![]() |
ilustrasi (inet) |
“Ustazah, saya mahu jadi mawar berduri. Terpelihara dan suci. Perlukah saya menjauhi lelaki?” tanya seorang remaja belasan tahun yang sedang mekar ruh Islamnya.
Saya teringat kondisi saya ketika seusia dengannya. Saya tidak mempunyai kawan lelaki. Saya hanya bergaul dengan kawan-kawan perempuan. Sikap menjauhi lelaki membuatkan saya berasa lebih fokus dalam pelajaran dan tenang melalui suasana tarbiah di sekolah.
Saya kemudiannya difahamkan dengan lebih mendalam oleh orang-orang yang arif. Katanya, berurusan dalam kehidupan seharian dan bertemu dengan lelaki sudah merupakan sunnah kehidupan manusia dan menjadi karakter kehidupan sejak dahulu. Kita mesti realistik dengan kehidupan. Sejak zaman Nabi lagi, muslimah mempunyai peranan dalam kehidupan sosial.
Maka, apabila mempunyai urusan, terutamanya di IPT, saya tidak lagi menolak untuk bermuamalat dengan lelaki. Berusaha menjaga adab sopan. Namun, itu bukan alasan untuk asyik berbalas-balas sms dengan mana-mana lelaki. Jika urusannya munasabah, saya hormati dan memberikan kerjasama. Jika urusannya sekadar mahu bertanya saya makan apa, saya hilang kepercayaan.
Jika melihat tradisi pada zaman Rasulullah SAW, baginda memberi sedikit kelonggaran untuk berurusan dan bertemu antara lelaki dan perempuan pada usia remaja. Ianya berlaku dalam pengawasan yang ketat. Misalnya:
1. Daripada Abdullah bin Abbas, dia berkata, “Sesungguhnya Fadhal bin Abbas pernah mengikut Rasulullah SAW. Dengan tiba-tiba datang seorang wanita dari daerah Khats’am. Fadhal memandang wanita itu dan wanita itupun memandang Fadhal. Lantas Nabi SAW memalingkan muka Fadhal kearah lain. (HR Bukhari dan Muslim. Bukhari, Kitab: Haji. Bab: Kewajipan haji dan keutamaannya, jil.4, hlm. 121).
2. Dalam satu riwayat menurut at-Thabari dari Ali dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Aku melihat seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang sama-sama masih muda belia. Aku khuatir keduanya akan dimasuki syaitan.” (Kitab Fathul Bari, jilid 4, hlm. 439).
Membataskan pertemuan lelaki dengan wanita pada usia menginjak remaja bukan beerti melarangnya sama sekali. Tetapi mengurangkan peluang bertemu dan orang dewasa melakukan pengawasan.
Dalam ruang lingkup keluarga, ibubapa atau anggota keluarga perlu hadir bersama. Manakala di luar lingkungan keluarga, hadirkan seseorang yang dihormati dan disegani oleh muda-mudi tersebut. Remaja yang melalui tarbiah ini, tatkala melihat jantina berlawanan, lebih menjaga ada dan sopan-santun sekaligus mengurangkan ketegangan gejolak nafsu muda.
Pertemuan terbatas dengan suasana yang terjamin ini memberi pengaruh positif, terutamanya dalam menyiapkan dan melatih jiwa remaja. Mudah-mudahan, dia lebih mampu menahan diri dan melakukan pertemuan yang bersih dalam urusan pada waktu-waktu mendatang.
Dalam realiti hari ini, muslimah adalah teman kerja lelaki dalam memakmurkan bumi sesempurna mungkin. Bak kata Nabi, “Wanita adalah saudara kandung lelaki.” (Sahih al-Jami as-Shagir, no. 1979).
Oleh sebab itu, wanita haruslah ikut serta dengan serius dan terhormat dalam pelbagai bidang kehidupan. Ia tidak akan terlepas daripada kehadiran kaum lelaki. Maka anjuran-anjuran menjaga cara berpakaian dan adab sopan itu sebenarnya suatu pengiktirafan Islam tentang tuntutan hidup yang memerlukan berurusannya lelaki dan perempuan. Dengan adab dan batasan, ianya akan berjalan secara bermaruah. Insya-Allah.