Apakah Fokus Kita Hari Ini?
Secepat satu petikan kamera, begitulah cepatnya masa menghantar kita ke sepuluh terakhir Ramadhan. Apakah fokus utama kita saat ini? Baju raya? Kuih? Balik kampung?
Apakah fokus fikiran kita saat ini? Apakah yang mempengaruhi fokus kita? Fokus ini ditentukan oleh pemahaman mengenai objektif kehidupan. Bahkan ia dipengaruhi oleh bagaimana kita mendefinisikan kejayaan dalam hidup.
Cuba bertanya lagi, apakah yang ada dalam pemikiran kita saat ini? Apa yang dikejar? Apa yang diletakkan sebagai keutamaan?
Senang sahaja untuk melihat jawapannya. Ingat balik apa yang kita bincangkan hari ini. Apa yang dibincangkan itulah fokus fikiran kita. Ia lahir daripada hati. Ia lahir daripada pemikiran.
Sudah tentu, setiap manusia mempunyai fokus yang berbeza. Cita-cita mereka berbeza. Cara mereka memahami objektif kehidupan juga berbeza. Yang pasti, semua manusia sedang mencari makna kejayaan dalam hidupnya. Makna kejayaan itu pula berbeza pada setiap individu.
Allah SWT menjelaskan kepada kita dalam ayat di bawah ini, secara umumnya apakah yang manusia asyik kejar dan letakkan ianya sebagai keutamaan?
Dijadikan terasa indah dalam pemandangan manusia cinta (fokus pemikiran) terhadap apa yang diinginkan berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan (kenderaan), haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. (Ali-Imran 3:14)
Semua kenikmatan itu tidak salah. Kita memerlukannya. Namun, dunia cumalah ibarat selipar. Kedudukannya cuma di kaki, bukan di hati. Ia untuk digunakan, bukan diperbesarkan hingga hilang matlamat jauh.
Adakah kita memerlukan selipar?
Ya!
Pentingkah selipar?
Ya!
Adakah kita perlu bercinta dengan selipar?
Tidak! Dan pelik sungguh bunyinya.
Adakah patut selipar menjadi fokus utama kita siang, malam, pagi petang?
Tidak!
Adakah patut selipar menjadi fokus utama dalam fikiran dan perbualan kita setiap hari?
Tidak!
Allah SWT menasihati kita dengan hakikat nilai dunia ini.
Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan serti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning, kemudian menjadi hancur sedangkan di akhirat azab yang dahsyat dan keampunan daripada Allah serta redha-Nya. Tidak lain kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Al-Hadid 57:20)
Adakah Kita Terpedaya dalam Fokus?
Cuba bertanya diri, apakah yang kita mahukan dalam hidup ini?
Sudah tentu kita mahukan kehidupan yang sihat, kaya, bahagia, gembira, selesa dan aman. Kenapa? Kerana kita menganggap semua itu makna kejayaan.
Apakah sebenarnya definisi ‘kejayaan’? Adakah kejayaan itu diukur pada seseorang yang memiliki sawah ladang yang subur? Kilang yang produktif? Kereta terkini? Duit yang banyak? Rumah mewah? Harta yang tidak habis-habis? Isteri yang cun lagi popular? Anak-anak yang sering berprestasi? Atau apa?
Ramai yang yakin bahawa memiliki semua ini adalah makna kejayaan. Lalu segala tenaga, fokus, pemikiran dan tindak tanduk dihala ke arah mencapainya. Mereka sangat percaya, kekayaan dan harta adalah sumber keselamatan, kuasa dan kemuliaan yang mengangkat imej mereka sebagai manusia yang dihormati dalam masyarakat.
Begitulah realiti hidup. Siapa berduit pasti dihormati. Siapa berkuasa pasti disanjung. Walaupun begitu, tidaklah bermakna mereka dapat hidup dengan bahagia terutama apabila mereka mendapatkan harta, kuasa atau kemuliaan itu dengan melanggar etika kemanusiaan. Firman Allah :
Dan sesiapa berpaling daripada peringatan-Ku (hidup tidak selaras dengan prinsip Allah SWT) maka sesungguhnya dia akan menjalani kehidupan yang sempit (risau, stress, takut walaupun kaya atau berkuasa) (Thaha 20:124).
