Quantcast
Channel: Fatimah Syarha
Viewing all articles
Browse latest Browse all 129

Remajaku, Bijakkah Kahwin Lari?

$
0
0



Kusangka Panas Hingga Ke Petang…

“Niat saya ikhlas pilih suami beragama. Dia hafaz al-Quran. Saya ingat dia boleh bimbing saya. Tapi…” tangis seorang wanita teresak-esak. Berkali-kali dia mengesat air mata dengan lengan baju. Anak kecilnya yang belum mengerti berhenti menyusu. Tidak berkelip melihat ibunya.

Dua tahun lalu, wanita ini bernikah di Thailand tanpa restu ibubapanya. Sebagai penjawat awam, dia ada kemampuan ekonomi. Maka, dialah yang menanggung segala perbelanjaan.

Bahtera pernikahan dikemudi. Baru dia tahu penangan samudera rumah tangga. Baru dia tahu bahawa titik awal pernikahan mengesani sepanjang perjalanan selepas itu. Tanpa sokongan keluarga, suaminya mudah memperguna. Kerjanya, asyik mengikis duit isteri.

Tidak cukup dengan itu, si suami telah meniru tanda tangannya. Membuat pinjaman ratusan ribu. Mengambil kesempatan ke atas status  isteri sebagai penjawat awam.

Manusia normal mana boleh tahan dengan sikap suami begini? Wanita itu memfailkan tuntutan fasakh di mahkamah. Suaminya gagal hadir setiap kali mendapat arahan mahkamah. Melarikan wang tipu. Lesap entah ke mana.

Wanita itu sedar kini, niat yang ikhlas semata-mata tidak cukup tanpa tindakan yang bijak. Semuanya memerlukan ilmu dan kefahaman yang benar merujuk para ulama muktabar yang faqih (alim dalam ilmu feqah).


Universiti Kehidupan Mengajar Kita

Apa rasionalnya undang-undang negara kita melarang pernikahan tanpa kebenaran sama ada di dalam ataupun di luar negeri? Kerana ia menimbulkan terlalu banyak kesulitan pada masa akan datang. Bukalah mata, pasanglah telinga pada kisah masyarakat.  Jangan masukkan diri kita ke dalam statistik yang sama. Justeru, amat wajar pernikahan terlarang ini perlu disiasat oleh pihak berautoriti terlebih dahulu sebelum boleh disahkan kemudian didaftarkan di Pejabat Agama terdekat.

Menurut kajian, antara faktor utama yang menyumbang kepada meningkatnya jumlah kahwin lari di negara kita ialah konflik dengan ibubapa, ingin berpoligami serta tidak ambil tahu tentang syarat dan undang-undang perkahwinan di Malaysia.

Fenomena ini makin meruncing apabila ia turut berlaku kepada para remaja bawah umur yang mengikut pasangan kekasihnya. Bukan satu atau dua kes bahkan semakin menjadi trend. Akhbar digital Metro bertarikh 18 Januari 2011 pernah mensensasikan masyarakat dengan isu ini.

Remajaku, nikah ni ada dua jenis. Nikah yang sah. Nikah yang batil. Apabila cukup rukun dan syarat, maka sahlah nikah. Sebaliknya, jika tidak cukup rukun dan syarat, nikah itu batil. Hukumnya haram. Contoh nikah yang batil ialah, nikah tanpa kebenaran wali. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak sah nikah melainkan dengan wali.” (Sahih sunan Abu Daud).

Tidak dapat tidak, jika hendakkan anak dara orang, menguratlah walinya terlebih dahulu.

“Ish, berat tu!”

Ya, memang berat. Sebab amanah menjaga anak orang bukannya benda ringan. Benda berat. Awal-awal lagi kena tunjukkan peribadi yang bertanggung jawab. Nak ke tak nak ni?

