Dunia Tahfiz Makin Diminati
Dewasa ini, minat masyarakat kepada al-Quran semakin bersemarak. Dalam semua peringkat usia, manusia berlumba-lumba meningkatkan hubungan dengan al-Quran ke peringkat lebih baik. Daripada mengenal alif, ba, ta, memperelokkan bacaan,, baca bertajwid, bertarannum dan sekarang ini, dunia tahfiz semakin diminati. Perkembangan ini sangat positif, alhamdulillah.
Tidak hairanlah apabila kerajaan menyasarkan 125,000 huffaz professional menjelang 2050. Sasaran ini insyaAllah boleh dicapai kerana pada ketika ini negara sudah mempunyai hampir 80,000 huffaz yang telah dan sedang menekuni bidang hafazan al-Quran di pelbagai institusi di pelbagai peringkat.
Adakah kita dan keluargaA kita termasuk dalam jumlah huffaz ini? Muhasabah diri. Sampai bila kita perlu ketinggalan merebut tawaran menjadi ‘keluarga Allah’ di dunia. Bahkan ditawarkan kedudukan tinggi di syurga. Kita perlu buat sesuatu. Biar kita mati dalam usaha, bukan dalam putus asa.
Ada ibubapa yang bersemangat menghafaz dan bersemangat mahukan anaknya menghafaz al-Quran. Namun, putus asa selalu menyerang apabila semangat dilanda turun naik. Fitrah insan. Apa seharusnya kita lakukan untuk memastikan energi kita untuk menghafaz berterusan?
Apa yang Menguatkan Semangat Menghafaz?
Dalam urusan ini terdapat perkara yang sangat penting. Ia mempunyai pengaruh besar demi kelangsungan hafalan Al-Quran secara sempurna. Apakah perkara itu? Perkara itu ialah melazimi halaqah tahfiz. Ia penting untuk mengatasi nafsu yang mendorong kepada keburukan dan syaitan. Sepenting telefon bimbit perlu bertemu tempat casnya.
Dalam sebuah hadis disebutkan, “Sesungguhnya serigala hanya memangsa kambing yang terpisah (dari kelompoknya).” (Riwayat Abu Dawud)
Ya, tanpa sinergi sekumpulan manusia, kita akan mudah dibaham kelalaian, kealpaan dan kemalasan diri.
Allah berfirman:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” (Surah Al-Maidah: 2)
Kata Dr. Majdi Obaid, “Saya katakan dengan taufik dari Allah, jika kita tidak mempunyai teman untuk menghafal Al-Quran bersama kita atau sebuah halaqah tahfiz yang kita dapat memperdagangkan hafalan di dalamnya, maka peratus keberhasilan dalam menghafal Al-Quran adalah sangat kecil.”
Sukar untuk menghafal Al-Quran dengan sempurna secara sendirian. Baru nak menghafaz, penyakit malas datang menyerang. Godaan telefon di tangan bagaikan tersenyum menggoda minta diskrol. Kemudian, kita meninggalkan kegiatan menghafal. Kita mula menyibukkan diri dengan urusan dunia yang tiada henti. Oleh sebab itulah, melazimi halaqah tahfiz sangat penting.
Kita berkumpul meskipun hanya seminggu sekali, impaknya besar. Dalamnya kita berlumba-lumba menghafal, saling memotivasikan diri antara satu sama lain. Hati baru sahaja mahu beralasan malas, tiba-tiba timbul rasa segan sendiri melihat rakan yang rajin. Dalam halaqah tahfiz, letakkan sasaran hafalan. Sempurnakan murajaah. Sebaik-baiknya jika kita berhadapan dengan seorang syeikh yang pakar.
Kata Dr. Majdi Obaid, “Saya boleh dan berjaya menghafal Al-Quran seluruhnya –dengan taufik Allah – kerana halaqah tahfiz. Saya diajak masuk ke halaqah tahfiz ketika usia saya 16 tahun. Saya melihat di sana para pemuda dan orang-orang tua menghafal Al-Quran dengan penuh semangat dan kesungguhan.
Padahal sebelumnya tidak pernah saya terfikir untuk menghafal Al-Quran seluruhnya. Pada awal-awal usia, saya sudah menghafal 4 juz dan saya bercita-cita untuk menambah hafalan ketika dewasa. Ketika itu saya belum terfikir akan menghafal Al-Quran seluruhnya.
Namun setelah saya bergabung dan bersama dalam halaqah tahfiz saya dapat melihat semangat menghafal yang tinggi di dalamnya. Alhamdullilah, sehingga ke hari ini saya berterima kasih dan terhutang budi kepada halaqah tersebut, dan tentunya sesuatu kemuliaan dan taufiq dari Allah berupa menghafal Al-Quran Al-Karim.”