Di mana masa kita banyak habis sehari-hari? Di tempat yang kita letakkan sebagai fokus dan prioriti. Di mana? Biasanya di tempat kerja. Ia menuntut sebahagian besar masa kita. Kekhuatiran pada faktor ekonomi sering merampas tidur lena kita, dan mencuri sebahagian besar masa kita. Ia sering menjadi aktiviti utama kita. Menjadi fokus yang tidak akan ditinggalkan.
Apatah lagi, banyak perkara dalam kehidupan memerlukan duit dan harta. Bahkan, kita mempunyai 1001 sebab mulia untuk terus bersemangat mencari harta. Misalnya, menyara nafkah keluarga yang menjadi fardhu ain ke atas ketua keluarga, bersedekah, berinfaq, membayar zakat dan sebagainya.
Semua itu bagus. Sangat bagus. Islam jugalah yang mengajar kita mencari harta. Namun, jika harta sudah menempati tempat pertama dalam carta fokus kita, kita perlu segera bermuhasabah. Jangan sampai kerana harta, kita tiada perancangan tersusun untuk merebut ganjaran pahala di malam-malam terakhir ini. Jangan sampai kerana mencari harta, solat kita terabai. Jangan sampai kerana fokus harta, tiada masa membaca al-Quran. Bukankah kalamullah lebih berhak menjuarai carta keutamaan dalam fokus kita?
Kita mungkin menganggap diri kita sibuk hingga tiada masa beribadah. Cuba kita bertanya diri, “Apa makna sibuk?”
‘Sibuk’ bermaksud sesuatu perkara itu bukan merupakan keutamaan dalam kehidupan.
Ramai orang menganggap mencari duit sebagai keutamaan paling utama. Manakala mempelajari al-Quran diletakkan sebagai kerja sampingan walaupun ia dirasakan penting juga. Mengapa? Dalam sedar mahupun tidak, kita mungkin terpedaya dengan dunia hingga menganggap harta adalah sumber keselamatan. Kita seakan menganggap banyak harta, maka hidup kita akan tenang.
Adakah itu benar? Berapa ramai orang yang banyak harta hidup dalam kebimbangan dan ketakutan. Ramai orang kaya yang tidak mampu tidur lena kerana bimbang saham jatuh, harta dicuri, anak dilarikan dan dijadikan tebusan, dikejar hutang dan sebagainya. Hati berserabut dengan perasaan tidak boleh melihat ada orang lebih kaya berbanding dirinya. Ada juga orang miskin yang terlalu berhajat pada harta orang lain sehinggakan keseluruhan fikirannya berpusat pada harta, harta, harta.
Miskin atau kaya, andai harta terlalu menduduki carta fokus paling utama, stres pasti membelit keseluruhan hari-harinya. Apakah sebabnya? Sebabnya, dia berpaut pada dahan yang lemah dan sementara serta meninggalkan kekuatan yang kuat dan kekal. Firman Allah SWT:
Apa yang ada di sisi kamu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal …. . (Al-Nahl 16: 96)
Semoga kita terkesan dengan teguran Allah SWT :
Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (yakni harta, duit, manusia dan lain-lain) adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah (tempat bergantung keselamatan) yang paling lemah adalah rumah labah-labah sekiranya mereka mengetahui. (Surah al-Ankabut 29:41)
Semoga kita sentiasa menjadikan ketaatan kepada Allah SWT sebagai fokus dan keutamaan kita. Lalu, menjadikan kerja-kerja mencari kesenangan hidup semata-mata dalam rangka untuk lebih mensyukuri-Nya, akrab dengan-Nya dan tidak melupakan kewajipan utama kita sebagai hamba-Nya.
Firman Allah :
Dan berhala-berhala yang yang kamu seru (menghabiskan masa dan tenaga mencarinya seperti harta dengan melalaikan tanggungjawab kepada Allah), tidaklah sanggup menolongmu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri. (Al-A’raf 7:197)
Justeru, carilah dunia banyak-banyak. Tapi, jangan sampai lupa akhirat. Pastikan akhirat menjadi fokus dan keutamaan dalam kerja-kerja kita setiap hari.