Quantcast
Channel: Fatimah Syarha
Viewing all articles
Browse latest Browse all 129

Nikmat Yang Mana Kau Dustakan?

$
0
0
(Gambar hanyalah sekadar hiasan. Sumber: Google Image)

Ada kisah menarik untuk kita renung. Seorang lelaki dengan putus asa mengadu nasibnya kepada seorang pakar motivasi.

“Tuan, perniagaan saya tidak menjadi. Rugi banyak. Kereta kena tarik. Kawan-kawan semua lari. Hutang keliling pinggang. Sekarang saya sudah tiada apa-apa lagi.”

“Benarkah awak tidak ada apa-apa lagi?” Tanya Pakar Motivasi.

“Benar. Secuit yang berharga pun tidak ada. Semua buruk sahaja,” tegasnya.

“Baiklah. Ambil kertas ini. Kemudian buat satu garisan di tengah,” arah Pakar Motivasi.

Lelaki itu menurut sahaja sambil menanti arahan seterusnya.

“Ruangan di sebelah kiri adalah benda buruk yang menimpa kamu. Sebelah kanan, adalah benda baik. Mulakan menulis sekarang.”

Lelaki itu menulis di ruangan sebelah kiri. Hampir penuh. Sarat dengan pelbagai masalah yang melanda hidupnya. Namun ruangan di sebelah kanan langsung tidak diusik.

Pakar Motivasi itu mengangkat sebelah kening tatkala melihat apa yang ditulisnya.

“Sekarang, mari bercerita tentang isterimu yang telah mati,” ujar tokoh motivasi.

“Eh… tuan cakap elok-elok. Isteri saya masih hidup. Belum mati lagi. Tidak ada pun catatan tentang kematian isteri saya di sini,” jawabnya pantas.

“Okey baik. Jika begitu, tuliskan ia di sebelah kanan. Ia satu bentuk nikmat. Ramai orang yang menghadapi ujian berat dengan kematian pasangannya. Ia adalah satu ujian yang lebih berat daripada kereta ditarik.”

Lelaki itu mula tersentak.

“Sekarang, mari bercerita tentang anak awak yang ditangkap mabuk dan masuk penjara,” ujar tokoh motivasi itu.

“Eh… sejak bila pula anak saya masuk penjara? Anak saya sedang elok belajar di kolej,” ujar lelaki itu.

“Ya? Kenapa tidak ditulis dalam ruangan sebelah kanan. Ramai orang yang diuji dengan cara itu, tetapi tuan tidak,” kata Pakar Motivasi.

Lelaki itu mengusap janggut sejemputnya.

“Kenapa awak tidak tengok pada nikmat yang banyak semua ini? Kenapa awak cuma tengok pada kegagalan yang kecil sahaja?” Soal Pakar.

“Err, ya tak ya juga.” Lelaki itu mulai sedar.

Kemudian tokoh motivasi itu berjaya mencungkil satu persatu anugerah dan nikmat yang ada pada lelaki itu. Ia sebenarnya lebih banyak daripada kesusahan yang sedang menimpanya.

Allah sendiri membongkar ubat ini dalam al-Quran. Dengan berzikir, hati kan tenang. Bila agaknya hati kita mahu yakin? Belum sampaikah masanya untuk yakin? Aduhai hati!

Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat daripada pelbagai kerisauan, kebimbangan, kekesalan dan kegoncangan. Zikir merupakan jalan pintas paling mudah untuk mencapai kemenangan dan kebahagiaan yang sebenar.

Untuk melihat faedah dan manfaat zikir, cuba perhatikan semula beberapa pesan wahyu Allah, kemudian teruslah beramal dengannya pada setiap hari. Nescaya kita akan mendapat kedamaian hati dan ketenangan batin.

Dengan berzikir kepada Allah , gumpalan ketakutan, kekacauan, kecemasan dan kesedihan akan lenyap. Lebih dari itu, dengan berzikir kepada-Nya, tompokan beban hidup dan masalah hidup akan hilang. Tidak hairanlah apabila orang-orang yang selalu mengingati Allah sentiasa bahagia dan tenteram hidupnya.

Pesan Dr. Aidh Abdullah al-Qarni dalam bukunya La Tahzan, 

“Wahai orang yang mengeluh kerana sukar tidur, yang menangis kerana sakit, yang bersedih hati kerana satu tragedi dan yang berduka kerana suatu musibah, sebutlah nama Allah yang kudus.”
Semakin sering kita mengingati Allah, fikiran kita semakin terbuka, hati kita semakin tenteram, jiwa kita semakin bahagia dan nurani kita semakin sentosa. Hal ini berlaku kerana ketika mengingati Allah terkandung nilai-nilai tawakal kepada-Nya, keyakinan penuh kepada-Nya, kebergantungan diri yang padu kepada-Nya, berserah kepada-Nya, berbaik sangka kepada-Nya, dan pengharapan kebahagiaan daripada-Nya.

Dia sentiasa dekat ketika hamba berdoa kepada-Nya, sentiasa mendengar ketika diminta dan sentiasa mengabulkan jika dimohon.

Kata Dr. Aidh Abdullah al-Qarni lagi,

“Rendahkanlah dan tundukkan diri anda di hadapan-Nya, lalu sebutlah secara berulang-ulang nama-Nya yang indah dan penuh berkat itu dengan lidah anda sebagai penjelmaan dari ketauhidan, pujian, doa, permohonan dan permintaan keampunan anda kepada-Nya. Dengan begitu, nescaya berkat kekuatan dan bantuan daripada-Nya, anda akan mendapat kebahagiaan, ketenteraman, ketenangan, cahaya penerang dan kegembiraan.”


[Petikan buku 'DEFIB YOUR HEART - 15 TEKNIK AGAR KUAT KETIKA DIUJI SAKIT FIZIKAL DAN PSIKOLOGI']

-------------------------




Viewing all articles
Browse latest Browse all 129