LUPA ALLAH, HIDUP SUSAH.
MULAKAN SEKARANG!
Apa saja yang kita buat pagi tadi? Belum sempat zikir selepas solat subuh, jam sudah desak kita pergi kerja. Dalam kereta, sibuk memikirkan masalah. Lupa mengingati Yang Maha Menyelesai masalah.
Belum sempat sedekah pagi, matahari sudah meninggi. Rancangnya nak solat dhuha, tapi tiba-tiba azan zuhur sudah terdengar.Meletakkan komitmen pada diri mesti bangun tahajud. Mesti solat witir. Tapi komitmen tu tak menjadi sejak tiga tahun lalu.
Mahu menyumbang ke Palestin, Syria, mahu menaja anak yatim di sana, tapi ‘mahu’ saja. ‘Mahu’ itu. ‘Mahu’ ini. Perlaksanaannya? Asyik terlupa. Terlupa sejak bertahun lamanya.
Usah tertipu dengan masa. Kita mungkin mengharapkan dapat membaca zikir sejak fajar. Tapi harapan itu sejak bertahun-tahun lalu masih belum terlaksana. Setiap kali habis solat subuh, kita terkocoh-kocoh mengejar urusan dunia. Lupa zikir. Lupa al-Quran.
Kita ‘teringin’ mahu habiskan zikir al-ma’thurat(zikir-zikir terpilih daripada al-Quran dan al-Sunnah) setiap pagi dan petang. Namun zikir al-ma’thurat pun sudah kita lupa sejak tujuh tahun lepas kerana ‘kurangnya’ kita menuturkannya di hati atau di lisan. Yang kita lebih hafal, lagu Hindustan?
Habis, kita menunggu bila untuk kembali melazimi zikir?
Tak lama lagi, tanpa kita sedar kita mungkin dipanggil Mak Lang, Pak Ngah atau Tok Ki, Tok Wan menunjukkan betapa tuanya kita. Saat itu, kita mungkin terbeban dengan penyakit atau penyesalan dengan banyaknya kesempatan lepas yang kita persiakan.
Sudah banyak masa kita terbuang begitu sahaja tanpa zikir. Secepat satu ‘flash’ kamera sahaja. 30 tahun, 40 tahun bahkan hingga 60 tahun pun kita melalui rutin yang sama. Kita biarkan hari, minggu, bulan dan tahun kita berlalu begitu sahaja. Jika begini, beratus ribu tahunpun tiada ertinya untuk kita. Sampai bila kita terus begini, sia-sia dengan masa? Saat ajal hampir tiba, menangis merenung amal tak seberapa.
Apa lagi yang menghalang kita daripada berzikir hari ini? Saat ini! Bersegeralah. Gunakan waktu yang masih ada supaya dunia ini menjadi terminal pengumpulan pahala dan kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi.
MANFAAT BERZIKIR
Ingatilah Allah! Allah akan mengingati kita lebih banyak daripada ingatan kita terhadap-Nya. Dia Maha Mensyukuri. Dia Maha Membalas.
Orang-orang yang berzikir akan diganjarkan pahala yang besar. Allah Azza Wa Jalla berfirman,
وَالذَّاكِرِينَاللَّهَكَثِيرًاوَالذَّاكِرَاتِأَعَدَّاللَّهُلَهُمْمَغْفِرَةًوَأَجْرًاعَظِيمًا
Maksudnya: “...dan lelaki mahupun perempuan yang banyak mengingati Allah, Allah akan menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”
(Surah Al-Ahzab: 35)
Orang-orang yang berzikir juga akan diingati Allah selama dia berzikir. Allah telah berfirman,
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ
Maksudnya: “Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya aku (ingat) pula kepadamu.”
(Surah Al-Baqarah: 152).
Terima sahaja apa yang berlaku. Semua dengan izin-Nya. ‘Menerima’ itu rahsia untuk bahagia.
Bila kita ‘tidak menerima’ sesuatu peristiwa yang tidak diingini, kita akan menderita penyakit ‘marah’. Bila kita ‘menerima’, ia menjadi kesembuhan ‘toleransi.’
Bila kita ‘tidak menerima’ sesuatu yang tidak dijangka, ia akan menjadi ‘ketakutan.’ Bila kita ‘menerima’, ia akan menjadi ‘cabaran.’
Bila kita ‘tidak menerima’ perlakukan buruk seseorang terhadap kita, ia menjadi ‘kebencian.’ Bila kita ‘menerima’, ia menjadi ‘kemaafan.’
Bila kita ‘tidak menerima’ kejayaan seseorang, ia akan menjadi ‘hasad dengki.’ Bila kita ‘menerima’, ia menjadi ‘inspirasi.’
‘Penerimaan’ adalah kunci mengurus kehidupan dengan baik.
DOKTOR SAKIT JIWA TERSENYUM REHAT
Jika seorang pesakit datang berjumpa dengan doktor sakit jiwa untuk berubat, doktor yang beriman pasti akan menasihatkannya untuk banyak berzikir. Allah telah berfirman,
الَّذِينَ آَمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”
(Surah Ar-Ra’d: 28)
Ini kerana jika kita jauh dari ibadah zikir, maka kita akan menderita jauhnya dari Allah. Apatah lagi, dewasa ini, terlalu banyak masalah yang kita hadapi mulai dari hati dan jiwa yang tidak pernah tenang, keluarga yang tidak harmoni, kesulitan ekonomi hinggalah timbul rasa takut kepada syaitan dan jin.
Ubat yang paling mujarab adalah zikrullah. Jika kita mengimani mujarabnya ubat ini, pasti setiap doktor sakit jiwa akan tersenyum rehat.
Jangan tunding orang lain! Kita juga adalah doktor sakit jiwa untuk diri kita sendiri.
JIKA TINGGALKAN ZIKIR…
Pernahkah kita alami?
Rumah semakin besar, tapi hati semakin sempit.
Jalan semakin jauh, tapi masjid semakin sepi.
Rakan maya beribu juta, tapi jiran sendiri tak pernah dikenali.
Anak semakin ramai, tapi nakalnya semakin menjadi-jadi.
Kekayaan semakin melimpah tapi kerungsingan bertambah-tambah.
Allah telah memberi peringatan di dalam al-Quran supaya tidak meninggalkan ibadah zikir. Jika tidak, kita akan hidup susah. Bahkan menjadi golongan yang rugi di hari kiamat. Allah telah berfirman,
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰقَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنْتُ بَصِيرًاقَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَىٰ
Maksudnya: “Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia, ‘Ya Rabbku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya seorang yang melihat?’ Allah berfirman, ‘Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu pula pada hari ini pun kamu dilupakan’.”
(Surah Taha: 124-126)
Firmannya lagi,
وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (yaitu Al-Qur'an), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.”
(Surah Az-Zukhruf: 36)
Allah juga berfirman,
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
(Surah Al-Munafiqun : 9)