Lokasi Untuk Menghafal
Kita boleh sahaja menghafaz di mana-mana yang mudah bagi kita. Namun, sebaiknya masing-masing harus memiliki tempat khusus untuk menghafal sama ada di rumah atau di masjid. Dengan banyak menghafal di tempat khusus ini, Insya Allah akan membuat fikiran bawah sedar lebih siap. Sehingga dapat memasuki tahap Alpha dengan lebih mudah.
Logiknya, apabila kita berada di sesuatu tempat yang baru, kebiasaannya kita buat apa? Kita mengambil sedikit masa untuk melihat-lihat sekitar tempat itu. Inilah yang akan melambatkan proses menghafaz. Jika tempatnya sama, senang untuk kita terus fokus pada misi utama.
Pencahayaan tempat juga memiliki peranan penting dalam kegiatan menghafal. Maka tidak ada pencahayaan yang lebih baik daripada pencahayaan alami. Pencahayaan buatan (lampu dan sebagainya) dapat meningkatkan hormon kortisol dalam darah yang dapat menghambat sistem kekebalan tubuh sehingga menyebabkan ketegangan.
Oleh sebab itu, lebih baik jika menghafal pada pagi hari di tempat yang mudah terkena cahaya matahari.
Tatkala Sukar Melihat Mushaf
Adakah kita ingin menghafal Al-Quran seluruhnya tanpa susah payah? Adakah kita ingin menghafal Al-Quran seluruhnya tanpa memerlukan waktu khusus yang lama untuk menghafalanya? Adakah kita ingin memurajaah Al-Quran Al-Karim dengan mudah? Adakah kita ingin mengutamakan hafalan ayat-ayat Al-Quran sehingga tidak ragu-ragu dan hilang?
Jika ya, maka baca betul-betul tip ini. Tip ini diberikan oleh Dr. Majdi Obaid, seorang huffaz professional yang terkenal serata dunia.
Kata beliau,
“Dengarkanlah bacaan Al-Quran. Dengarkanlah ayat-ayat peringatan dari Allah yang Maha Bijaksana. Perbanyakkanlah mendengarkannya, sepanjang siang dan malam. Banyak buku-buku tentang menghafal Al-Quran Al-Karim masa kini yang menekankan betapa pentingnya mendengarkan hafalan harian atau penekanan anda beberapa kali dari kaset ataupun CD dan kini merupakan perkara yang sangat penting.
Saya sudah mulai menghafalkan Al-Quran pada saat berusia sekitar 16 tahun, ketika masih berada di bangku sekolah Thanawiyah. Ketika itu saya menghafal 6 halaman setiap minggu dan memperdengarkan halaman tersebut di halaqah tahfiz setiap akhir minggu. Waktu khusus yang saya gunakan untuk menghafal adalah pada pagi hari ketika pemandu menghantar saya ke sekolah. Lalu saya mengulangi hafalan saya di perjalanan pulang ke rumah. Dan Alhamdullilah saya telah menyelesaikan hafalan hampir 13 juz dengan cara seperti ini ketika saya sudah lulus dari sekolah tersebut.
Kemudian saya baru dihadapkan pada hambatan yang nyata ketika saya melanjutkan pelajaran. Ketika itu saya mula memandu kenderaan sendiri sehingga saya kehilangan waktu khusus untuk menghafal, saya sangat kacau ketika itu. Setiap hari saya menghafal selepas zohor dan isya’ sehingga jumlah hafalan saya semakin berkurang menjadi dua halaman atau kurang setiap minggu.
Saya ingat, ketika itu saya merasa kesulitan dalam menghafal surah An-Nahl. Akan tetapi, ketika saya mulai menghafal surah Isra’ ternyata saya boleh menghafalnya tanpa harus saya menghafalnya melalui mushaf Al-Quran. Saya benar-benar hairan.
Ternyata di sebalik kejadian tersebut adalah, ketika itu saya suka mendengarkan bacaan Syeikh Ahmad Al-A’jami. Saya mengumpulkan seluruh koleksi rakaman beliau dan saya selalu mendengarkannya. Ketika saya berkeinginan menghafal surah Al-Isra saya rasakan bahawa saya menghafalkannya dari dalam hati, dibantu dengan suara Syeikh Ahmad Al-A’jami. Dari kejadian tersebut saya dapat mengetahui cara seperti ini iaitu menghafal Al-Quran seluruhnya dengan cara mendengarkannya.”
Kesimpulannya, jika kita mahu mengikuti jejak langkah seorang hafiz professional seperti ini, kita mesti lakukan sesuatu. Cari halaqah tahfiz. Sediakan ruang istimewa untuk kita duduk bersama al-Quran. Tukar apa yang sering kita dengar kepada al-Quran. InsyaAllah, semoga kita dicatat oleh para malaikat sebagai insan-insan yang mengorak langkah menjadi keluarga Allah di dunia dan layak dinaikkan kedudukan di akhirat sana. Mudah-mudahan. InsyaAllah.