat bagaimana meletakkan segala sesuatu pada tangga dan peringkatnya yang sebenar dengan pertimbangan keadilan, samada mengenai perbuatan, pemikiran, hukum-hakam dan nilai-nilai akhlak mulia. Ya, sudah tentu ada khilafnya nanti. Apapun, the best will win.

Umat akan lebih bersatu apabila perkara yang paling penting didahulukan dan diutamakan, kemudian barulah yang penting, kurang penting dan seterusnya, mengikut pandangan syariat Islam yang bersumberkan wahyu Ilahi. Wahyulah penyuluh akal fikiran manusia. Tanpa cahaya wahyu, akal fikiran akan gelap teraba-raba.

Kita mahukan segala perkara diletakkan pada kedudukan dan tempatnya secara adil tanpa ada mana-mana bahagian yang diabaikan atau dirugikan. Firman Allah :

“Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan). Supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu.” [Surah al-Rahman: 8-9].

Fitrah Manusia Mahukan Pencapaian Tertinggi

Seringkali kita mendengar sabda Nabi tentang perbuatan yang paling utama dan pekerjaan yang paling disukai oleh Allah. Jika diteliti, rupa-rupanya, memang jiwa besar para sahabat mahu mengetahuinya. Mereka sering bertanya Nabi tentang perbuatan utama di sisi Allah supaya mereka dapat menjadi orang pertama mencapainya.

Tidak hairanlah, zaman Nabi dan para sahabat menjadi sebaik-baik zaman untuk dicontohi.  Jiwa mereka, jiwa mahukan pencapaian tinggi. Motivasi mereka besar. Ini yang membezakan darjat dan peringkat manusia disebabkan kadar ilmu pengetahuan, amal perbuatan, taqwa, keikhlasan dan jihad mereka.

Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).”[Surah Fatir: 32].


Manakah Lebih Utama?  
  
           Antara keutamaan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dan sering dikejar oleh para sahabat baginda ialah:

“Solat berjemaah lebih utama dua puluh tujuh darjat daripada solat sendirian.” [Riwayat Bukhari dan Muslim].

           Seorang lelaki (hanya) mempunyai wang dua dirham, kemudian dia bersedekah dengan sekeping dirham (iaitu dia bersedekah dengan setengah harta yang dia punyai, walhal dia sangat berhajat dengan harta tersebut) dan seorang lelaki yang lain mempunyai harta yang banyak, kemudian dia mengambil dari hartanya seratus ribu keping wang dirham untuk disedekahkan.

 Nabi SAW bersabda,
“(Wang) satu dirham itu dapat mengalahkan seratus ribu dirham.” [Riwayat Imam al-Nasai, Ibn Huzaimah, sahih mengikut syarat Imam Muslim].

Dalam keutamaan yang lain, Nabi  menyebut,
“Berdiri di medan jihad (ribat) sehari semalam, lebih utama (ganjarannya) daripada puasa dan qiyamullail (solat malam) sebulan lamanya.” [Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan al-Tirmizi].

Di Mana Asas Keutamaan Penilaian Umat?

           Dalam dunia Muslim hari ini, apakah agaknya asas keutamaan penilaian kita?

Kesenian dan hiburan lebih diutamakan berbanding ilmu pengetahuan dan pendidikan.

Ya, kedua-duanya perlu ada, tapi mana lebih utama?

Riadah badan buat generasi muda lebih diutamakan berbanding riadah akal.

Ya, kedua-duanya penting, tapi mana lebih utama?

Perlawanan bola sepak lebih diutamakan berbanding forum para ulama sedunia.

Ya, kedua-duanya dihajati, tapi mana lebih utama?











Di manakah perhatian lebih besar patut diberikan? Selagi kita tidak jelas meletakkan keutamaan, selagi itulah kita dicengkam masalah faham. Selagi itulah juga umat bertuah ini di takuk ketinggalan.

Fiqh Keutamaan: Monogami atau Poligami Lebih Utama?

Atas pertimbangan ilmu Fiqh Keutamaan ini, tulisan ini menjelaskan perbincangan para ulama berautoriti berkaitan monogami dan poligami. Manakah lebih utama?


Ia suatu manfaat ilmiah yang perlu kita tahu dan sebarkan kepada masyarakat. Ia suatu sudut pandang yang mungkin kita terlepas pandang.

Tulisan ini tidak bertujuan merendah-rendahkan siapapun yang berpoligami. Bahkan kita perlu berbaik sangka dengan pilihan seseorang. Lebih-lebih lagi apabila kita tidak tahu-menahu berkaitan latar belakang permasalahan keluarganya.

Kita mungkin terlalu fokus pada sudut pandang tentang hikmah poligami semata-mata hingga terlupa tentang hikmah berkahwin satu dan keutamaannya dalam Islam. Akibatnya, ada segelintir masyarakat Islam dan bukan Islam tersalah faham bahawa Islam yang mula-mula memperkenalkan dan menggalakkan poligami.

Lalu, berlakulah banyak penyalahgunaan dalam realiti sekeliling. Kemudian, ada pihak yang kecewa dengan realiti ini lantas merespon secara ekstrim untuk mengharamkan terus poligami. Hukum alam, satu keekstriman akan menarik keekstriman yang lain.

Menyinggahi Realiti

Lihatlah realiti. Tadahkan telinga. Banyak aduan tentang suami yang menganggap poligami satu kewajipan dan galakan agama hinggakan isteri yang enggan dihukumkan kafir, berdosa besar, nusyuz, derhaka, tidak taat dan sebagainya.

Kaum lelaki dan wanita perlu menjiwai keadilan Islam. Kita perlu celik hukum. Kita perlu amanah menerangkan skala pertengahan (wasatiyyah) dalam isu sensitif ini. Tidak ekstrim menggalakkan. Tidak pula ekstrim mengharamkan.


Biar masyarakat tahu dari sudut hukum syarak dan perundangan Islam, wanita ada hak tidak mahu dimadukan. Jika ramai wanita yang belum mengetahui hak ini bererti ilmu berkaitan isu ini belum tersebar secara menyeluruh. Perlu ada pihak yang membuat ‘check and balance’.

Wanita perlu tahu mereka boleh memulakan perceraian dengan jalan tebus talaq. Wanita juga bebas memilih jika mahu hidup bermadu. Mahkamah pula berhak menghalang sebarang risiko mudarat yang lebih besar. Inilah antara keindahan hukum-hukum Islam yang holistik memahami setiap sisi hidup manusia.

Kesimpulan

Perbincangan tentang fiqh keutamaan bukanlah sesuatu yang asing. Para sahabat sentiasa berlumba-lumba mengetahui amal yang paling utama sesuai dengan kondisi diri, tempat dan zamannya.

Semoga Allah memampukan kita mengikuti pilihan yang betul, menjauhkankan kita daripada pilihan yang salah. Tidak menghukum kita pada perkara yang kita terlupa dan kita tersalah. Mujurlah Dia bijaksana mengajarkan kita satu doa:

Maksudnya:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”


Yang Fakir dan Mengemiskan Keampunan Tuhan,
Fatimah Syarha Mohd Noordin.
Dr. Farhan Hadi Mohd Taib.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 129

Trending Articles