Quantcast
Channel: Fatimah Syarha
Viewing all articles
Browse latest Browse all 129

Berlumba Dengan Ayam

$
0
0
Selamat Menjadi ‘Orang Pagi’

Segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan salam buat Rasulullah SAW. Ingatan kasih buat semua penyebar kebaikan di serata dunia meski di manapun kalian berada.

Apa khabar semua?

Bertenaga tak hari ini? Atau ada sesuatu yang menghilangkan ceria di hati? Senyum sikit. Alo lo comelnya.

Terima kasih kerana sudi bersama naskhah Berlumba dengan Ayam.


“Ish, buat apa berlumba dengan ayam? Tiada faedah!”

Mungkin ini yang terdetik di hati. Mungkin juga ada yang sudah tahu pesan di sebalik analogi ini.

Kenapa ayam? Kenapa bukan arnab, kura-kura, lembu atau kerbau? Ce teka. Ce teka.

Betul! Sebab ayam selalu berkokok mengejutkan kita. Ayam selalu bangun dulu pagi-pagi. Makhluk ini berzikir memuji Allah mendahului kita, seorang khalifah. Kita harus malu dengan ayam. Harus memburu kelazatan nikmat ‘pagi’.

Buku ini amat kecil untuk merungkaikan misteri pagi. Namun, ia penting dan bernilai tinggi bagi kami. Kami kongsikan pula dengan anda yang dihargai. Semoga ia memberi kesan mendalam buat jiwa kita semua.

Kenapa buku ini perlu dekat dengan bantal anda setiap hari?

1. Isu ‘nilai masa’ yang dibawa perlukan muhasabah setiap hari. Saya ulang, setiap hari. Selagi hidup masih bernyawa.

2. Ia merungkai rahsia keutamaan ibadah qiamullail dan solat sunat fajar.

3. Ia membongkar kunci pengurusan masa sekaligus menguruskan nyawa.



4. Ia mendatangkan dalil-dalil kukuh daripada al-Quran dan al- Sunnah berkaitan keistimewaan ‘pagi’.

5. Ia menginspirasikan kita menjadi individu yang lebih baik seterusnya berguna buat keluarga, agama, masyarakat dan negara.

6. Ia memberikan cara yang praktikal dan hidup untuk membuat perancangan dalam menyusun amanah setiap hari.



7. Ia menginspirasikan kedahsyatan psikologi untuk bangun awal.

8. Ia mendedahkan kelebihan fizik dan mental dalam hidup bernaungkan syariat.

9. Ia membentuk modal insan luar biasa.

Semoga setelah membaca buku ini, hidup kita lebih ceria apabila seawal pagi bermula dengan pertemuan cinta dengan Yang Maha Esa. Ada al-Quran untuk ruh. Ada bacaan untuk otak. Berkumpul dengan bahagia seisi keluarga sambil menikmati sarapan yang berkhasiat. Ada senaman. Positif dan tersenyum kepada semua orang. Lalu, pergi sekolah, kolej atau kerja dengan tenaga dalaman yang luar biasa. Lebih produktif dan berintegriti.



Itu harapan besar kami. Buat diri kami sendiri. Buat anda semua juga yang disayangi. Semoga kita beramal. Semoga akhir kita nanti, al- Firdaus tertinggi. Aamiiin.

Everyday is upgrading day.

Salam sebarkan bahagia,
Dr. Farhan Hadi Mohd Taib.

Fatimah Syarha Mohd Noordin.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 129