![]() |
Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google Image. |
Awak, awak tahu tak tentang satu perkara sunat namun memberi kesan kepada naiknya darjat? Saya terhiris sesal dengan berita ini,
“Hendaklah engkau gunakan sebahagian waktu malam itu untuk solat tahajud, sebagai solat sunat untuk dirimu, mudah-mudahan Tuhanmu akan membangkitkan engkau dengan kedudukan yang baik.”[Surah al-Isra’, ayat 79]
Saya sesal mengenangkan betapa banyaknya malam yang berlalu tanpa saya merebut peluang menaikkan darjat di sisiNya. Patutlah jiwa selalu tak tenang. Cepat gelisah. Cepat marah. Allahu!
Awak, awak tahu tak saat yang paling tepat untuk menenangkan jiwa? Bagi saya, semua saat itu sama sahaja. Siang atau malam, sama saja. Jiwa sering berbolak balik. Sekejap tenang, sekejap gelisah.
Tapi sekarang, saya mempunyai cara pandang berbeza. Semalam, saya tersedar dalam pukul tiga pagi. Terdetik dalam hati saya untuk bangun bersolat. Saya rasa terpanggil dengan sangat kuat. Ini nikmat.
Lantas saya bangun, bimbang takut terlena kembali. Saya teringat sebelum saya tidur, saya ada berniat untuk bangun. Patutlah keinginan tu jadi kuat. Besar sungguh peranan niat kan? ‘Mind setting’ menjadi dipersiap.
Pada malam-malam sebelum ini, saya bangun sekadar rutin, sebab ada masa, dan sebab terjaga. Kali ini saya bangun dengan ‘berfikir.’ Saya dapat rasakan sesuatu yang berbeza. Kehebatan bermunajat pada waktu begini sangat menyedarkan hati saya yang lalai, hingga selama ini merasakan siang dan malam itu sama. Tiada makna. Astargfirullah!
Rupa-rupanya tidak! Jauh bezanya. Hati saya pada saat sepertiga malam sungguh damai, tenang, dan bahagia dengan ungkapan yang tak mampu diwakili bahasa. Suatu ‘rasa’ yang Allah sahaja boleh kurniakan, bukan manusia. Saya tersedu-sedan dalam tangisan. Nikmat tangisan saat itu bukan kepalang. Saya berasa banyaknya masa yang saya lalaikan. Banyaknya kesempatan yang saya rugikan. Saya hina. Saya miskin. Saya tiada apa-apa. Saya banyak dosa. Saya letih hidup sepanjang siang yang penuh angan-angan dan kelekaan.
Saya rindukan malam, malam yang seperti ini. Malam yang akrab dengan kekasih. Malam yang syahdu dengan luahan demi luahan. Malam bersama Tuhan.
Awak, saya berdoa moga luahan ini bukan ‘riyak’. Awakpun belum kenal wajah saya kan? Saya cuma berkongsi agar kita sama-sama dapat merasai nikmat ini lagi, lagi dan lagi.
Saat ini, kita akan lebih terkesan menghayati istighfar dan taubat. Antara lafaz-lafaz istighfar yang sungguh merasuk jiwa ialah:
Sayyidul Istighfar;
“Ya Allah Engkaulah Tuhanku, tidak ada yang patut disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang telah mencitptakanku, dan aku adalah hambaMu dan diatas ikatan janjiMu yang aku jalankan semampuku, aku berlindung kepadaMu dari segala perbuatan jelek yang telah aku perbuat, aku mengakuiMu atas nikmatMu terhadap diriku dan aku mengakui dosaku kepadaMu, maka Ampunilah aku, Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”
Nikmat rupa-rupanya bermunajat di sepertiga malam. Patutlah tatkala Rasulullah ditanya apakah solat lain yang afdhal selain daripada solat fardhu? Baginda menjawab,
“Bersolat pada waktu tengah malam.”[Riwayat Muslim]
-------------------------------
[Petikan buku 'ENDSVILLE']