![]() |
Illustration by Kayla Harren |
Remajaku sayang,
Seronok tak disayangi mak abah?
Seronok tak disayangi kawan-kawan?
Seronok tak disayangi majikan?
Mestilah seronok. Hanya orang yang ‘kurang normal’ mungkin berasa tidak seronok. Kita memberi ‘sayang’, maka kita mendapat ‘sayang’ mereka.
Seronoknya disayangi manusia, apatah lagi disayangi Pencipta manusia. Bagaimana memberi ‘sayang’ kepada Raja sekalian alam? Agar kita mendapat ‘sayang’-Nya pula.
Tarbiyah Diri Bersifat Ibaadur Rahman
Ada sifat-sifat yang perlu kita proses biar masuk ke dalam diri. Jika kita memiliki sifat-sifat ini, ia akan melayakkan kita menjadi salah seorang hamba kesayangan Tuhan. Al-Quran menyebutnya sebagai i’baadur rahman.
I’baadur Rahman bermaksud, hamba Allah yang Maha Penyayang. Kalau ibubapa sayangkan anak, ada yang memanggil nama manja buat anaknya, seperti anak ummi atau anak abi, sayang ummi, sayang abi. Ada juga yang menyebutnya baby mama atau baby papa. Ibubapa mendekatkan nama si anak dengan nama mereka, tanda sangat sayang.
Hatta besarnya kecintaan ibu atau ayah kepada anak boleh kita lihat pada nama sandaran, seperti Abu Zahid, Ummu Abdillah, Abu Hannan, Ummu Salamah, dan banyak lagi. Begitu juga cintanya anak kepada ayahnya. Disandarkan namanya kepada nama ibubapanya. Contohnya Ibnul Qayyim, Ibnu Umar, Ibnu Maryam dan sebagainya.
I’baadur Rahman. Subhanallah, bertempel nama hamba yang hina dengan nama Allah yang Maha Sempurna. Sangat istimewa. Sudah tentu bukan calang-calang usaha yang mesti kita bayar untuk mendapatkan keistimewaan begini. Betul?
Jom Jadi Hamba Kesayangan Ar-Rahman
Kita ‘mampu’ menisbahkan nama kita sebagai ibaadur Rahman, tapi ‘mampu’kah kita membuatkan Allah mengiktiraf kehambaan kita? Kita tidak mahu sekadar mengaku di lidah yang kita ini adalah ibadur Rahmantapi akhlak dan perlakuan kita seperti ibadus syaiton. Nauzubillah. Rugi dunia akhirat.
Kita mahu Allah pun menganggap kita layak dengan nisbah sehebat ibadur Rahman. Ini yang kita nak sama-sama usahakan. Indahnya jika kita sama-sama diiktiraf oleh Allah SWT sebagai hamba yang cukup syarat untuk mendapat rahmat dari arah kanan, kiri, atas dan bawah.
Dalam Surah al-Furqan, ayat 63 hingga 77, Allah mendedahkan rahsianya. Ada 12 sifat ibaadur Rahman yang mesti kita buru untuk menghias peribadi.
Tidak Sombong
Sifat ibadur Rahman yang pertama, berjalan di muka bumi dalam keadaan rendah hati. Tawadhuk. Orang yang tawadhuk berjalan dalam keadaan rendah hati, sopan, berwibawa dan terhormat. Tidak rasa sombong, besar diri, dan tidak bongkak.
Orang yang sombong suka merendah-rendahkan orang lain. Seakan-akan mereka tengok tanahpun dengan rasa hina, sambil hati mengejek, “ Hei tanah. Kau rendah. Aku tinggi.”
Kalaulah tanah boleh bercakap, mungkin tanah membidas balik, “Tak sedar ke, kau tu asal daripada tanah. Nanti balik jadi tanah. Siaplah kau masa tu.”
Orang yang tiada sifat tawadhuk, apabila melihat sesama manusia, sering membanding-bandingkan.
“Aku anak Datuk X, mana layak jalan dengan orang biasa?”
“Kulit aku licin, kulit dia penuh pigmentasi, he, he.”
“Kereta aku Vios, kereta dia Viva je?”
“Rumah aku banglo. Rasa geli pula nak masuk ke dalam rumah teres macam ni.”
Ops, periksa hati!
Orang bercakap dengan kita, jangan kita buat jelingan benci. Itu cerminan sombong diri. Kalau terbuat, kenalah minta maaf. Lembutkan bahasa, maniskan wajah. Biar orang rasa diraikan dan dimuliakan.
Analogi al-Quran
Allah menegur rasa sombong diri dalam surah al-Isra’, ayat 37. Maksudnya,
“Janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”
Berbisa sungguh analogi al-Quran. Tinggi manalah sangat kita ni untuk berlagak sombong. Setinggi manapun pangkat kita, kalau kita panjangkan kaki, tidak daya pun hendak menembusi tanah. Kalau kita julurkan leher, tidak daya pun hendak menandingi gunung.
Sikap membangga diri hanya membuatkan diri kita tidak disayangi manusia. Begitu juga tidak disayangi Allah dan Rasul.