Bukan saja perlu mendapatkan kebenaran wali bahkan perlu juga mendapatkan kebenaran enakmen.  Ianya penting demi maslahah. Terdapat pernikahan yang mendapat kebenaran syarak seperti hadirnya wali atau berwalikan wali hakim yang bertauliah. Namun, apabila ia dilakukan di Selatan Thailand,ia tetap menjadi kesalahan di bawah enakmen sekiranya perkahwinan berkenaan tidak mendapat kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di Malaysia.

Saja-saja ke enakmen ni nak susahkan orang? Sudah tentu pihak berautoriti ini ada sebab yang kukuh. Sesuai dengan tujuan syariat yang mahukan maslahah dan mengelakkan mudarat daripada semua orang. Semua orang berhak merasai keadilan. Sudahkah remaja mengkaji kebaikan peraturan?


Fikirkan Sebab dan Akibat

Remajaku, fikirlah lebih jauh. Sanggupkah dirimu ditohmah sebagai pembawa lari anak dara orang? Label ini bukan senang hilang walau apapun jua alasanmu. Kasihan dirimu nanti.

“Ah, lautan apipun sanggup kurenangi err…meskipun dalam swimming pool aku selalu lemas.”

Hmm. Cuba ‘pause’ 2 minit. Cuba masukkan dirimu ke dalam kasut wali pengantin perempuan.  Rasa nak marah tak jika ada orang menginjak hak seorang bapa untuk menjadi wali? Pernikahan sepatutnya menyatukan. Tapi nikah sebegini, bukankah ia makin memecahkan?

Lantas, mampukah dirimu mencari ‘sakinah’ (ketenangan) daripadanya? Bukankah ia boleh menjadi faktor pembunuh kepada ‘mawaddah’ dan ‘rahmah’ nanti? Lalu, apa yang kau cari daripada pernikahan sebegini? Sekadar halalnya hubungan badan lelaki perempuan? Kemudian?

Allah SWTmenjelaskan tujuan pernikahan,

“Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri agar kamu cenderung serta berasa tenang (sakinah) dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu perasaan kasih dan sayang (mawaddah warahmah).” (Surah ar-Rum: 21).


Cuba cerita sikit

Apa sebenarnya masalah yang terpendam di lubuk hatimu? Apa yang menyebabkan dirimu ingin memilih untuk kahwin lari? Adakah kerana kau telah mencampakkan diri sendiri ke dalam hukum wajib nikah? Takut berzina jika tidak bernikah? Siapa suruh dekati zina?

Remajaku,
Mungkin kau tertanya-tanya,

“ Islam galakkan menikah. Tapi kenapa orang dewasa ramai yang tidak faham?”
Tanyalah kematanganmu. Tanyalah kemampuanmu. Kau merasakan orang dewasa tidak memahamimu terutamanya ibu dan ayah.

Begitulah juga mereka tika ini hairan kenapa dirimu masih tidak faham-faham terhadap nasihat mereka, jangan hampiri zina. Jika kau tak hampiri, insya-Allah kau tak kan sestress ini untuk segera bernikah sedangkan prioritimu pada ilmu menuntut komitmen tinggi.

Satu kajian melaporkan, 17.5% daripada respondan mengemukakan alasan pergaulan bebas, terlanjur, khalwat dan hamil mendorong mereka untuk bernikah lari. Bagi menutup aib. Kebanyakannya di kalangan remaja. Mampukah pernikahan yang terbina atas dasar maksiat ini menumbuhkan berkat? Ayuh, segeralah bertaubat!

Jangan risau jika wali mujbir tetap tidak mengizinkan kau bernikah. Tak perlu memilih untuk kahwin lari. Ada langkah lain yang lebih bijak. Mohonlah wali hakim di mahkamah berdekatan.


Undang-undang Sukar? Belanja Kahwin Tinggi?

Boleh jadi, kau merasakan undang-undang dan peraturan pernikahan di negara ini tidak memahamimu. Kau merasakan ia sulit dan menyukarkan.

