Quantcast
Channel: Fatimah Syarha
Viewing all articles
Browse latest Browse all 129

Berhiaslah!

$
0
0

Al-Quran Mengiktiraf Anak Adam Berhias

Berhias adalah fitrah manusia. Terdapat bukti umum daripada Al-Quran tentang berhias iaitu perintah menutup aurat dan memakai pakaian yang bagus (khususnya pada waktu solat dan tawaf).

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap (memasuki) masjid (beribadah). Makan dan minumlah, jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Al-A’raf: 31)

Allah mengingkari pengharaman perhiasan.
“Katakanlah, ‘Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik? Katakanlah, ‘Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) di hari kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.” (Al-A’raf: 32)

Islam mengakui dan mengiktiraf kecintaan wanita kepada perhiasan. Ia jelas apabila adanya kebolehan menampakkan perhiasan lahir kepada orang lain (dan menampakkan perhiasan batin kepada mahram). Rujuk Surah an-Nur: ayat 31.

 Sunnah Mengajurkan Berhias.

Anjuran berhias di dalam Sunnah berbentuk umum, untuk lelaki dan wanita juga.
Dari Abdullah bin Mas’ud bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w., “Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya bagus dan sandalnya bagus.” Baginda menambah, “Sesungguhnya Allah itu Maha indah yang menyukai keindahan.” (HR Muslim)

Abdullah bin Sirjis berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Perlahan-lahan, (berhati-hati) sederhana, dan penampilan yang bagus itu adalah satu bahagian dari dua puluh empat bahagian kenabian.” (HR at-Thabrani)

Berhias Untuk Pasangan Hidup Sangat Digalakkan

Dari Abdullah bin Salam bahawa dari Nabi s.a.w.,
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah yang menyenangkanmu jika engkau memandangnya…” (HR at-Thabrani)

Bahkan dipandang pelik kepada wanita yang bersuami tetapi tidak memakai perhiasan lahir.

Abu Musa al-Asy’ari berkata, “Isteri Uthman bin Mazh’un menemui isteri-isteri Nabi s.a.w., maka mereka melihat dia dalam keadaan yang kusut, lalu mereka bertanya kepadanya, ‘Mengapa engkau? Di kalangan Quraisy ini tidak ada lelaki yang lebih kaya daripada suamimu.’ Dia menjawab, ‘Saya tidak mendapatkan sesuatu pun darinya. Kalau siang dia berpuasa, dan kalau malam dia solat sahaja.’ Kemudian Nabi s.a.w. masuk, lalu mereka menceritakan hal itu kepada baginda. Kemudian baginda menjumpai Uthman bin Mazh’un seraya berkata, ‘Wahai Uthman, apakah engkau tidak menjadikan aku sebagai teladan bagimu?’ Dia menjawab, ‘Mengapa begitu, ya Rasulullah, aku rela menebusmu dengan ayah dan ibuku.’ Baginda bersabda, “Engkau sentiasa solat sahaja pada malam hari dan berpuasa pada siang hari, padahal isterimu mempunyai hak terhadap dirimu (yang harus engkau penuhi). Oleh kerana itu, kerjakanlah solat dan tidurlah, berpuasalah dan berbukalah.’ Kemudian sesudah itu isterinya itu datang lagi kepada mereka pada lain kesempatan dengan mengenakan wangian seakan-akan pengantin baru, lalu mereka berkata, ‘Amboi’ Dia menyahut, ‘Saya telah mendapatkan apa yang diperoleh orang lain”. (HR at-Thabrani)

Contoh Perhiasan Wanita Generasi Terbaik

Berikut adalah contoh perhiasan kaum wanita muslimah pada zaman Nabi:
- Memakai anting-anting, kalung, cincin dan gelang.
- Berhias dengan celak, inai dan pakaian yang berwarna-warni.
- Bersolek ketika suami mereka pulang dari peperangan atau dari berjalan jauh
- Memakai wangian dan inai sebelum melakukan ihram haji
- Menghiasi wajahnya

Contoh Perhiasan Lelaki Pada Zaman Nabi

Berikut adalah perhiasan kaum muslimin pada zaman Nabi
- Hibarah (burdah atau pakaian bergaris dari Yaman)
- Menyisir rambut dan janggut serta meminyakkannya
- Wangian
- Menginai rambut
- Memakai cincin perak

“Ada sepuluh perkara yang termasuk dalam kebersihan, iaitu: merapikan kumis, merawat janggut, bersiwak (bersugi), menghirup air ke hidung dan mengeluarkannya semula, memotong kuku, membasuh pembalut lengan, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan, dan beristinjak dengan air…” Mushab (salah seorang perawi hadis ini) berkata, “Dan aku lupa yang kesepuluh, mungkin itu berkumur-kumur.” (HR Muslim)

Larangan dalam Berhias

“Allah melaknat wanita-wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu tubuhnya, wanita-wanita yang mencukur alisnya, dan wanita-wanita yang mengikir giginya untuk kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah Taala. Maka bagaimana aku tidak melaknat orang yang dilaknat oleh Nabi s.a.w.?” (HR Bukhari dan Muslim)


“Allah melaknat wanita yang menyambung rambut dengan rambut palsu dan yang meminta disambungkan rambutnya, dan wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu tubuhnya.” (HR Bukhari)

Sebahagian fuqaha’ mengecualikan sebahagian cara dan saranan kecantikan ini dari daerah larangan, apabila diredai oleh suami dan untuk menyenangkan hatinya, atau untuk mengubati penyakit jasmani yang menyebabkan gangguan fizikal mahupun psikik.

Imam Nawawi berkata, “Dikecualikan larangan mencukur apabila si wanita tumbuh janggut atau kumis, atau tumbuh rambut di antara bibir dan dagunya, maka tidak haram baginya untuk menghilangkannya, bahkan disunatkan.”

Sebahagian ulama’ Hanbali berkata, “Boleh menghilangkan bulu (rambut) di wajah,
bertata rias degan warna merah, berhias dengan warna-warni, dan menghiasi tangan (jari dan kuku), apabila diizinkan oleh suami.”

At-Thabari meriwayatkan dari jalan Abu Ishaq dari isterinya, bahawa dia pernah menemui Aisyah, sedang dia adalah seorang wanita muda yang menyukai kecantikan, lalu dia berkata, ‘Seorang wanita memotong alisnya untuk suaminya.’ Maka Aisyah menyahut, ‘Hilangkanlah sesuatu yang mengganggumu, semampumu.’ An-Nawawi berkata, ‘Boleh berhias dengan apa yang disebutkan kecuali memotong alis.’

Jom, jadi Muslim yang kemas dan berhias. Tidak selekeh. Di samping ia menarik jodoh, lebih utama, ia disukai Allah dan Rasul.

            

Viewing all articles
Browse latest Browse all 129