Kenali Anakmu
Didiklah, Jangan Cepat Melabel
Fahami Fitrah Mereka Perlu Belajar
Ada pelbagai macam keluhan ibu muda yang biasa kita dengari berkenaan telatah anaknya.
“Kenapalah anak saya suka sepahkan rumah?”
Bukan itu sahaja, ada pelbagai persepsi masyarakat sekeliling hingga mereka cepat melabel telatah anak orang lain. Baru sekali berjumpa, sudah pantas menghukum,
“Anak awak ni tak pandai berkawan. Maaf, saya tak suka anak saya nanti jadi sombong sepertinya.”
Sikap-sikap sebegini adalah suatu sikap yang tidak meletakkan sesuatu kena pada tempat. Tidak membantu membaikkan keadaan. Mana ada kanak-kanak yang sejak lahirnya tahu semua perkara dalam dunia ini? Mereka tidak diciptakan dalam keadaan sudah tahu segala disiplin, adab sopan dan peraturan. Kata pakar psikologi, nurture is nature. Fitrah mereka perlu belajar.
Sebab itulah mereka dipanggil bayi dan kanak-kanak. Mereka belum mengerti sebagaimana orang dewasa mengerti. Tidak adil kita paksa mereka perlu memahami sebagaimana ‘kita’ memahami sesuatu. Cuba kalau orang lain layan kita begitu. Sakit kan? Didiklah dengan lembut sabar apa yang mereka belum ketahui. Masa itu rawatan.
Seimbangkan Fokus Kita Pada Semua Aspek
Semakin kita memahami ‘fitrah’ perkembangan kanak-kanak, semakin besar potensi yang boleh kita lakukan untuk menyokong perkembangannya. Dalam merangsang perkembangan anak-anak, kita perlukan pendekatan yang menyeluruh. Holistik. Cara yang seimbang ini menjadikan perkembangan anak-anak lebih efektif berbanding kita fokus pada satu aspek sahaja.
Banyak aspek yang boleh kita gunakan untuk mengkategorikan perkembangan anak-anak. Aspek-aspek ini saling berinteraksi antara satu sama lain. Antara aspek-aspek itu ialah:
1) Pergerakan
2) Koordinasi Tangan-Mata.
3) Bahasa.
4) Pembelajaran.
5) Perkembangan sosial dan emosional.
Jangan Melabel, Terus Menyokong
Ingatkah anda saat bayi anda dilahirkan kemudian dibersihkan. Setelah itu bayi diletakkan di dada
ibu untuk mendapat kebaikan susu ibu. Si kecil itu bertindak refleks menghisap puting. Mulutnya terbuka luas bagai bukaan mulut ikan. Cup! Cup! Cup! Gopoh bunyinya.
Susu yang disedut automatik ditelan. Pergerakan si comel sangat-sangat terbatas. Mata jernihnya ada yang terpejam. Ada yang merenung ke mata ibu. Ada yang berkelip-kelip. Ada yang tunduk ke bawah. Unik dan pelbagai. Dia tidak dapat mengangkat kepalanya sendiri. Perlu disokong.
Pada usia purata 13 bulan, bayi boleh berjalan sendiri dan pergi ke mana sahaja. Usah risau jika anda melihat bayi orang lain sudah berjalan seawall 7 bulan. Usah stress jika bayi anda yang berusia 13 bulan masih belum berjalan. Pencapaian setiap bayi dalam pergerakan berbeza-beza. Ada yang cepat. Ada yang lambat. Tugas kita, bagaimana membantu mereka? Tidak melabel dan terus menyokong.
“Anak aku ni keturunan lembap agaknya.”

Rujukan: 1) gambar kanak-kanak
2) gambar tangan anak dan ibu http://www.abbeijing-emarch.com/2011/12/