Pesan Orang Tua
“Menyusulah dengan kedua-dua belah. Bagi bayi kenyang dengan yang sebelah kanan dulu. Yang sebelah kiri tu, boleh perah dan simpan,” pesan seorang tukang urut berusia 50-an kepada ibu muda baru bersalin.
“Nak menyusu sambil perahpun boleh, kan?” tanya ibu muda sekadar berbasa-basi.
“Ya. Orang zaman sekarang senang. Informasi semua senang didapati melalui kursus laktasi di hospital, majalah, laman berautoriti dan sebagainya,” kata tukang urut.
“Tak mengapa, seronok dengar mak cik memberi pesan. Pesanlah lagi,” pinta si ibu muda,
“Nanti, bila bayi nak menyusu lagi, bagi yang sebelah kiri pula. Biar bayi hisap sampai kenyang. Yang sebelah kanan tu boleh perah dan simpan. Macam nasi dengan air. Sudah makan nasi, mesti cari air. Gunakan kedua-duanya. Jangan guna sebelah sahaja. Rugi walaupun khasiatnya sama sahaja,” pesannya lagi.
Ada 1001 pesan dan kiasan orang tua-tua untuk kita. Andai kita memandang positif, kita akan menemui pelbagai pelajaran berharga daripadanya. Andai kita memandang lekeh dan merendah-rendahkan, kita akan mudah menghina. Kita adalah bagaimana cara kita memandang.
Sikap Nabi Terhadap Slogan Lama
Bagaimana Nabi SAW menyikapi slogan jahiliah yang ada pada zaman baginda? Terus menolak mentah-mentah? Tidak! Bahkan, salah satu kreativiti cara dakwah Nabi ialah menggunakan istilah orang dulu dengan maksud berbeza. Bukan cepat menghukum sesuatu istilah itu sebagai 'totally wrong.' Beginilah, Nabi sungguh indah akhlaknya menjaga perpaduan.
“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.” Ini salah satu slogan jahiliah yang menggalakkan permusuhan berdasarkan perkauman. Di dalam kitab Fathu al-Baari, al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan bahawa orang pertama yang menyebut ungkapan ini ialah Jundub bin al-Anbar bin Amru. Lalu, menjadi satu prinsip dalam masyarakat jahiliah. Bagi mereka, tidak kiralah seseorang itu jahat atau ditindas, asalkan dia kaum kita, kita mesti tolong.
Imam Bukhari (no 2263) dan Muslim (no 4681) meriwayatkan bahawa pada suatu hari, Rasulullah SAW menyebut ungkapan yang sama. Para sahabat kehairanan, lalu bertanya “Memang kita perlu bantu saudara kita yang dizalimi, tapi bagaimana pula kita membantu mereka apabila mereka melakukan kezaliman ?”
Maka jawab Rasulullah SAW, “Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim.” Baginda telah menggunakan perkataan yang sama tetapi memberi satu penafsiran yang berbeza.
Bukankah menarik dan berhikmah metod baginda? Bagaimana kita boleh mengaplikasikannya dalam dunia serba mencabar hari ini? Inilah sandaran yang ana pegang ketika membuat analogi nasi dan air, untuk menggalakkan ibu ibu menggunakan kedua dua belah kurniaNya. Nutrisinya sama sahaja.
Namun, tidak semudah itu berhadapan dengan segelintir pihak yang kurang akhlak ‘tabayyun’. Perkataan kita boleh diputar belit tanpa melihat konteks dan apa yang kita terangkan. Tidak mengapa. Nabi SAW lebih dahsyat menerima cerca dan nista. Semua itu sedikitpun tidak membuatkan baginda makin hina, bahkan di sisi Allah, makin mulia.
Tabayyun
Apakah itu? Tabayyun adalah amalan meneliti dan menyelidiki sesuatu berita, tidak tergesa-gesa dalam membuat konklusi sebelum dipastikan kesahihan berita tersebut.
Imam al-Syaukani berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti. Dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sesuatu peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Fathul Qadir, 5:65).
Perlukah ‘tabayyun’? Allah memerintahkan kepada kepada setiap yang mengaku beriman agar sentiasa menyelidiki sesuatu berita yang datang agar tidak terjerumus ke dalam kancah perbuatan atau tindakan yang menimbulkan dosa sehingga menatijahkan penyesalan akibat keputusannya yang tidak adil atau merugikan pihak lain.
Prinsip al-Quran, dahulukan bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkhabaran. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat: 6.
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq (kerap melakukan dosa) membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
Dunia Memang Untuk Menguji
Semua ujian yang kita hadapi cumalah secuit daripada derita ujian Nabi SAW.Kembalilah kepada hakikat hidup, hidup memang untuk diuji. Tersenyum gagahlah pada apa jua ujian Ilahi. Kita manusia biasa yang tidak ma’sum. Berpotensi untuk betul atau salah bila-bila masa sahaja. Tetap positif dan maafkanlah ragam manusia lain yang juga tidak sempurna. Jangan lupa, langkah jihad ini tidak maju dek puji, tidak mundur dek keji tapi kan tetap melangkah memburu janji Ilahi.
Maafkanlah...
1. Maafkanlah supaya kita diampunkan.
"...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (an-nur:22)
2. Maafkanlah supaya Allah menjadi sayang.
"...dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."(at-Taghabun:14)
3. Maafkanlah supaya kita tidak sama dengan orang bodoh.
"Jadilah pemaaf dan suruhlah orang yang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang yang bodoh."(al-A'raf:199)
4. Maafkanlah kerana orang mulia sentiasa memaafkan.
"Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia."(asy-Syura:43)
5. Maafkanlah agar kau termasuk di kalangan orang yang gagah menahan marah.
"...menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain."(Ali Imran:134)