Wasiat Luqman
Kalau kita sekarang ini menjadi abang atau kakak, ingatkan adik-adik kita. Hidup lebih tenang dengan tawadhuk. Kalau kita menjadi kawan, ingatkan kawan-kawan kita. Jom sama-sama membina sifat tawadhuk. Di fasa mendepan, remaja bakal menjadi ayah dan ibu. Ingatkanlah generasi kita tentang kepentingan sifat tawadhuk.
Sama-samalah kita mencari inspirasi daripada wasiat Luqman kepada anaknya di dalam al-Quran,
“Janganlah engkau memalingkan mukamu kerana memandang rendah kepada manusia. Janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan. Rendahkanlah suaramu semasa berkata-kata. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” [Surah luqman 18-19]
Bagaimana Berjalan Tawadhuk?
Kita jelas bahawa sifat pertama ibadur Rahman, berjalan dengan tawadhuk. Tapi bagaimana cara jalannya? Jika kita mengambil zahir ayat ini sahaja, tanpa mengikut petunjuk sunnah Nabi SAW, kita akan terkongkong dengan tafsiran sempit akal kita. Mujurlah kita ada Nabi untuk menjelaskan maksud al-Quran dengan terang.
Apa yang dimaksudkan dengan berjalan tawadhuk? Ada satu kisah menarik. Sayyidina Umar al-Khattab melihat seorang pemuda berjalan perlahan-lahan. Umar terus bertanya,
“Ya syeikh, sakit ko ni?” tanya Umar.
Umar cakap Arab. Saya terjemah ikut dialek mak mertua saya.
“Ish, dok la..ambo tok sakit gapo pun,” balas pemuda itu.
Umar lalu berkata, “Kalau dok sakit, jange jalle gittu.”
Umar tidak mahu orang Islam menganggap orang salih dan bertakwa mesti berjalan seperti orang lemah. Orang Islam tidak berjalan seperti orang tidak cukup zat lantaran salah faham terhadap tafsir ayat.
Suatu ketika yang lain, selepas solat berjemaah, Umar melihat seorang lelaki melembikkan tengkuknya. Tergeleng-geleng kepalanya. Tampak khusyuk betul bacaan doanya. Umar lalu melempar dengan biji jagung. Beliau berkata, “Apa masalah kamu ini? Tegakkan kepala. Kekhusyukan itu dalam hati bukan di leher.”
Jalan Si Pemberani
Generasi awal menterjemahkan sifat tawadhuk yang menakjubkan. Berjalan dengan tawadhuk bukan bererti berjalan terbongkok-bongkok. Itu jalan orang sakit. Nabi tidak berjalan seperti itu. Para sahabatpun tidak berjalan seperti itu.
Sayyidina Ali bin Abu Thalib meriwayatkan, Nabi SAW berjalan seperti menuruni bukit. Berkata Ibnul Qayyim al-Jauziyah dalam Zaadul Ma’ad untuk menggambarkan cara berjalan Nabi, “Ini cara berjalan orang yang penuh semangat dan pemberani.”
Berkata Abu Hurairah, “Aku tidak melihat seseorang yang lebih cepat jalannya daripada baginda, seakan-akan bumi menjadi turun di hadapan baginda.”
Syeikh al-Qaradhawi menjelaskan lanjut dalam bukunya Ibadur Rahman, “Baginda tidak berjalan seperti orang sakit. Tidak berjalan lambat. Jalannya cepat tapi tidaklah terlalu cepat. Jika terlalu cepat, itu cara berjalan yang menghilangkan kewibawaan. Cara berjalan baginda sederhana, tidak terlalu cepat. Tidak terlalu lambat. Inilah cara berjalan orang mukmin.”
Tawadhuk Umar
Dalam satu kisah lain, seorang sahabiah melihat sekumpulan anak muda. Jalannya perlahan-lahan.
“Anok sapo la tu…” sahabiah ini tertanya-tanya.
Kawannya menjawab, “Jangan main-main. Itu pemuda ahli ibadah. Geng-geng hebat tu.”
Sahabiah ini pelik. Beliau berasa seperti ada yang tidak kena dengan cara berjalan mereka. Dia pun berkata, “Demi Allah, jika berjalan, Umar adalah orang yang paling cepat jalannya. Jika berkata, suaranya paling lantang. Jika memukul, pukulannya menyakitkan. Dia juga seorang ahli ibadah yang sejati.”
Inilah juga yang dimaksudkan dengan berjalan dengan tawadhuk. Ia tidak bermaksud berjalan dengan lambat, lemah dan sakit. Bahkan orang Muslim berjalan dengan wibawa, nampak kekuatan, cepatkan langkah kaki. Bukan terlalu cepat.
Tapi kena sesuaikan juga dengan perawakan, umur dan kemampuan. Tidak bolehlah kita mendesak Atok kita yang berumur 85 tahun berjalan seperti ini, betul tak? Jom, berjalan di atas muka bumi dengan jiwa tawadhuk.