Begitulah juga penggubal undang-undang dan peraturan pening melihat sikap manusia terus-menerus ditimpa kesusahan akibat hidupnya tiada peraturan.

Jika kau mahukan tiadanya kursus kahwin, adakah kau menyiapkan diri dengan ilmu sebelum kahwin? Jika kau tidak sukakan prosedur dan borang-borang, lalu apa idea dan alternatifmu bagi memastikan pernikahan itu dapat didaftarkan, selamat daripada HIV dan sebagainya? Bukankah semua itu untuk maslahahmu jua.

Apabila tidak mengaplikasikan undang-undang dan peraturan, keharusan sesuatu boleh disalah guna. Bahkan, matlamat sesuatu sukar dicapai. Ramai orang menderita kerananya.

Andai diteliti dan dikaji, peraturan-peraturan perkahwinan yang sedia ada tidaklah begitu ketat. Enakmen dan Akta Undang-undang Keluarga Islam yang diseragamkan di seluruh negeri telah digubal sebegitu rupa semata-mata untuk menjaga kesejahteraan keluarga terutamanya bagi generasi baru yang bakal lahir. Begitu juga bagi isteri dan anak-anak yang sedia ada agar tidak teraniaya.

Jika kau merasakan belanja kahwin terlalu tinggi, berbincanglah. Inilah masanya melatih kemahiran berkomunikasi dengan bakal mentua. Selesaikan kemelut ini dengan hikmah. Percayalah, ia akan menjadi sumber keyakinan dirimu yang luar biasa untuk berhadapan dengan 1001 lagi kemelut pada masa depan.


Fikirkan Orang Lain, Fikirkan Masa Depan

Implikasi nikah lari sangat membebankan. Siapa yang terlibat akan didakwa mengikut seksyen 40 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mana pesalah akan dikenakan denda tidak melebihi seribu ringgit atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Jika terus membelakangi undang-undang, pendaftaran kelahiran anak menjadi sukar. Kasihan anak-anak akan berair matanya melihat rakan sebaya ke sekolah. Sedangkan dirinya , sijil kelahiranpun tiada. Sudah tentu proses pendaftaran persekolahan akan menjadi bermasalah. Tinggi rasa rendah dirinya nanti.

Implikasi selepas perceraian juga sangat parah. Masalah ini lebih-lebih lagi sangat terbeban di bahu wanita. Betapa ramai wanita sudah mengalami peritnya menjadi mangsa dan rasa teraniaya. Apabila terpaksa bercerai, hak mereka menjadi sukar dituntut.

Sesekali, tadahlah telinga simpati mendengar tangisan wanita yang kehilangan hak mutlak sebagai isteri yang sah di sisi undang-undang. Mereka lalu terhalang daripada menuntut hak mut’ah, harta sepencarian, nafkah mahupun hak penjagaan anak sebagaimana yang selayaknya diterima oleh wanita-wanita berkahwin. Ramai yang digantung tak bertali. Mahkamah Syariah tidak mampu membela kerana wanita ini tidak mempunyai surat nikah yang sah.

Demikian juga apabila berlakunya kematian, pihak suami atau isteri yang kematian pasangannya akan menghadapi kesulitan menuntut hak pusaka si mati. Hmm, banyak betul implikasinya. Tak sanggup nak dengar lagi?


Pesanan Buatmu                 

Pernikahan adalah sesuatu yang sangat bermakna. Dapatkanlah senyuman restu daripada insan-insan berharga di sekelilingmu. Sebarang keputusan berkaitan pernikahan lebih baik dibincangkan sewajarnya. Bincangkan dengan baik dan teratur bersama ahli keluarga. Kehidupan yang bakal ditempuhi selepas pernikahan bukannya hanya melibatkan kau dan dia. Bahkan melibatkan keluargamu dan keluarganya. Jadikan pernikahanmu pengerat kekeluargaan.                                    

Viewing all articles
Browse latest Browse all 129