Hati Seorang Adik: Muhammad al-Hanafiyyah bin Ali bin Abi Thalib (Bahagian satu)
Profil
· Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Ali bin Abi Thalib.
· Lebih dikenali sebagai Abul Qasim, Muhammad al-Hanafiyyah bin Ali bin Abi Thalib.
· Bondanya bernama Khaulah binti Ja’far ibn Qais al-Hanafiyyah, daripada Bani Hanifah.
· Abang-abang tirinya ialah Hassan dan Hussain, putera al-marhumah Fatimah az-Zahra’.
· Perajurit gagah berani di medan juang.
Anak yang Dinanti-nanti Selalunya Berkualiti
Ali bin Abi Thalib kepingin mempunyai putera lagi selepas hadirnya Hassan dan Hussain kesayangan Nabi. Pada hari-hari akhir kehidupan Rasulullah SAW, Ali mendampingi baginda. Ali berkata, “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu andai saya dikurniakan seorang anak setelah tuan meninggal, (bolehkah) saya menamainya dengan namamu dan memberikan kun-yah (sapaan yang biasanya diungkapkan dengan ‘Abu fulan…’) dengan kunyah-mu?.”
“Ya” jawab baginda.
Hari meniti Hari. Rasulullah SAW pulang mengadap Ilahi. Tidak lama kemudian, isteri Ali menyusuli. Fatimah pergi ke pangkuan Kekasih tertinggi.
Demi kepentingan Islam, Ali lalu menikahi seorang wanita Bani Hanifah. Mawar bertuah itu namanya Khaulah binti Ja’far ibn Qais al-Hanafiyyah. Pada akhir pemerintahan Abu Bakr r.a., lahirlah seorang bayi lelaki daripada cinta Ali dan Khaulah. Ali menamainya “Muhammad.” Diberi julukan “Abu al-Qaasim” dengan izin Rasulullah SAW. Sejarah lebih mengenalinya dengan nama Muhammad ibn al-Hanafiyyah, untuk membezakannya dengan kedua saudaranya al-Hasan dan al-Husain. Bayi bertuah ini mendapat didikan langsung daripada ayahnya yang hebat.
Sifat-sifat Ali banyak tercurah kepada peribadi Muhammad al-Hanafiyyah. Tekun beribadah. Zuhud. Berani. Gagah perkasa. Fasih berpujangga. Pandai balaghah. Singa di medan jihad.
Baik Sangka Terhadap Kasih Ayah
Ali mengesan potensi besar Muhammad al-Hanafiyyah sebagai perajurit terbilang. Digeruni kawan dan lawan. Sama seperti Ali.
Ali telah mengutusnya ke dalam pelbagai pertempuran. Dalam setiap pertempuran, selalunya Muhammad al-Hanafiyyah akan diamanahkan dengan misi-misi getir lagi berisiko tinggi. Amanah seberat itu tidak pula dipikulkan kepada al-Hassan dan al-Hussain.
Muhammad al-Hanafiyyah berbaik sangka terhadap arahan ayahnya. Beliau pernah diprovok, “Mengapakah ayahmu menjerumuskanmu ke dalam kebinasaan? Dia membebankanmu dengan apa yang kamu tidak mampu memikulnya . Dia menghantarmu ke tempat-tempat yang sempit tanpa kedua saudaramu al-Hasan dan al-Husain?”
Beliau menjawab, “Tidak mengapa. Kedua saudaraku menempati kedudukan dua mata ayahku. Sedangkan aku menempati kedudukan dua tangannya. Dia (Ali) menjaga kedua matanya dengan kedua tangannya.”
Demi Cintanya Kepada Penyatuan Ummah
Dalam perang “Shiffin” yang meletus antara Ali ibn Abi Thalib dan Muawiyah ibn Abi Sufyan r.a.. Muhammad ibn al-Hanafiyyah membawa panji ayahnya.
Tidak seperti peperangan sebelum ini, pedangnya terasa lemah longlai untuk terus dihayun di medan siffin. Beliau berkata dengan hati sayu, “Sungguh aku menyaksikan perang “Shiffin”. Kami bertemu dengan para sahabat Muawiyah, kami saling membunuh hingga aku menyangka bahawa tidak akan tersisa seorang pun dari kami dan juga dari mereka. Aku menganggap ini adalah perbuatan keji yang besar.”
Tiba-tiba, aku mendengar seseorang berteriak di belakangku, “Wahai kaum Muslimin, (takutlah kepada) Allah! (Takutlah kepada Allah), wahai kaum Muslimin…
Siapakah yang akan (melindungi) para wanita dan anak-anak?Siapakah yang akan menjaga agama dan kehormatan?
Siapakah yang akan menjaga serangan Romawi dan ad-Dailami?
Wahai kaum Muslimin…takutlah kepada Allah! Takutlah kepada Allah dan sisakan kaum muslimin. Wahai kaum muslimin.”
“Maka sejak hari itu, aku berjanji kepada diriku untuk tidak mengangkat pedangku di wajah seorang Muslim.
Kemudian Ali mati syahid di tangan pendosa yang zalim (di tangan Abdurrahman ibn Miljam ).”
Kemudian Ali mati syahid di tangan pendosa yang zalim (di tangan Abdurrahman ibn Miljam ).”
Rentetan peristiwa itu, timbul perselisihan dalam memilih khalifah pengganti Ali. Diringkaskan cerita, kekuasaan berpindah kepada Muawiyah ibn Abi Sufyan. Tatkala itu, Muhammad ibn al-Hanafiyyah membaiatnya untuk selalu taat dan patuh dalam keadaan suka maupun benci.
Beliau mengenepikan dendam lama pada saat pasukan ayahnya dibantai pasukan Muawiyah. Ada silap faham yang sukar dimengerti. Muhammadal-Hanafiyyah yakin ketulusan hati kedua-dua pihak, semuanya cintakan kebaikan. Beliau memilih berlapang dada. Beliau rela menyerahkan baiah kepada Muawiyah demi menyatukan suara dan mengumpulkan kekuatan muslimin semula. Sungguh mengagumkan sifat baik sangka Muhammad al-Hanafiyyah kepada Muawiyyah, saudaranya se-Islam, sahabat Nabi yang dimuliakan.
Air Dicincang Tidak Akan Putus.
Sesekali, perbezaan pendapat antara adik beradik suatu perkara lumrah. Muhammad bin Al-Hanafiyyah menunjukkan peribadi yang tawadhuk dan sukakan perdamaian tatkala berselisih dengan abang tirinya, Hassan. Lihatlah betapa halus bahasanya kepada Hassan :
“Sesungguhnya Allah memberikan keutamaan kepada abang melebihi diriku. Bonda abang adalah Fatimah binti Muhammad Bin Abdillah sedangkan bonda adik adalah seorang wanita daripada Bani Hanifah. Datuk abang daripada jalur ibu adalah Rasulullah pilihanNya. Sedangkan datuk adik dari jalur ibu adalah Ja’far bin Qais. Jika surat adik ini smpai kepada abang, adik berharap abang berkenan datang ke mari dan berdamai, agar abang tetap lebih utama daripada adik dalam segala hal.” Sesampainya surat tersebut, Hasan bergegas mendatangi rumahnya untuk menjalin perdamaian.